Mei 13, 2025

rimbasejahtera

Rimba Sejahtera jayakan misi perkasa pemuliharaan ekosistem bakau di Pendas

PENDAS, 24 Feb – AIESEC in Johor Bahru dengan kerjasama Living Lab UTM-Jabatan Perhutanan Johor telah menganjurkan Program Rimba Sejahtera bersama sukarelawan daripada AIESEC, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pelangi Indah, SMK Taman Mutiara Rini 2 dan IDRISSI International School.

rimbasejahtera
Para peserta bergambar kenangan selepas selesai menjalankan aktiviti penanaman pokok bakau

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Alam Sekitar, Pembersihan, Habitat, Oasis (ECHO 6.0) oleh AIESEC in Johor Bahru yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap Matlamat Pembangunan Lestari yang ke-13, iaitu Tindakan Iklim yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Program ini mendapat sokongan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Jabatan Perhutanan Negeri Johor, serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Johor Bahru. Seramai 120 orang peserta yang terdiri daripada sukarelawan AIESEC, staf Pusat Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan pelajar sekolah telah menyertai aktiviti penanaman pokok bakau di Plot Penanaman Bakau Rizab JPS, Jeti Pendas.

Program Rimba Sejahtera telah dirasmikan oleh YB Pandak Ahmad, Adun Kota Iskandar
YB Datuk Haji Pandak Ahmad (empat dari kanan), ADUN Kota Iskandar, bersama Ir. Ts. Abdul Razak Abdul Aziz (tiga dari kiri), Jurutera Daerah JPS Johor Bahru, wakil Jabatan Perhutanan Johor, Penasihat Kelab AIESEC dan Pengarah Living Lab UTM-JPNJ

Majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, YB Datuk Haji Pandak Ahmad. Seterusnya, para peserta menyertai sesi penanaman pokok bakau secara beramai-ramai yang menyaksikan lebih 200 anak pokok berjaya ditanam.

Sepanjang aktiviti berlangsung, suasana penuh semangat dan kerjasama dapat dilihat apabila peserta berdepan cabaran menanam dalam kawasan berlumpur. Namun begitu, pengalaman ini dianggap amat bermakna kerana membuka peluang kepada generasi muda untuk memahami pentingnya penjagaan ekosistem hutan bakau dalam mitigasi perubahan iklim dan hakisan tanah.

WhatsApp Image at PM
Peserta bergelut menanam anak pokok bakau dalam keadaan selut tebal, namun tetap komited melaksanakan tugasan

Program ini bukan sahaja memberikan pengalaman kepada peserta tentang pemeliharaan hutan bakau, tetapi juga menanamkan kesedaran yang lebih mendalam mengenai tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar.

Dengan semangat dan kesedaran yang telah dipupuk melalui program ini, diharapkan para peserta akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, sama ada di sekolah, universiti, atau dalam komuniti masing-masing. Program ini bukan sekadar satu inisiatif hijau, tetapi satu langkah penting ke arah membentuk generasi yang lebih prihatin terhadap keseimbangan ekosistem dan kelestarian alam sekitar untuk masa depan yang lebih baik.

WhatsApp Image at PM
Renjar Azam dari Jabatan Perhutanan Negeri Johor memberi bimbingan kepada peserta mengenai teknik penanaman pokok bakau

Oleh Tan Hong Le, Kelab AIESEC dan Sr Gs Dr Nurul Hawani Idris, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU)

Explore More