Mac 12, 2025

pledge

Kempen Sumbangan Tabung Endowmen perkukuh sokongan kepada mahasiswa UTM

JOHOR BAHRU, 5 Feb – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Seksyen Dana Endowmen telah memperkenal Kempen Sumbangan ke Tabung Endowmen menerusi kaedah pledge, sebagai usaha strategik untuk memperkukuh kewibawaan institusi serta menyokong pembangunan pendidikan di UTM. Inisiatif ini bertujuan menggalakkan lebih banyak pihak memperkasa kepada ekosistem endowmen universiti, sekali gus memastikan kesinambungan dana bagi kebajikan pelajar dan pembangunan akademik.

UTM komited untuk memastikan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang, khususnya golongan kurang berkemampuan, mendapat akses kepada pendidikan tinggi. Pada masa ini, kira-kira 60 peratus mahasiswa UTM berasal daripada keluarga B40 yang memerlukan bantuan kewangan bagi meneruskan pengajian dengan lebih selesa. Oleh itu, usaha memperkukuh dana Endowmen adalah amat penting bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat manfaat yang sewajarnya.

Melalui kempen ini, individu dan organisasi, termasuk alumni serta syarikat korporat, berpeluang menzahirkan sokongan mereka dengan menyalurkan sumbangan secara bulanan mengikut jumlah dan tempoh yang dipersetujui. Kaedah pledge ini memberikan fleksibiliti kepada penyumbang dalam merancang komitmen mereka secara sistematik, sekali gus membantu universiti dalam penyediaan biasiswa, pembangunan kemudahan akademik, serta kebajikan pelajar yang memerlukan.

Sebagai simbolik pelancaran kempen ini, majlis penyerahan cek cura sumbangan berjumlah RM216,000.00 telah berlangsung, disampaikan oleh Pengarah Urusan Khairi Consult Sdn. Bhd. merangkap Presiden Persatuan Alumni UTM, Dato’ Ir. Hj. Mohamad Khairi Ambran, kepada Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif bantuan pelajar melalui Biasiswa Endowmen UTM. Sejak 2011, lebih RM27 juta telah disalurkan kepada 780 mahasiswa UTM dalam bentuk biasiswa pembelajaran serta elaun sara hidup.

MGL
Majlis penyerahan cek cura sumbangan berjumlah RM216,000.00

Penyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Endowmen UTM menerusi pelbagai kaedah, termasuk potongan gaji bagi staf UTM, sistem fundraising di aplikasi UTMSMART, serta platform dalam talian di laman web https://fundraising.utm.my. Setiap sumbangan diuruskan secara telus dengan laporan tahunan mengenai penggunaan dana bagi biasiswa dan pembangunan akademik, memastikan impak yang maksimum kepada mahasiswa yang memerlukan. Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman rasmi Endowmen UTM di https://dvcdev.utm.my/endowmen/.

Sejak 2011, jumlah penerima biasiswa Endowmen UTM terus meningkat secara konsisten, mencerminkan kepercayaan masyarakat terhadap inisiatif ini. Peningkatan dana setiap tahun membuktikan bahawa lebih ramai individu dan organisasi menyedari kepentingan menyokong pendidikan tinggi. Diharapkan agar setiap sumbangan, walaupun kecil, membawa perubahan besar kepada masa depan mahasiswa. Justeru, UTM mengalu-alukan lebih ramai pihak untuk bersama menjayakan inisiatif ini demi memastikan akses pendidikan yang lebih luas dan berkualiti.

Explore More