PUTRAJAYA, 8 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK), dengan kerjasama Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR CKC), telah menganjurkan Simposium Cerun Negara 2025 (SCN 2025) pada 7 dan 8 Mei di Hotel Everly Putrajaya. Bertemakan “Way Forward: National Slope Master Plan”, simposium ini menghimpunkan lebih 1,200 pengunjung sepanjang dua hari, melibatkan 700 peserta, 30 reruai pameran, pembentangan 15 kertas kerja oleh pakar tempatan dan antarabangsa, empat pengucaptama yang telah berkongsi kepakaran terdiri daripada pegawai atasan kerajaan, swasta, ahli akademik, pengamal industri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), serta satu sesi forum yang bertemakan “Cabaran Menghadapi Perubahan Iklim dalam Pengurusan Cerun” juga telah diadakan.


Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, dan turut dihadiri oleh barisan kepimpinan Kementerian Kerja Raya, termasuk Timbalan Menteri, YB Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBhg. Ir. Mohd. Shahrom Ahmad Saman; dan Pengarah Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya Malaysia selaku Pengerusi I SCN 2025, Ir. Mohd Shaifuddin Abdul Razak. UTM diwakili oleh Pengarah GEOTROPIK, Dr. Dayang Zulaika Abang Hasbollah, manakala Prof. Ir. Dr. Azman Kassim, Timbalan Pengarah GEOTROPIK, bertindak selaku Pengerusi II SCN 2025.

Objektif utama penganjuran ini adalah untuk memperkukuh matlamat pengurusan cerun negara yang mampan, menyediakan platform perkongsian ilmu, serta memperkasa kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta. Simposium ini dirangka berasaskan 11 komponen Pelan Induk Cerun Negara, sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030, bagi mengurangkan risiko dan impak tanah runtuh sehingga tahun 2030.
Pelan Induk Cerun Negara (PICN) merupakan punca kuasa serta sumber rujukan utama di antara agensi Persekutuan dan Negeri berkaitan pengurusan cerun negara. Matlamat PICN adalah bagi mengurangkan risiko dan kerugian akibat tanah runtuh serta mengadakan suatu dasar negara bagi rangka kerja yang menyeluruh merangkumi strategi dan pelan tindakan yang berkesan.
Pusat GEOTROPIK UTM sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang geokejuruteraan tropika komited dalam menerajui pembangunan penyelidikan, latihan dan kolaborasi strategik bersama pihak industri dan agensi kerajaan. Melalui penganjuran simposium ini, GEOTROPIK berharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara akademia, industri dan agensi berkepentingan dalam mengangkat pengurusan cerun negara ke tahap yang lebih holistik dan mampan, khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, selari dengan hasrat negara untuk mengurangkan risiko bencana geoteknikal.
