Mac 31, 2025

Pengusaha Kafe UTM sedia perkasa inisiatif Menu Rahmah

JOHOR BAHRU, 17 Feb – Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNCHEPA) dengan kerjasama Bahagian Permajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNC(P)) dan Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UTM telah menganjurkan Sesi Libat Urus KPDN Johor Bersama Pengusaha Kafe & Premis Perniagaan yang berlangsung di Dewan Kuliah 8, Bangunan N24, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru.

Program yang digerakkan oleh GPS UTM ini bertujuan memperkasa pelaksanaan Inisiatif Menu Rahmah dalam usaha meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan warga kampus, khususnya dalam kalangan pelajar UTM daripada golongan B40. Selain itu, program ini turut memberi pendedahan mengenai Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta langkah-langkah penyediaan makanan dan produk secara bersih serta selamat.

Inisiatif Menu Rahmah diperkenalkan oleh kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membantu golongan kurang berkemampuan dengan penyediaan makanan pada harga yang lebih berpatutan. Pengusaha kedai makan dan restoran yang menyertai program ini dikehendaki menyediakan hidangan harian (sama ada makan tengah hari atau makan malam) pada harga tidak melebihi RM5.00 setiap satu. Lazimnya, hidangan dalam Menu Rahmah mengandungi satu sumber protein, seperti ayam atau ikan, serta satu jenis sayur. Matlamat utama inisiatif ini adalah untuk memastikan semua lapisan masyarakat, terutama mereka yang berpendapatan rendah, dapat menikmati hidangan sihat pada harga yang mampu milik.

IMG
Sharon Christina, Ketua Seksyen Perdagangan Dalam Negeri, KPDN Johor menyampaikan taklimat mengenai Inisiatif Menu Rahmah serta manfaat penyertaannya kepada para peniaga dan pengusaha kafe

Seramai 42 wakil pengusaha kafe dan premis perniagaan di UTM menghadiri sesi ini. Turut hadir ialah Prof. Dr. Yusof Boon, Pengerusi Bahagian Permajuan; Hanifah Ahmad, Ketua Pentadbiran JTNCHEPA, pegawai-pegawai UTM, pegawai-pegawai KPDN Negeri Johor, serta Ahli Jawatankuasa Kelab GPS UTM selaku urus setia program.

File
Antara tetamu yang hadir. Duduk dari kiri: Sharon Christina (Pegawai KPDN Johor), Hanifah Ahmad (Ketua Pentadbiran JTNCHEPA), Prof. Dr. Yusof Boon (Pengerusi Bahagian Permajuan UTM), Ariffin Basserany (Timbalan Pendaftar Bahagian Permajuan UTM) dan Muhammad Hazeem Faizul Zahar (Pengarah Program)

Menurut Hanifah Ahmad, pihak JTNCHEPA amat berharap agar semua pengusaha kafe di UTM dapat bekerjasama dalam memperkasa semula pelaksanaan Inisiatif Menu Rahmah di kampus.

File
Hanifah Ahmad mengalu-alukan penyertaan pengusaha kafe dalam melaksanakan Inisiatif Menu Rahmah di UTM

Tambah beliau, “Pihak universiti berharap agar pelaksanaan Inisiatif Menu Rahmah ini dapat membantu menjaga dan meningkatkan kesejahteraan warga kampus, khususnya para pelajar, dengan memastikan mereka memperoleh makanan yang sihat, bersih, dan berkualiti pada harga yang berpatutan.”

Selain itu, program ini juga menjadi platform perbincangan antara pihak KPDN, universiti, serta pengusaha kafe dan premis perniagaan di UTM bagi mencari solusi terbaik (win-win situation) dalam melaksanakan inisiatif ini, sejajar dengan peningkatan kos sara hidup semasa.

File
Sebahagian pengusaha kafe dan pemilik premis perniagaan yang hadir sepanjang sesi berlangsung

Pihak pengurusan universiti menunjukkan komitmen mereka dalam menjaga kebajikan serta kesejahteraan warga kampus, di samping memastikan kepentingan pengusaha kafe yang beroperasi di dalam kampus UTM turut diberi perhatian.

Explore More