Februari 8, 2025

n

PONTIAN, 25 Jan – Fakulti Komputeran di bawah Dana Program Pemindahan Ilmu – Geran Teknologi Penyelidikan (KTP-RIG) UTM, dengan kerjasama Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kelab Jong Pontian dan Komuniti Serkat, Pontian telah berjaya melaksanakan sebuah program perpindahan ilmu yang berfokuskan aplikasi digital dalam pembangunan video menggunakan aplikasi Capcut. Program ini telah berlangsung selama satu hari, iaitu pada 25 Januari 2025, bertempat di  D’Busana Kreatif, Serkat, Pontian, Johor.

Program yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Azurah A Samah ini, telah berjaya menarik penyertaan seramai 21 orang peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, penjawat awam dan peniaga-peniaga kecil dari Komuniti Serkat. Dengan kerjasama dan sokongan yang padu daripada Kelab Jong Pontian dan Komuniti Serkat, program ini telah berjaya mencapai matlamatnya dalam memberi pendedahan kepada komuniti Serkat mengenai penyuntingan video menggunakan aplikasi Capcut dan mengajar teknik asas penyuntingan video menggunakan telefon pintar.

Ketua penceramah, Megat Irfan, bersama fasilitator lain, iaitu Farah Nabila, Muhammad Izat, Puteri Eleeya, Dr. Arifah dan Puan Norulhana telah berjaya menunjuk ajar dan membimbing peserta melalui modul utama yang menekankan teknik penyuntingan kreatif dan latihan praktikal menggunakan aplikasi CapCut. Peserta didedahkan kepada penyuntingan asas, penggunaan efek visual, dan transisi bagi meningkatkan kualiti video. Sesi interaktif ini memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan kemahiran secara langsung dan memperkukuh keupayaan mereka dalam penghasilan kandungan digital yang berkualiti. Program seliaan Profesor Madya Dr. Azurah ini turut dibantu oleh beberapa staf Fakulti Komputeran iaitu Ts. Hazri, Dr. Najmi dan Dr. Farkhana.

capcutPicture
Penceramah Megat Irfan, memberi ceramah untuk sesi teori
capcutPicture
Penceramah Megat Irfan, membimbing para peserta melalui sesi latihan praktikal yang interaktif
capcutPicture
Peserta membentangkan hasil kerja selepas sesi amali

Majlis penutup kursus ini disempurnakan oleh Penghulu Mukim Serkat, Roslan Bokari, yang menyampaikan penghargaan kepada peserta, tenaga pengajar, dan penganjur atas kejayaan program ini. Beliau menekankan kepentingan kemahiran penyuntingan video dalam era digital untuk pendidikan, perniagaan, dan penyebaran maklumat.

Profesor Madya Dr. Azurah dari Fakulti Komputeran UTM turut mengucapkan tahniah kepada peserta dan berharap ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan secara peribadi serta untuk komuniti. Beliau menegaskan bahawa program ini bukan sahaja mengasah kemahiran teknikal tetapi juga membuka peluang dalam bidang kreatif sejajar dengan perkembangan teknologi.

capcutPicture
Penghulu Mukim Serkat menyampaikan ucapan penutup
capcutPicture
Penglibatan para peserta bersama ahli jawatankuasa dari UTM

Program ini diharapkan dapat memberi impak positif dan berterusan dalam memperkasa kemahiran penyuntingan video peserta, sekali gus membuka peluang kepada komuniti Serkat mempromosikan dan menyebarluaskan produk tempatan seperti permainan jong, permainan gasing, produk kraf tangan, dan lain-lain melalui kandungan digital yang kreatif dan berkualiti. Selain itu, ia turut memperkasa komuniti Serkat dalam menguasai kemahiran digital yang relevan dengan keperluan semasa, membuka peluang ke arah pemasaran yang lebih kreatif dan berdaya saing, serta menarik minat generasi muda untuk menghargai dan melestarikan warisan budaya tempatan melalui medium digital.

Explore More