Mac 12, 2025

photo

Kayuhan Lestari 1.0 pupuk gaya hidup sihat dan keberlanjutan di UTM

JOHOR BAHRU, 20 Feb – Kayuhan Lestari 1.0 merupakan acara berbasikal yang dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Jabatan Timbalan Naib Canselor Pembangunan (JTNCP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 20 Februari 2025 sebagai sebahagian daripada inisiatif keberlanjutan dan pemeliharaan alam sekitar. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan gaya hidup sihat dengan mempelawa staf serta masyarakat kampus untuk menyertai aktiviti berbasikal yang bukan sahaja menyeronokkan malah bermanfaat untuk kesihatan. Inisiatif ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG3 (Kehidupan Sihat dan Sejahtera) dengan menekankan kepentingan aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian.

Acara ini dirasmikan oleh Pengerusi BPA, Prof. Madya Sr Dr. Tajul Ariffin yang turut melepaskan peserta kayuhan secara simbolik sebagai tanda sokongan terhadap usaha keberlanjutan. Selain memperkenalkan konsep keberlanjutan secara lebih luas, program ini juga berperanan dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar selaras dengan SDG11 (Bandar dan Komuniti Mampan). Dengan menggalakkan penggunaan pengangkutan mesra alam seperti basikal, program ini juga menyokong SDG13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim) dengan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan bermotor, seterusnya mengurangkan pelepasan karbon.

photo
Pengerusi BPA melepaskan pasukan kayuhan lestari
photo
Marshall menunjukkan arah laluan kepada peserta

Kayuhan Lestari 1.0 memulakan perjalanan dari Kompleks Utama BPA dan melalui laluan yang telah ditetapkan sejauh lima kilometer. Laluan ini bukan sahaja memastikan keselamatan dan keselesaan peserta, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk menikmati keindahan alam semula jadi di sekitar Kampus UTM Johor Bahru. Sepanjang perjalanan, pasukan marshall bertugas memastikan kelancaran kayuhan serta memberikan panduan kepada peserta untuk mengelakkan sebarang halangan.

photo
Checkpoint berhadapan Masjid Sultan Ismail, UTM
photo
Peserta berehat seketika di checkpoint sebelum menghabiskan kayuhan

Dalam usaha memastikan keselesaan peserta, beberapa checkpoint telah disediakan termasuk di hadapan Masjid Sultan Ismail, di mana peserta berpeluang berehat seketika sebelum meneruskan kayuhan ke garisan penamat. Checkpoint ini juga berfungsi sebagai ruang interaksi bagi peserta berkongsi pengalaman serta memperkukuh hubungan sesama komuniti kampus.

Kayuhan Lestari 1.0 bukan sekadar sebuah acara berbasikal, tetapi satu langkah konkrit dalam memperkenal konsep keberlanjutan dan kepentingan pemeliharaan alam sekitar kepada masyarakat. Program ini mencerminkan komitmen BPA dalam menyumbang kepada persekitaran yang lebih hijau dan sihat, di samping membina kesedaran kolektif untuk bertanggungjawab terhadap masa depan bumi. Seiring dengan SDG15 (Kehidupan di Daratan), inisiatif ini turut menggalakkan pemuliharaan biodiversiti dengan menanamkan kesedaran mengenai pentingnya ekosistem yang seimbang.

Dengan sambutan positif yang diterima, BPA berharap agar Kayuhan Lestari dapat dijadikan acara tahunan yang lebih meluas penyertaannya pada masa akan datang. Melalui kesinambungan program seperti ini, UTM terus komited dalam menerajui keberlanjutan dan gaya hidup sihat dalam kalangan warganya, selaras dengan aspirasi universiti dalam mencapai kesejahteraan holistik dan keseimbangan alam sekitar.

photo
Kayuhan Lestari 1.0 2025 selesai dengan jayanya

Explore More