JOHOR BAHRU, 10 April – Memasuki suku kedua tahun 2025, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini berada pada landasan penting dalam usaha merangka hala tuju baharu bagi tempoh lima tahun akan datang, sejajar dengan berakhirnya pelan strategik enVision UTM 2025.
Sebagai langkah awal ke arah penyediaan Pelan Strategik UTM 2026–2030 yang lebih holistik dan mampan, Universiti telah menganjurkan sesi dialog awam yang menghimpunkan pelbagai lapisan warga kampus dan pemegang taruh. Sejurus berakhirnya Town Hall Pelan Strategik UTM 2026–2030, wartawan menemui beberapa pelajar, pensyarah serta wakil industri dan agensi yang hadir bagi mendapatkan respons awal terhadap pelan yang dibentangkan.
Dalam semangat keterbukaan dan keterlibatan bersama, respons yang diterima secara langsung mencerminkan harapan dan komitmen kolektif komuniti UTM dan para pemegang taruh dalam merealisasikan aspirasi sebagai sebuah universiti terkemuka bertaraf global.
Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, Pengarah Sekolah Pengajian Prasiswazah UTM
“UTM menyasarkan untuk meramaikan lagi kelompok ‘learners’ menjelang 2030 dan menjadikan pembelajaran di UTM lebih fleksibel dan bersifat ‘personalised’ seperti micro-credential dan ODL, merangkumi pelajar formal dan profesional. Kekuatan kami terletak pada 1,500 staf akademik berkelayakan PhD dari pelbagai universiti bertaraf global, serta program berorientasi industri seperti kejuruteraan perubatan dan teknologi hijau. Sebagai sebahagian daripada Johor-Singapore Economic Zone, UTM akan memanfaatkan ‘niche’ kita dalam bidang STEM untuk mencipta industri baharu, bukan sekadar melahirkan pekerja tetapi pencipta peluang pekerjaan.”

Mohamad Nazib Sulaiman, wakil Pejabat Wilayah Selatan, TalentCorp
“Kerjasama TalentCorp dengan UTM ini telah pun berlangsung sekian lama walaupun pejabat wilayah selatan kami baru dibuka secara rasmi di UTM pada tahun 2022. Antara inisiatif awal kami ialah mewujudkan ruang khas untuk membantu pelajar membiasakan diri dengan proses temu duga—bukan setakat latihan berkomunikasi, bahkan pengalaman sebenar. Hasrat utama kami untuk menjadi ‘bridge’ antara apa yang industri perlukan dengan apa yang universiti sediakan. Dengan cara ini, kita dapat berkongsi input industri secara lebih tepat dan pantas. Industri sekarang, contohnya, sudah mula ingin terlibat secara langsung dalam penilaian pelajar supaya lebih selari dengan kehendak semasa. UTM pun saya lihat sangat terbuka dan progresif, dan saya percaya banyak lagi kolaborasi bermakna yang kita boleh usahakan bersama dalam pembangunan bakat masa depan negara.”

Tsai Jia Yuh, Pelajar Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga UTM
“Saya berharap UTM dapat menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran dalam ‘smart classroom’ dan sistem hibrid, memandangkan tren semasa dalam pendidikan tinggi semakin bersifat fleksibel. Sebagai universiti yang bertunjangkan teknologi, kekuatan UTM terletak pada fokusnya terhadap inovasi hijau dan penyelesaian canggih, termasuk menjadi perintis dalam bidang AI. Bagi saya, UTM seharusnya menjadi pusat pendidikan berteknologi tinggi yang relevan dengan masa depan.”

Muhammad Hazim Azatul Amery, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTM 2024/2025
“MPP komited untuk bersama universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga memiliki keseimbangan emosi dan kemahiran global. Saya mencadangkan agar rakan-rakan, iaitu para pelajar UTM perlu proaktif menyertai pelbagai program luar kelas bagi membentuk pemikiran kritis dan daya tahan apabila melangkah ke industri. Dalam lima tahun akan datang, saya yakin UTM akan terus menjadi universiti peneraju di Malaysia dan juga antarabangsa, terutama dalam sains dan teknologi yang diintegrasikan dengan nilai ketuhanan yang mantap. Inilah ciri unik mahasiswa UTM yang amat kami banggakan.”

Noerwatie Dolhaji, Ketua Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar UTM
“Staf pentadbiran dan pengurusan UTM merupakan ‘enabler’ yang turut sama berperanan menjayakan perancangan universiti. Peranan ini boleh digerakkan menerusi mempertingkat kemahiran digital dan memperkaya kemahiran untuk menyokong visi universiti. Kami telah melaksanakan dan mewajibkan kepada staf PPP dan juga staf akademik untuk mengikuti kursus dan latihan peningkatan kompetensi khususnya berkaitan IT dan AI, termasuk sistem automasi, bagi memastikan kesediaan seluruh warga kerja menghadapi perubahan landskap digital negara. Pendekatan ini merangkumi semua peringkat umur, dari staf sokongan hingga akademik, bagi memastikan UTM kekal kompetitif dalam era digital.”

Noorsaifulizzuan Nordin, Bahagian Perancangan Strategik, KEJORA
“KEJORA sudah lama bekerjasama dengan UTM, terutamanya dalam bidang pendidikan. Salah satunya melalui program iCARE, suatu program yang membantu pelajar-pelajar di kawasan luar bandar untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Kerjasama ni memang sudah bermula sejak 2010 dan berterusan beberapa tahun, termasuk semasa pandemik. Apabila dijemput hadir ke sesi ini, kami memang berminat untuk mengetahui bagaimana KEJORA dan UTM boleh terus berganding bahu untuk membantu anak-anak di kawasan kami. Sebagai agensi yang memfokuskan pembangunan wilayah luar bandar, kami melihat satu potensi yang besar sekiranya UTM dapat terus bersama kami untuk dalam konteks pendidikan dan pendedahan teknologi.”

Nurul Amelyawati Ali Rofiq, Pelajar Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga
“Sebagai pelajar tahun akhir di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, saya memang berasa bangga menjadi sebahagian daripada warga UTM. Universiti ini memang dikenali dengan kebolehpasaran graduan yang tertinggi dan itu buat saya lebih yakin untuk melangkah ke alam pekerjaan nanti. Harapan saya, UTM boleh mengekalkan prestasi dan kredibiliti yang ada sekarang dan terus menjadi peneraju supaya kami sebagai pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang terbaik, bukan sahaja dari segi akademik, juga dari segi persediaan menghadapi menghadapi dunia pekerjaan. Kalau orang tanya saya, memang 100% saya akan syorkan UTM pada adik-adik dan kawan-kawan kerana di sini, kita bukan sekadar belajar, tapi kita membina pengalaman hidup yang sangat bermakna untuk bekalan di luar sana.”
