KUALA LUMPUR, 4 April – Program Iftar Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur 2025 tampil dengan kelainan apabila memperkenalkan inisiatif kelestarian alam melalui penghasilan baja kompos daripada sisa makanan. Program yang berlangsung sepanjang Ramadan, dari 2 hingga 30 Mac ini, bukan sahaja menyediakan juadah berbuka puasa kepada para jemaah, malah turut memupuk kesedaran mengenai kitar semula dan pengurangan sisa makanan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12 dan SDG 13.
Menurut Timbalan Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus UTM (UTMCS) Kuala Lumpur, penyediaan tangki pengkomposan sisa makanan di masjid bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kaedah kitar semula yang lebih lestari dan mesra alam.
“Kita maklum bahawa sepanjang Ramadan, ramai jemaah hadir berbuka puasa di Masjid UTM Kuala Lumpur. Sisa makanan yang berlebihan sering dibuang begitu sahaja. Dengan anggaran kehadiran sekitar 800 jemaah setiap hari, kita berharap inisiatif ini membuka mata masyarakat tentang pentingnya menjaga kelestarian alam secara lebih produktif,” katanya.

Sehingga hari terakhir Ramadan, sebanyak 880 kilogram sisa makanan berjaya dikumpulkan. Sisa ini diproses menggunakan teknik pengkomposan dalam tangki khas yang mengambil masa antara tiga hingga enam bulan sebelum menjadi baja. Baja ini dinamakan Baja Kompos Ramadan Barakah sebagai simbol keberkatan bulan suci ini.

Menurut Ustaz Khairudin Ramli, inisiatif ini adalah hasil usaha Jawatankuasa Masjid UTM Kuala Lumpur di bawah konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Selain mengurangkan sisa makanan, ia memberi peluang kepada masyarakat menyaksikan sendiri proses penghasilan baja kompos. “Pengunjung boleh melihat sendiri proses ini dan bahkan berpeluang membawa pulang baja kompos secara percuma pada hari tertentu,” tambah beliau.
Teknologi pengkomposan yang digunakan mampu mempercepatkan proses pereputan sisa organik dengan bantuan mikroorganisma berkesan. Langkah ini secara langsung membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang berpunca daripada pembaziran makanan, seiring dengan SDG 13, Tindakan terhadap Perubahan Iklim.
Baja Kompos Ramadan Barakah bukan sahaja memberi manfaat kepada masjid, malah kepada komuniti setempat. Baja ini akan disumbangkan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) serta dijual pada harga rahmah kepada petani dan pengusaha tanaman. Hasil jualan pula disalurkan untuk membiayai lebih banyak program kesedaran dan inisiatif hijau di UTM Kuala Lumpur.
“Kami berharap inisiatif ini membuka minda masyarakat bahawa sisa makanan boleh dikompos secara manual di rumah. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran, malah menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar,” jelas Ustaz Khairudin.
Inisiatif ini juga menyokong SDG 12, Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, dengan menekankan pengurangan sisa makanan dan penghasilan kompos sebagai kaedah terbaik mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar. Ia turut membantu mengurangkan kebergantungan terhadap baja kimia yang berisiko mencemarkan tanah dan air.
Selain usaha kelestarian, Program Iftar Masjid UTM Kuala Lumpur 2025 turut menyajikan pelbagai aktiviti berfaedah seperti sesi tazkirah, ceramah agama, bacaan Al-Quran, dan lain-lain aktiviti yang berteraskan keberkatan Ramadan. Program bermula setiap hari pada jam 6 petang dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
Dalam meningkatkan kesedaran, pihak masjid turut menganjurkan bengkel kitar semula dan demonstrasi pembuatan baja kompos. Para peserta diberi tunjuk ajar mengenai teknik mudah untuk mengkompos sisa makanan yang boleh diamalkan di rumah. Ini merupakan langkah signifikan dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan pengurangan sisa dan kitar semula bahan organik, selari dengan SDG 12.
Melihat kejayaan inisiatif ini, pihak masjid merancang untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan, bukan hanya pada bulan Ramadan tetapi diperluas kepada aktiviti masjid sepanjang tahun. Antara perancangan termasuk penambahbaikan sistem pengkomposan dan peluasan penggunaan baja organik di sekitar kampus UTM Kuala Lumpur.
Selain itu, Masjid UTM Kuala Lumpur juga sedang merancang kerjasama dengan institusi pendidikan dan syarikat swasta bagi membangunkan teknologi lebih cekap untuk pengurusan sisa makanan. Dengan sokongan pelbagai pihak, inisiatif ini dapat diperkasakan demi memberi impak lebih besar kepada kelestarian alam sekitar.
Dengan wujudnya usaha seperti Baja Kompos Ramadan Barakah, Masjid UTM Kuala Lumpur membuktikan bahawa keberkatan Ramadan bukan sekadar pada ibadah, tetapi turut merangkumi pemeliharaan alam sekitar dan manfaat kepada masyarakat secara holistik. Ini seiring komitmen UTM dalam mendukung agenda kelestarian global dan Matlamat Pembangunan Mampan.
