Februari 26, 2025

DSC

Program Mobiliti UTM Sulung 2.0 perkasa jaringan akademik dan budaya

ACEH, 22 Feb – ‘Steps Beyond Home: Nurturing Growth Through Global Exposure Program’ Bersama Pelajar Sulung 2.0 merupakan program mobiliti pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke Aceh, Indonesia yang berjaya dianjurkan oleh UTM International dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) (JTNCHEPA). Program yang berlangsung dari 16 hingga 21 Februari 2025 di Universitas Syiah Kuala (USK), Aceh, memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami budaya, sejarah, dan tradisi Aceh serta memahami kekuatan spiritual masyarakatnya dalam membangunkan semula kehidupan selepas tragedi tsunami 2004 yang telah meragut hampir separuh populasi wilayah itu. Selain memperluas pengetahuan pelajar mengenai kepelbagaian etnik, program ini juga membuka ruang kepada mereka untuk mengalami sendiri pengalaman budaya yang bermakna dalam membentuk pemikiran, keperibadian, serta sahsiah diri.

Seramai 20 pelajar UTM Sulung 2.0 bersama lima kakitangan UTM telah disambut mesra oleh pelajar dan kakitangan Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa USK. Mereka diperkenalkan dengan sejarah, budaya, dan tradisi Aceh serta diberikan penerangan mengenai aktiviti sepanjang program, yang secara tidak langsung membuka peluang kepada mereka untuk membina jaringan sosial dan memperkasa pemahaman tentang budaya dalam rumpun Nusantara.

WhatsApp Image at
Ketibaan pelajar dan delegasi UTM disambut dengan penuh kemesraan oleh pelajar serta wakil kakitangan Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa, Universitas Syiah Kuala, Aceh

Dalam sesi perkongsian perusahaan digital dan penglibatan universiti dalam mendukung perniagaan pelajar, peserta diberi peluang untuk berkongsi pengalaman serta strategi pemasaran digital. Pelajar UTM dan USK bertukar pandangan mengenai teknik mengembangkan perniagaan dalam talian dan mencapai sasaran pengguna yang tepat. Sesi yang penuh inspirasi ini membuka wawasan baharu dalam bidang pemasaran digital, memberi mereka ilmu yang berguna untuk diaplikasikan dalam perniagaan masing-masing serta membina keyakinan untuk lebih berdaya saing.

Salah satu pengalaman yang dinantikan ialah sesi pembelajaran Tari Ratoh Jaroe, tarian tradisional Aceh yang penuh simbolisme budaya dan diiringi alunan syair ketuhanan. Para pelajar mempelajari pergerakan dan langkah-langkah tarian ini yang mencerminkan keindahan seni budaya Aceh. Latihan tarian ini bukan sahaja memberi pengalaman unik kepada peserta, tetapi juga membina semangat kebersamaan yang akan dikenang sepanjang hayat.

Picture
Bengkel seni Tari Ratoh Jaroe yang dikendalikan oleh pelajar Sendratasik USK menanam semangat kebersamaan dengan pelajar UTM serta membuka minda mereka terhadap seni budaya global

Lawatan ke Dekranasda Aceh, pusat sokongan kraftangan masyarakat setempat, memberikan pengalaman baharu kepada pelajar. Mereka berpeluang mempelajari teknik pembuatan kraf daripada rotan dan mengkuang serta melihat lebih dekat keindahan seni tenunan, anyaman, sulaman, dan batik. Lawatan ini bukan sahaja memperkaya pemahaman mereka mengenai warisan budaya Aceh tetapi juga menanam kesedaran tentang kepentingan memelihara seni tradisional.

Pelajar turut mengunjungi tapak bersejarah seperti Pembangkit Listrik Tenaga Diesel (PLTD) Apung dan Muzium Tsunami yang memaparkan kesan tragedi tsunami 2004. Salah satu simbol paling signifikan ialah kapal PLTD Apung seberat 2,600 tan yang dihanyutkan sejauh lima kilometer dari pelabuhan asalnya di Ulee Lheue ke Desa Punge Blang Cut. Kini, tapak ini dijadikan monumen sejarah yang wajib dikunjungi.

Picture
Pelajar UTM tidak melepaskan peluang mempelajari pembuatan kraftangan berasaskan rotan daripada penduduk tempatan sewaktu lawatan ke Dekranasda Aceh

Sebagai usaha menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), peserta turut terlibat dalam aktiviti penanaman bakau spesies Rhizophora di Mangrove Park Lampulo. Aktiviti ini bertujuan melindungi pesisir pantai daripada hakisan, meningkatkan biodiversiti, serta memperbaiki kualiti air. Selain memberi manfaat kepada alam sekitar, aktiviti ini juga membantu komuniti tempatan dengan meningkatkan ketahanan pantai dan menggalakkan ekopelancongan.

Picture
Pelajar USK dan UTM bersama-sama menyertai aktiviti penanaman bakau di Mangrove Park Lampulo

Dalam majlis penutupan program, Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menekankan kepentingan program mobiliti seperti ini, khususnya bagi pelajar UTM Sulung. Beliau menegaskan bahawa pengalaman seperti ini bukan sahaja memberi nilai tambah dari segi akademik tetapi juga membentuk sahsiah serta kemahiran komunikasi dan kepimpinan pelajar. Dengan pendedahan kepada persekitaran baharu, pelajar dapat memperluas jaringan sosial serta mengembangkan keupayaan diri untuk bersaing di peringkat global. Beliau turut berharap agar program ini dapat diteruskan dan kerjasama erat dengan USK dapat diperkukuh melalui pertukaran pelajar, penyelidikan bersama, dan projek komuniti. Sebagai tanda penghargaan, para pelajar UTM mempersembahkan Tari Ratoh Jaroe pada majlis penutupan rasmi program, memukau hadirin dengan usaha mereka mempelajari seni tarian ini dalam tempoh yang singkat.

Program mobiliti UTM Sulung 2.0 ke Aceh memberikan peluang berharga kepada pelajar untuk mengembangkan diri dalam pelbagai aspek. Dari segi akademik, budaya, dan sosial, program ini memberikan pengalaman bermakna yang akan mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran global. Pengalaman yang diperoleh di Aceh ini pasti akan memberi impak positif dalam melahirkan graduan yang lebih dinamik, berdaya saing, dan bersedia untuk berbakti kepada masyarakat serta negara.

DSC
Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim bergambar bersama Rektor Universitas Syiah Kuala dan Universitas Teuku Umar serta tetamu kehormat dari USK termasuk Pengarah UTM International, Prof. Madya Dr. Mohd Ariffin Abu Hassan dan pelajar UTM Sulung 2.0 yang menyertai program di USK, Aceh

Explore More