JOHOR BAHRU, 10 Mei – Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan delegasi seramai 37 orang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pasir Gudang dalam program Lawatan Penanda Aras yang berlangsung pada 10 Mei 2025. Delegasi tersebut yang diketuai oleh Penolong Pendaftar Kanan UiTM Pasir Gudang, Zahirizal Miskom bertujuan memperkukuh hubungan kolaboratif antara institusi pengajian tinggi dalam aspek pembangunan pelajar dan pengurusan kolej kediaman.
Program ini dirasmikan oleh Felow KRP, Abdul Rashid Zailan bertempat di Dewan Seri Meranti, KRP. Antara pengisian utama ialah sesi perkenalan serta diskusi tiga penjuru antara Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JKP) UiTM Pasir Gudang, Jawatankuasa Pembangunan dan Kebajikan Kolej Rahman Putra (JPNR), dan JKP KRP. Diskusi ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan, berkongsi strategi penganjuran program berimpak serta meneliti pendekatan pengurusan pelajar yang inklusif dan efektif.

Delegasi turut dibawa melawat ke beberapa blok kediaman pelajar yang telah dinaiktaraf iaitu G17, G18, G19, G29 hingga G32. Lawatan tapak ini memberi gambaran jelas tentang komitmen UTM dalam penyediaan fasiliti berkualiti dan persekitaran mesra pelajar.

Majlis penutup disempurnakan oleh Zahirizal Miskom yang turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak penganjur. Dalam ucapannya, “Lawatan sebegini sangat signifikan kerana bukan sahaja memperkukuh jaringan antara UiTM dan UTM, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk melihat sendiri bagaimana suasana dan sistem pengurusan kolej yang kondusif dilaksanakan.”
Beliau turut menambah bahawa inisiatif seperti ini wajar diteruskan dalam usaha melahirkan mahasiswa yang holistik, seimbang dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj kerjasama, nyanyian lagu rasmi institusi, serta penyampaian cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan. Sesi bergambar dan jamuan makan tengah hari menyusul sebelum delegasi berehat untuk solat Zuhur.
Lawatan Penanda Aras ini membuktikan bahawa kolaborasi rentas institusi mampu menjadi pemangkin kepada transformasi pengurusan kolej yang lebih progresif. Ia bukan sahaja menyemai semangat jaringan strategik, malah membuka ruang pemindahan ilmu dan perkongsian amalan terbaik yang bermanfaat kepada mahasiswa dan institusi. Program ini secara tidak langsung membuktikan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkasa pendidikan tinggi negara menerusi perkongsian sumber, idea dan amalan terbaik. Kunjungan seperti ini bukan sahaja menyemai nilai saling menghormati dan keterbukaan, malah membentuk budaya kolaboratif yang dapat melahirkan pemimpin pelajar yang berwawasan dan bertanggungjawab. Diharapkan hubungan strategik ini dapat diteruskan pada masa akan datang melalui pelbagai inisiatif bersama demi manfaat komuniti kampus yang lebih cemerlang.