April 2, 2025

DSC

Projek penaiktarafan infrastruktur akademik tingkat kualiti pembelajaran lebih kondusif

JOHOR BAHRU, 5 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus komited dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang berkualiti dengan siapnya lima projek penambahbaikan infrastruktur akademik di kampus Johor Bahru. Majlis penyerahan projek telah diadakan di Blok P19, Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dan disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim.

DSC
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyerahan Projek yang dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNC(P))

Projek-projek ini merangkumi kerja-kerja naik taraf dan pemulihan ruang pengajaran serta pembelajaran (P&P), termasuk bangunan kuliah, makmal, serta bangunan akademik dan sokongan di beberapa fakulti. Antara projek yang telah disiapkan adalah peningkatan ruang bangunan P&P di FKE, yang dilaksanakan oleh kontraktor KBK Glokal, serta kerja-kerja pemulihan ruang P&P di Blok B02 Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dan ruang makmal di Blok N12 Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), yang disiapkan oleh kontraktor MH Bersatu.

Projek lain termasuk naik taraf bilik kuliah di Blok P07 FKE dan Blok C23 Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) oleh kontraktor Asmal Enterprise, serta naik taraf bilik kuliah di Blok N01 FKT yang dilaksanakan oleh kontraktor Mercu Teraju Niaga. Selain itu, projek tender menaik taraf ruang bangunan akademik, kolej kediaman dan bangunan sokongan di Kampus Johor Bahru telah disiapkan oleh kontraktor Permas Trading.

DSC
Penyerahan replika kunci sebagai simbolik serahan projek kepada pelanggan

Penyempurnaan projek-projek ini memberi manfaat yang besar kepada pelajar, terutamanya dalam meningkatkan kualiti pengalaman akademik mereka. Dengan ruang pembelajaran yang lebih moden dan kondusif, pelajar kini dapat mengikuti sesi pembelajaran dalam persekitaran yang lebih selesa dan efisien. Kemudahan makmal yang dinaik taraf juga membolehkan penyelidikan dan eksperimen dijalankan dengan lebih lancar, sejajar dengan keperluan teknologi semasa serta perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

DSC
Penyampaian sijil penghargaan kepada kontraktor yang melaksanakan kerja naik taraf

Pelaksanaan projek ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), antaranya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), yang memastikan pelajar mendapat akses kepada kemudahan pembelajaran yang lebih baik, sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di UTM. Selain itu, SDG 9 (Industri, Inovasi, dan Infrastruktur) turut disokong melalui pembangunan infrastruktur berkualiti tinggi yang menyokong inovasi dan penyelidikan akademik. Projek ini juga selari dengan SDG 11 (Bandar dan Komuniti Lestari), kerana ia mengambil kira aspek kelestarian dengan penggunaan bahan dan teknologi mesra alam, sejajar dengan usaha menjadikan UTM sebagai kampus hijau dan mampan.

DSC
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menandatangani plak penyerahan projek sambil disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad dan Pengerusi BPA, Prof. Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa

Melalui inisiatif ini, UTM terus menunjukkan komitmen dalam memperkasakan ekosistem pembelajaran terbaik bagi pelajar serta tenaga pengajarnya. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan daya saing institusi dalam bidang pendidikan tinggi, tetapi juga memastikan UTM kekal sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan bertaraf dunia.

Foto oleh Haslizam

Explore More