KUALA LUMPUR, 21 Feb – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah menganjurkan Sesi Engagement Pasca Ops Roboh bersama pelbagai agensi penguatkuasaan di UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur. Sesi ini menjadi platform perbincangan dan pelaporan operasi dengan fokus kepada penambahbaikan strategi bagi memastikan kelancaran operasi pada masa hadapan. Selain itu, sesi ini turut memperkukuh hubungan serta menghargai sumbangan, kejayaan, dan kerjasama semua agensi yang terlibat dalam operasi perobohan premis haram di Tanah Setapak, Kuala Lumpur.
Ketibaan wakil agensi disambut mesra oleh Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh serta pengurusan tertinggi UTM Kuala Lumpur. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pelbagai mesyuarat dan kunjungan hormat telah diadakan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta agensi berkaitan bagi mendapatkan persetujuan melaksanakan operasi perobohan premis haram di tanah pajakan milik UTM. Hasil daripada perbincangan dan kerjasama erat ini, operasi bersepadu telah berjaya dilaksanakan pada 21 Ogos 2024 dengan penglibatan 226 petugas gabungan serta 12 buah jentera.


Operasi ini memberi impak besar dalam memastikan tanah UTM tidak lagi diceroboh dan digunakan secara tidak sah. Sesi engagement ini turut menumpukan kepada cabaran sepanjang operasi serta langkah-langkah penambahbaikan bagi memastikan kelancaran operasi serupa pada masa hadapan. Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sinergi antara UTM dan pelbagai agensi penguatkuasaan yang terlibat. Antara agensi yang turut serta dalam sesi ini ialah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Jabatan Perancangan Bandaraya DBKL, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTG), Seksyen Perancangan Strategik, Jabatan Wilayah Persekutuan, serta Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

Dalam sesi perbincangan, setiap agensi berkongsi maklum balas mengenai pengalaman mereka sepanjang operasi, termasuk cabaran logistik, keperluan koordinasi yang lebih berkesan, serta langkah-langkah untuk meningkatkan keberkesanan operasi di masa hadapan. Selain itu, perbincangan turut menyentuh operasi susulan yang akan melibatkan empat struktur utama yang kini dalam fasa perancangan dan pelaksanaan bagi memastikan pemeliharaan tanah milik UTM serta kelancaran pembangunan akan datang. Pro-Naib Canselor berharap sinergi antara UTM dan agensi penguatkuasaan terus diperkasa melalui perkongsian maklumat, pemantapan strategi operasi, serta tindakan bersepadu yang lebih cekap dan efektif. Sinergi dengan pelbagai agensi berkaitan akan terus diperkukuh demi menjaga kepentingan institusi akademik serta memelihara aset universiti daripada sebarang bentuk pencerobohan atau penyalahgunaan.
