JOHOR BAHRU, 30 April – Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur mencipta kejayaan membanggakan apabila membawa pulang sepuluh anugerah berprestij sempena Majlis Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) 2024 yang berlangsung di Hotel Thistle, Johor Bahru.
Majlis penuh gemilang itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JTNC HEPA), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat serta Pendaftar UTM, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Sharil bin Abdullah.

Antara anugerah yang dirangkul oleh mahasiswa UTM Kuala Lumpur termasuklah Anugerah Aktiviti Terbaik (Pasukan) – Tempat Pertama, Anugerah JKM Terbaik (Pasukan) – Tempat Kedua, dan Anugerah Kesukarelawanan Terbaik (Pasukan) – Tempat Ketiga, yang kesemuanya dimenangi oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ). Pasukan ini turut menerima Anugerah Pembangunan Pelajar Kolej Kediaman bagi kategori pasukan, menandakan pencapaian menyeluruh dari aspek pentadbiran, kebajikan serta impak sosial di peringkat kolej.

Kecemerlangan ini turut diperkukuh dengan kejayaan individu, antaranya Ahmad Adam Ismail Abd Hafi dari Fakulti MJIIT yang bukan sahaja memenangi Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman Terbaik (Individu), malah turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor – anugerah utama bagi GEMA 2024.
Menurut Ahmad Adam, kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan semangat berpasukan JKM KSJ yang sentiasa mendukung pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar. “Saya akui banyak kelemahan dan kekurangan, tetapi Pengetua KSJ, Dr. Azlan bin Suhot, yang suka berkongsi ilmu, banyak membimbing saya untuk memahami erti sebenar kepimpinan,” ujarnya, yang turut menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi.

Bagi kategori Anugerah Pemimpin Alam Sekitar, dua mahasiswa dari UTM Kuala Lumpur turut mencatat pencapaian tersendiri. Tempat pertama dimenangi oleh Nurmahera Iswaliza binti Amiruddin manakala tempat kedua dirangkul oleh Ilyani Syadiah binti Rosnan. Kedua-duanya membuktikan bahawa kelestarian alam boleh digerakkan dengan berkesan melalui kepimpinan pelajar yang berwawasan.
Sementara itu, Shameelan Rajan yang mewakili Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM Kuala Lumpur berjaya meraih tempat kedua bagi kategori Pemimpin MPP. Beliau menzahirkan penghargaan atas pengiktirafan tersebut dan menyatakan bahawa peranannya sebagai suara pelajar bukan sekadar simbolik, malah satu tanggungjawab yang perlu digalas secara tuntas. “Saya bukanlah individu yang senyap atau hanya berdiam diri. Saya komited membawa suara pelajar ke hadapan dan memastikan setiap tindakan memberikan impak yang signifikan. Saya percaya apabila kita bekerja dengan niat yang jelas, strategi yang tersusun dan kerjasama yang jujur, kejayaan itu pasti akan datang,” jelasnya penuh tekad.

Kemenangan turut berpihak kepada Teo Kok Wei yang dinobatkan sebagai Pemimpin Wacana Intelek Terbaik, memperlihatkan kekuatan pemikiran kritikal dan keupayaan beliau memacu budaya dialog yang matang serta progresif dalam kalangan mahasiswa.
Kemenangan mahasiswa UTM Kuala Lumpur turut mencerminkan keupayaan mereka dalam merancang program berimpak tinggi yang melibatkan masyarakat dan pemuliharaan alam sekitar. Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk penggunaan teknologi yang dipelajari dalam kurikulum harian dan diterapkan secara inovatif dalam program komuniti, menjadikan ia selari dengan aspirasi pendidikan holistik UTM.
Meskipun hanya mempunyai satu kolej kediaman di kampus Kuala Lumpur berbanding kampus induk di Johor Bahru, mahasiswa UTM Kuala Lumpur terus membuktikan bahawa semangat kepimpinan, daya saing dan dedikasi mereka mampu membawa kecemerlangan ke peringkat tertinggi. Pengiktirafan yang diterima ini bukan sahaja menjadi lambang kejayaan masa kini, tetapi juga pemangkin semangat buat seluruh warga mahasiswa untuk terus melakar pencapaian lebih gemilang pada masa akan datang.