Mac 28, 2025

n

UTM, MPKu dan Komuniti Kampung Pertanian Kulai jalin sinergi perangi spesies ikan invasif Sungai Skudai

KULAI, 9 Feb. – Ikan bandaraya kini semakin mendominasi sungai-sungai di seluruh negara sebagai spesies invasif yang mengancam ekosistem. Kehadiran spesies asing ini bukan sahaja mengganggu keseimbangan ekosistem, malah turut menyebabkan kerosakan struktur tanah di tebing sungai.

Menyedari akan ancaman serta peningkatan tidak terkawal populasi ikan ini di lembangan sungai Johor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) telah diberikan kepercayaan oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) untuk menjalankan program KTHO River Rangers: Pulihkan Ekosistem Sungai sebagai salah satu aktiviti dalam Program Santuni Madani Kampung Pertanian, Kulai. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesan spesies invasif terhadap ekosistem sungai, di samping tangkapan dan pengurusan ikan bandaraya untuk dijadikan baja organik bagi kegunaan kebun komuniti bersebelahan.

n
Penduduk setempat menjalankan aktiviti penangkapan ikan bandaraya menggunakan jala

Dr. Mohd. Farizal Ahmad Kamaroddin, pensyarah kanan di Jabatan Biosains, Fakulti Sains merangkap pengetua KTHO menyambut baik usaha dalam melestarikan sungai melalui program seumpama ini. “Program KTHO River Rangers: Pulihkan Ekosistem Sungai merupakan program tangkapan ikan bandaraya kedua dianjurkan selepas kerjasama dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada tahun lepas bersempena Hari Sungai Sedunia.

“Cuma kelainan pada kali ini ialah kita memberikan insentif sebanyak RM1 bagi setiap kilogram ikan bandaraya yang ditangkap bagi menggalakkan penyertaan penduduk dan dalam masa sama membantu mereka untuk menjana pendapatan sampingan,” ulas Dr. Farizal.

n
Dr. Mohd. Farizal Ahmad Kamaroddin menyampaikan insentif kepada wakil komuniti sebagai galakan dalam usaha pemuliharaan sungai

Pemberian insentif ini bukan sahaja membantu memberi galakan kepada masyarakat setempat, malahan juga dilihat sebagai langkah yang baik bagi mengawal populasi spesies invasif dengan lebih efektif. Ia juga seiring dengan usaha Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JTNC HEPA) yang kini sedang giat merangka program yang boleh membantu komuniti setempat meningkatkan ekonomi mereka.

“Di peringkat JTNC HEPA, program komuniti 1 Kolej 1 Daerah sedang digerakkan bagi membantu menaikkan taraf ekonomi komuniti setempat dengan melibatkan mereka dalam aktiviti produktif seperti pertanian bandar dan penghasilan baja organik bersama pemimpin kawasan, alumni, industri dan pelajar,” tambah Dr. Farizal.

Sekitar 300kg ikan bandaraya berjaya ditangkap oleh penduduk dalam tempoh dua jam. Jumlah tangkapan yang banyak dalam waktu yang singkat menunjukkan bahawa ikan bandaraya telah memonopoli habitat ikan tempatan di sungai. Dalam masa yang sama, penduduk juga diberikan tunjuk ajar dalam menukarkan hasil tangkapan ikan bandaraya kepada baja organik menggunakan proses kompos.

n
Sekitar 300kg ikan bandaraya berjaya ditangkap dalam tempoh dua jam, mencerminkan populasi spesies invasif yang semakin meningkat di sungai

Proses dan bahan tambahan yang digunakan merujuk kepada formula yang diberikan oleh Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim, Pensyarah Kanan di Jabatan Biosains, Fakulti Sains yang merupakan pakar baja kompos dan tanaman bagi memastikan teknik yang digunakan mesra alam dan berkesan.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan UTM dalam pembangunan komuniti dan pemuliharaan alam sekitar, kumpulan penyelidik dari Jabatan Biosains UTM telah menerima Dana Program Pemindahan Ilmu – Geran Teknologi Penyelidikan (KTP-RIG) oleh Pusat Jaringan Komuniti & Industri (CCIN). Kajian ini diketuai oleh Dr Mira Panadi, pakar pemakanan haiwan dan felow KTHO, dengan kerjasama Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim dalam bidang baja kompos, Dr. Aizuddin Supee dalam pemetaan kawasan terjejas, serta pensyarah ekologi UTM yang akan menjalankan kajian dan program kesedaran kepada komuniti.

n
Wakil KTHO memberi tunjuk ajar kepada komuniti mengenai proses penghasilan baja organik menggunakan ikan bandaraya, Effective Microorganisms (EM), dan molases

Program ini juga mendapat perhatian dan sokongan daripada sektor kerajaan dan industri. Ts. Dr. Teo Chee Loong, Pengarah Urusan Agri Season Sdn Bhd yang juga merupakan alumni UTM, turut terlibat dalam memberikan pandangan tentang pengurusan spesies invasif ini. Program Santuni Madani Kampung Pertanian, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Satu Pemimpin Satu Kampung, turut menyaksikan perasmian Kebun Komuniti oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

n
Dr. Zaliha Mustafa beramah mesra dengan penduduk yang terlibat dalam program penangkapan ikan bandaraya sebagai usaha melindungi ekosistem sungai

Program KTHO River Rangers: Pulihkan Ekosistem Sungai merupakan langkah penting dalam memastikan kelestarian ekosistem sungai tempatan. Kejayaan program ini menunjukkan bahawa usaha pemuliharaan yang dilakukan secara berterusan dapat memberikan impak positif bukan sahaja kepada alam sekitar bahkan kepada komuniti setempat. Diharapkan kesedaran yang ditanam melalui program ini akan terus berkembang dan mendorong lebih ramai pihak untuk bertindak dalam menjaga ekosistem sungai agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Oleh Aimi Dayana Jairen dan Mohd Fadthul Ikmal Misnal

Explore More