April 18, 2025

Picture

TerraNavigators: Connecting Continents tingkat minat pelajar dalam ilmu pemetaan

JOHOR BAHRU, 22 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui kursus Satellite Positioning II (S3253) telah menganjurkan program perkongsian ilmu bertajuk ‘Terra Navigators: Connecting Continents’ yang bertujuan memperkenal bidang geomatik kepada pelajar Kolej Komuniti Gelang Patah dan Kolej Komuniti Pasir Gudang. Jumlah peserta yang terlibat adalah seramai 79 orang bersama 7 orang pensyarah pengiring.

Picture
Sesi perkongsian ilmu bersama para peserta oleh Mohammad Danial Nazrin

Program ini memberi pendedahan kepada peserta tentang kepentingan sistem navigasi dan teknologi Sistem Satelit Navigasi Sejagat (Global Navigation Satellite System – GNSS) dalam menentukan lokasi sesuatu tempat serta proses cerapan data menggunakan peralatan GNSS. Selain itu, peserta turut didedahkan kepada aplikasi teknologi geomatik dalam pelbagai bidang, termasuk manfaatnya kepada masyarakat dan alam sekitar.

Penggunaan teknologi GNSS adalah semakin meluas dalam kehidupan seharian, dan pengetahuan mengenai penggunaannya sangat penting bagi membangunkan kemahiran yang relevan dalam industri. Program ini juga berfungsi sebagai platform bagi mempromosikan bidang Geomatik kepada pelajar Kolej Komuniti serta meningkatkan kesedaran tentang peranan UTM dalam pendidikan dan penyelidikan berkaitan teknologi pemetaan.

Picture
Aktiviti Geocaching di sekitar Tasik Ilmu

Sepanjang program berlangsung, peserta berpeluang untuk mendengar sesi perkongsian ilmu oleh pelajar tahun 3 daripada Program Kejuruteraan Geomatik dan menjalani sesi praktikal ‘Geocaching: Treasure Hunt’ bertempat di Tasik Ilmu, UTM dengan menggunakan peralatan GNSS untuk memahami konsep asas navigasi dan pemetaan. Para peserta dapat meneroka potensi bidang geomatik serta mampu meningkatkan minat mereka terhadap teknologi pemetaan moden. Tambahan lagi, peserta turut dibawa ke Balai Cerap, yang terletak di kawasan tinggi di UTM dengan pemandangan indah dan memberikan mereka pengalaman unik dari sudut yang lebih luas dan menarik. Penganjuran program ini merupakan salah satu usaha berterusan UTM dalam memperkasakan pendidikan dan penyebaran ilmu dalam kalangan masyarakat, sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi peneraju dalam bidang sains dan teknologi di peringkat antarabangsa.

Picture
Antara aktiviti lawatan peserta di Balai Cerap UTM
Picture
Penyampaian Hadiah oleh Sr Dr. Othman Zainon, Ketua Jabatan Geoinformasi kepada pemegang Aktiviti Kuiz dan Geocaching (wakil kumpulan)
Picture
Penyampaian Sijil dan Cenderamata kepada wakil penyarah-pensyarah Kolej Komuniti Gelang Patah dan Kolej Komuniti Pasir Gudang yang hadir

Explore More