JOHOR BAHRU, 25 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil langkah proaktif dalam menjaga kawasan hutan rekreasi yang terletak di dalam kawasan kampus demi kelestarian alam sekitar yang lebih mampan. Kawasan hutan tersebut bukan sahaja menjadi lokasi penyegaran minda kepada mahasiswa, tetapi juga berfungsi sebagai ekosistem penting yang menyokong pelbagai jenis flora dan fauna.
Ketua Unit UTM Geotourism, Seksyen Penjanaan, Bahagian Pemajuan Universiti, Ts. Dzulzazreen Mohd Zubir berkata sebagai sebahagian daripada inisiatif kelestarian alam, pihak universiti telah memperkasakan program pemuliharaan hutan yang melibatkan pelbagai aktiviti seperti penanaman pokok, pembersihan kawasan dan pendidikan kepada pelajar mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar serta kerjasama dengan agensi-agensi yang menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
“Kawasan hutan rekreasi ini merupakan khazanah yang perlu dipelihara. Ia tidak hanya memberikan ruang untuk rekreasi, tetapi juga menjadi sumber pendidikan bagi pelajar mengenai pentingnya menjaga alam sekitar. Hutan Rekreasi UTM berkeluasan 53 hektar ini juga mempunyai pelbagai keistimewaan tersendiri. Antara keistimewaan paling ketara yang tidak terdapat di dalam hutan rekreasi yang lain ialah terdapatnya jeram dan anak sungai, tanaman nadir dan flora & fauna di samping kedudukannya yang terletak berhampiran dengan Johor Bahru dan negara Singapura.
“Pihak universiti juga berhasrat untuk melibatkan masyarakat setempat, syarikat korporat, sekolah-sekolah, sukarelawan dan badan bukan Kerajaan untuk menyertai aktiviti dalam program pemeliharaan ini yang merangkumi perspektif yang lebih luas tentang kepentingan menjaga hutan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu diwawancara oleh Pejabat Pelestarian Kanpus (UTMCS) sempena Hari Hutan Antarabangsa 2025 yang disambut di peringkat global pada setiap 21 Mac setiap tahun. Dengan langkah-langkah yang diambil ini, UTM berharap untuk menjadi model kepada institusi lain dalam usaha pemeliharaan hutan rekreasi dan kelestarian alam secara keseluruhan.
“Melalui kesedaran kolektif dan tindakan bersama, kita dapat memastikan hutan yang merupakan warisan alam ini kekal terpelihara untuk ditinggalkan pada generasi akan datang,” katanya lagi.

Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada 21 Mac setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hutan dan pengurusan hutan yang lebih mampan. Antara fungsi Hari Hutan Antarabangsa adalah meningkatkan pemahaman awam berkenaan dengan peranan hutan dalam kehidupan manusia dan alam sekitar termasuk penyimpanan karbon, perlindungan biodiversiti dan penyediaan sumber makanan dan bahan mentah. Hari Hutan Antarabangsa ini juga berfungsi sebagai ejen pendidikan dalam mendidik masyarakat tentang pentingnya menjaga dan memulihara hutan serta menggalakkan aktiviti yang menyokong pemuliharaan hutan.

Melalui sambutan Hari Hutan Antarabangsa ini juga sumbangan hutan kepada kehidupan manusia dan ekosistem dapat dihargai selain memberikan penghargaan kepada pekerja di sektor perhutanan dan konservasi. Dengan menyokong Hari Hutan Antarabangsa, individu dan organisasi dapat membantu menyebarkan mesej penting tentang perlunya melindungi hutan untuk generasi akan datang. Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada 21 Mac setiap tahun adalah selari dengan beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) antaranya SDG 15 (Kehidupan di Daratan), SDG 13 (Perubahan Iklim) dan SDG 11 (Bandar dan Komuniti yang Lestari). Hari Hutan Antarabangsa bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hutan tetapi juga menyokong pembelajaran dan tindakan yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari global.

