SURABAYA, 21 Feb – Seramai 50 orang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hadir ke Majlis Pembukaan Go East Java 2.0 yang dihoskan oleh Universitas Airlangga (UNAIR), Surabaya dan bertempat di Maleo Hall, UNAIR Kampus B. Program ini ialah hasil kolaborasi antara World University Association for Community Development (WUACD), Fakultas Ilmu Kesehatan, Kedokteran dan Ilmu Alam (FIKKIA), dan Fakultas Sains dan Teknologi (FST) UNAIR.
Ucapan dimulai oleh Prof. Dr. Ni Nyoman Tri Puspaningsih, M.Si., selaku Pengerusi WUACD, yang menyatakan harapannya terhadap hubungan kukuh yang berterusan antara UTM dan UNAIR serta sumbangan mereka dalam membantu kampung-kampung di Indonesia. Seterusnya, Prof. Ir. Dr. Sharul Kamal Abdul Rahim, selaku Pengetua Kolej Tuanku Canselor (KTC) UTM, juga menyatakan harapan beliau agar kerjasama antara UTM dan UNAIR semakin kuat dan memastikan kesinambungan program ini untuk tahun-tahun akan datang.
Majlis tersebut turut dihadiri wakil dari beberapa fakulti antaranya Fakulti Sains Sosial dan Politik (FISIP), Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEB), Fakulti Perubatan (FK), Fakulti Pergigian (FKG), dan wakil dari FST, Dekan Prof. Dr. Miratul Khasanah, Naib Dekan I FST, M.Siridani. dan Duta Fakulti FST, Inten Firdhausi Wardhani, S.T., M.Sc. Selain ucapan daripada para Dekan dan wakil fakulti, pengerusi majlis juga menjemput pengarah Go East Java 1.0, Muhammad Maliki Siron dan pengarah Go East Java 2.0, Nasrullah Barakajhullah untuk menyampaikan ucapan dan serba sedikit pengalaman mereka. Mereka menceritakan pengalaman mereka selaku pelajar yang mengikuti Go East Java 1.0 yang berlangsung pada bulan Februari tahun lalu, serta mencurahkan harapan mereka untuk program siri kedua ini.



Pada 21 Februari 2025 pula diadakan Majlis Pembukaan Go East Java 2.0 bersama FIKKIA di Pendopo Sabha Swagata, Banyuwangi. Majlis ini dirasmikan oleh M. Yanuarto Bramuda, selaku Asisten Pemerintahan dan Kesejahteraan Rakyat di kabupaten Banyuwangi, Indonesia. Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa Banyuwangi merupakan kabupaten terbesar di Jawa Timur, dengan luas wilayah setara dengan lima kabupaten lain seperti Ponorogo, Ngawi, dan Madiun. Oleh kerana kawasannya yang luas, Banyuwangi kaya dengan sumber alam, mulai dari pelancongan alam, budaya, kesenian, hingga hidangan tradisional.

Bagaimanapun, beliau turut menekankan beberapa cabaran yang dihadapi oleh rantau ini khususnya dalam bidang kesihatan. Cabaran-cabaran ini sejajar dengan program khidmat masyarakat Universitas Airlangga, yang memberi tumpuan kepada pengurangan kadar kematian ibu dan bayi. Justeru, harapan beliau agar wujud sinergi antara Pemerintah Kabupaten Banyuwangi dan FIKKIA UNAIR Banyuwangi untuk menangani isu kesihatan yang ada.

Aktiviti khidmat masyarakat akan tertumpu di empat desa; Licin, Banjar, Jelun, dan Gumuk. Dalam tempoh dua minggu, program ini akan merangkumi pelbagai bidang seperti pendidikan, kesihatan, alam sekitar dan ekonomi. Walau bagaimanapun, tumpuan utama khidmat masyarakat ini adalah untuk menangani isu-isu stunting di rantau ini. Dengan kejayaan pelaksanaan program ini, diharapkan kerjasama antara UTM, UNAIR, dan Pemerintah Kabupaten Banyuwangi akan memberikan manfaat yang nyata demi kesejahteraan masyarakat setempat.