Mac 10, 2025

Foto

KULAI, 6 Mac – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengadakan Perbarisan Penutup Latihan Kem Tahunan (LKT) Eksesais Leopard PALAPES Zon Selatan 2025 di Padang Bola Felda Bukit Batu, Kulai, Johor. Latihan ini melibatkan PALAPES Darat dari UTM dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Perbarisan penutup ini disempurnakan oleh Lt. Kol. Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli Hj. Ali Khan, Timbalan Komandan PALAPES UTM. Perbarisan tersebut diketuai oleh Ketua Peringkat PALAPES UTM, Lt. M Dr. Muhamad Fauzi Abd Rased.

Fotoa
Perbarisan penutup Eksesais Leopard Zon Selatan 2025 diketuai oleh Ketua Peringkat PALAPES UTM, Lt M Dr. Muhamad Fauzi Abd Rased

Eksesais Leopard yang berlangsung selama dua minggu dari 20 Februari hingga 6 Mac 2025 ini melibatkan kawasan sekitar Felda Bukit Batu dan Ladang Air Manis. Seramai 11 pegawai, 42 Pegawai Muda Pelajar, 32 anggota lain-lain pangkat, dan 337 Pegawai Kadet gabungan PALAPES Darat UTM dan UTHM telah menyertai latihan ini.

Dalam ucapannya, Timbalan Komandan PALAPES UTM merakamkan penghargaan kepada pegawai, jurulatih, dan staf yang komited dalam membimbing para Pegawai Kadet. Beliau menegaskan bahawa LKT bukan sekadar latihan tahunan, tetapi platform pembentukan jati diri, disiplin, kepimpinan, dan semangat berpasukan. Pegawai Kadet diuji dengan cabaran fizikal dan mental yang mengasah daya ketahanan serta ketajaman strategi mereka. Beliau turut mengingatkan agar nilai-nilai yang diterapkan sepanjang latihan dijadikan pegangan dalam kehidupan dan persediaan masa hadapan.

Turut hadir sama Timbalan Komandan PALAPES UTHM, Mej. Ir. Mustafa Kamal Shamshuddin; Ketua Jurulatih PALAPES UTHM, Mej. Ts. Wan Mohd Hanafiah Wan Hassan; dan Mej. Mohd Azmi Abu Bakar selaku Ketua Jurulatih PALAPES UTM; Sarjan Mejar Rejimen (SMR) dan para pegawai serta barisan jurulatih.

Foto
Barisan pegawai PALAPES UTM dan UTHM yang hadir semasa perbarisan penutup LKT Eksesais Leopard PALAPES Zon Selatan Tahun 2025

Acara tersebut juga menyaksikan Ketua Cawangan Latih (KCL) PALAPES UTM, Kapten Mohd Syawal Mohamed Abdul Fatah dinaikkan pangkat daripada pangkat Kapten ke Mejar. Kenaikan pangkat ini adalah satu pengiktirafan terhadap dedikasi, komitmen dan perkhidmatan cemerlang beliau kepada pasukan dalam menjalankan tugas di PALAPES UTM.

Foto
Pemakaian pangkat daripada Kapten ke Mejar disempurnakan oleh Lt. Kol. Prof. Madya Dr. Azli, Timbalan Komandan PALAPES UTM kepada Mej. Mohd Syawal Mohamed Abdul Fatah

Eksesais Leopard 2025 bukan sahaja menjadi pentas latihan ketenteraan, malah mengukuhkan hubungan antara PALAPES UTM dan UTHM dalam memperkasakan pembangunan sahsiah dan kepimpinan dalam kalangan kadet. Dengan semangat yang diterapkan sepanjang latihan, Pegawai Kadet diharap dapat meneruskan kecemerlangan dalam bidang ketenteraan mahupun profesion masing-masing di masa hadapan.

Foto
Penyampaian cenderamata kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan Eksesais Leopard PALAPES Zon Selatan Tahun 2025

Explore More