JOHOR BAHRU, 26 Feb – Badan Kebajikan Sekolah Pengajian Siswazah (BAKESIS) buat julung kalinya menganjurkan program Car Boot Sale SPS di tapak parkir Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), Blok F54, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan hampir 30 peniaga yang terdiri daripada staf, pelajar UTM, dan penduduk setempat.
Dirancang sejak awal Januari 2025, program ini merupakan inisiatif BAKESIS untuk menyediakan peluang keusahawanan, menjana pendapatan sampingan, serta mengeratkan hubungan antara warga jabatan melalui interaksi positif dan kerjasama. Selain itu, ia turut menggalakkan budaya kitar semula dengan menjual barangan terpakai yang masih berkualiti kepada mereka yang memerlukan.

Seawal jam 8.00 pagi, para peserta mula tiba untuk menyusun dan menyediakan bahan jualan di but kereta masing-masing. BAKESIS turut menampilkan peniaga jemputan khas, termasuk jenama popular seperti Hasnuri, Tahu X Tahu, Kueh Bakor, dan Pengat Klasik, yang merupakan perniagaan bumiputera terkenal di sekitar Johor Bahru. Selain itu, beberapa peniaga dengan jenama tersendiri turut menyertai program ini, antaranya Aunty Jam Crochet, The Good Old Things, Brewbernie, Kopi Dua Tujuh, BALEP Nachos Loaded, Ninety6 Coffee, dan Gincus Preloved. Beberapa ejen produk juga mengambil bahagian, termasuk Mommy Hanna, Tupperware, Public Gold, serta wakil dari UTM Sports Excellence, Kelab Kayangan TNCP, dan BAKESIS.
Menjelang jam 9.00 pagi, suasana di tapak jualan semakin meriah dengan pelbagai barangan menarik dijual, termasuk makanan, minuman, pencuci mulut, buku, aksesori, pakaian, jubah, tudung, dan banyak lagi.

Selain aktiviti jual beli, program ini turut dimeriahkan dengan sesi senamrobik yang diketuai oleh Amirul Ariff sebagai jurulatih. Aktiviti ini mendapat sambutan hangat daripada staf pelbagai jabatan di Blok F54 yang menyertainya dengan tema “Sihat Bersama, Seronok Bersama”.


Para pengunjung mengambil kesempatan untuk mendapatkan pelbagai barangan pada harga berpatutan, di samping menyokong para vendor yang terlibat. Salah seorang peserta, Khayra, menyatakan keterujaannya kerana ini merupakan pengalaman pertamanya menyertai program sebegini, yang memberikan peluang berniaga dalam suasana santai dan menyeronokkan. Pengat Klasik, yang selama ini hanya membuka gerai di kawasan taman berhampiran, juga melihat program ini sebagai satu pengalaman baharu yang berharga.
Pengurus program, Norliyana Zakaria, bersama Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa BAKESIS, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran program ini. Beliau turut menghargai kerjasama semua pihak, termasuk ahli BAKESIS yang turun padang memastikan kelancaran program. Pihak penganjur mengucapkan terima kasih atas sambutan menggalakkan daripada peniaga dan pengunjung, yang menjadikan acara ini lebih meriah. Program ini berakhir pada jam 3.00 petang dengan sesi penutupan dan pembersihan kawasan secara teratur.

Kejayaan program pertama ini memberi inspirasi kepada BAKESIS untuk menjadikan Car Boot Sale SPS sebagai acara tahunan dan pencetus kepada penganjuran program yang lebih besar dan bermakna pada masa hadapan. Selain itu, program ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan antara staf, pelajar, warga UTM, dan komuniti luar, sekali gus mewujudkan suasana kolaboratif yang lebih harmoni dan bermanfaat untuk semua.
Oleh Hafiz Ahmad (Penulis) dan Norliyana Zakaria (Penyunting)