Mac 20, 2025

Featured Image NewsHub ()

JTNC HEPA komited pupuk adab dan perkasa kepimpinan mahasiswa

JOHOR BAHRU, 20 Mac – Satu sesi perkongsian aspirasi bertemakan “Bekerja dengan Nilai, Berkhidmat dengan Jiwa” telah diadakan di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sesi ini disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, yang menekankan strategi serta nilai kerja positif dalam pengurusan dan pembangunan mahasiswa.

Featured Image NewsHub ()
Prof. Dr. Ali Selamat ketika menyampaikan perkongsian berkenaan aspirasi beliau

Dalam perkongsian tersebut, Prof. Dr. Ali mengetengahkan lima aspirasi utama yang menjadi teras kepada hala tuju Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNC HEPA), iaitu Adab, Sejahtera, Global, Pencipta Pekerjaan, dan Komuniti.

Bagi aspirasi Adab, Prof. Dr. Ali menekankan kepentingan pembangunan modul adab dan pembentukan ‘constructive citizen’ dalam kalangan mahasiswa UTM. Ini selaras dengan usaha universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki sahsiah terpuji.

Dalam aspirasi Sejahtera, pelbagai inisiatif telah dan akan terus diperkenalkan bagi memastikan kesejahteraan mahasiswa. Prof. Dr. Ali memaklumkan bahawa UTM Alumni telah menerima peruntukan sebanyak RM45,000 daripada pelan Malaysia, manakala Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) telah menyumbang RM110,000 kepada pelajar asnaf dan B40. Selain itu, lawatan ihsan turut diadakan bagi menyantuni pelajar yang memerlukan. Menurut beliau, kesejahteraan warga kampus amat penting dalam membentuk ekosistem pembelajaran yang holistik, seterusnya melahirkan pemimpin global yang beretika dan bertanggungjawab.

Dalam menjayakan aspirasi Global, UTM telah meluaskan jaringan dengan memperkenal New Global Alumni Chapters di pelbagai negara. Selain itu, pencapaian cemerlang mahasiswa UTM turut dibanggakan, antaranya Saudara Haziq Daniel yang berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan hafazan al-Quran peringkat antarabangsa di Turkiye serta kejayaan pelajar UTM Kuala Lumpur yang mendominasi pentas tari dunia dengan membawa pulang sembilan anugerah di Georgia.

Bagi aspirasi Pencipta Pekerjaan, Prof. Dr. Ali menekankan bahawa universiti harus berperanan sebagai pemangkin inovasi dan menyediakan peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam ekosistem perniagaan. Beliau menegaskan bahawa pelbagai peluang dan inovasi boleh diterokai oleh mahasiswa melalui inisiatif start-up. Usaha ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan mahasiswa, sekali gus membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UTM.

Aspirasi terakhir, Komuniti, Prof. Dr. Ali menekankan kepentingan keterlibatan UTM dalam pembangunan masyarakat. Menurut Prof. Dr. Ali, penglibatan universiti dalam komuniti bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, tetapi juga memperkasa mahasiswa dan memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga.

n
Hadirin yang hadir mendengar sesi perkongsian Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di Dewan Senat Ainuddin Wahid

Prof. Dr. Ali turut menegaskan peranan JTNC HEPA dalam memperkasa pembangunan mahasiswa secara holistik melalui pemantapan disiplin, kemahiran insaniah (soft skills), kepimpinan dan kegiatan berpersatuan, kebajikan dan kewangan, kesihatan mental serta sahsiah dan jati diri mahasiswa. Bagi tahun 2025, sebanyak 20 High Impact Result (HIR) telah dirancang dengan lima Key HIR utama. Lima inisiatif tersebut ialah peningkatan kesedaran dan modul Adab dalam kalangan pelajar prasiswazah, pencapaian 100% kebolehpasaran graduan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, pelaburan RM100,000 dalam start-up perniagaan mahasiswa, penyertaan atlet dan pasukan UTM dalam pertandingan kompetitif peringkat kebangsaan dan antarabangsa, serta pemberian biasiswa Alumni kepada 50 orang pelajar.

Sebelum mengakhiri sesi perkongsian, Prof. Ali menekankan pemerkasaan budaya kerja positif dengan konsep IMPAK, yang merangkumi Inovasi, Makna Kerja, Positif dan Proaktif, Adaptasi, serta Kesungguhan. Menurut beliau, apabila seseorang bekerja dengan nilai, kesungguhan, dan keikhlasan, hasilnya akan lebih bermakna. Beliau turut menegaskan bahawa setiap usaha yang dilakukan hari ini akan memberi impak besar kepada pembangunan negara bangsa. Oleh itu, beliau menyeru agar mahasiswa dibimbing dan dididik supaya menjadi generasi yang konstruktif, berdaya saing serta mampu membawa kegemilangan kepada negara pada masa hadapan.

n
Saudara Hazim ketika mengajukan soalan kepada Prof. Dr. Ali yang berhubung kait dengan mahasiswa

Sesi perkongsian diakhiri dengan simbolik penyerahan dokumen Pelan Tindakan 2025 serta sesi serahan hamper raya kepada staf yang bertugas pada 1 Syawal 1446H. Perkongsian ini memberikan gambaran jelas mengenai visi dan misi JTNC HEPA dalam memastikan pembangunan mahasiswa yang holistik dan berdaya saing di peringkat global.

n
Serahan dokumen Pelan Tindakan 2025 dari Prof. Dr. Ali kepada Pn. Hanifah Ahmad
n
Sesi serahan hamper raya kepada salah seorang staf yang akan bertugas pada 1 Syawal 1446H

Explore More