JOHOR BAHRU, 4 Jan – Malam Kebudayaan Tiong Hua telah diadakan pada 4 Januari 2025 bertempat di Kolej Tun Razak (KTR). Program ini berjaya menarik 287 peserta, termasuk tetamu kehormat dan jemputan utama dalam usaha memperkenal budaya masyarakat Cina serta mengeratkan perpaduan dalam kalangan warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Program ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kelab UNLOCK KTR dengan kerjasama Exco Kebudayaan dan Kesenian, Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) KTR. Sejak penganjurannya, program ini telah menjadi satu platform untuk memperkenal seni dan tradisi masyarakat Cina kepada mahasiswa pelbagai kaum, sekali gus mengukuhkan semangat perpaduan dalam komuniti kampus.
Program ini dibahagikan kepada dua sesi, iaitu sesi petang dan sesi malam. Pada sesi petang, peserta menyertai Bengkel Kaligrafi Cina, di mana mereka belajar menulis perkataan Fu (福) yang melambangkan kebahagiaan serta menyertai Bengkel Blowing Blossom, iaitu seni melukis bunga plum menggunakan teknik tiupan dakwat. Aktiviti ini mendapat sambutan baik daripada mahasiswa yang tertarik untuk mencuba seni tradisional ini.

Sesi malam pula dimeriahkan dengan pelbagai persembahan budaya oleh kelab-kelab Cina UTM. Persembahan 24 Festive Drums yang menakjubkan penonton menjadi pembuka acara, diikuti oleh tarian kipas yang mempersembahkan seni tarian Kipas Cina yang mengandungi keindahan, kelembutan dan kegembiraan yang ditarikan dengan penuh penghayatan.


Selain itu, persembahan nyanyian klasik Cina dan orkestra Cina turut menghidupkan suasana malam kebudayaan dengan alunan muzik tradisional yang menenangkan.
Selain persembahan, pertandingan DIY Ang Pau turut diadakan bagi menguji kreativiti peserta dalam mereka bentuk ang pau yang unik dan menarik. Peserta menggunakan pelbagai bahan untuk menghasilkan rekaan yang mencerminkan nilai budaya serta kreativiti individu.

Menurut pengarah program, Cheng Yi Chen, Malam Kebudayaan Tiong Hua bukan sahaja menjadi satu acara kebudayaan, tetapi juga satu platform untuk mahasiswa memahami dan menghargai warisan budaya masyarakat lain. “Program ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga membantu memperkukuh perpaduan dalam kalangan mahasiswa,“ katanya.
Seorang peserta, Nur Izza Farisha, turut berkongsi pengalamannya menyertai program ini. “Saya seronok dapat belajar kaligrafi Cina dan melihat persembahan budaya yang menarik. Program ini memberi peluang kepada kami untuk mengenali lebih mendalam tentang adat dan warisan masyarakat Cina.“

Program ini turut mendapat pujian daripada Hemnaarth Tanakaran, Penolong Pegawai Tadbir di UTM International yang merasmikan majlis tersebut. Beliau menyatakan bahawa program seperti ini amat penting dalam memupuk kefahaman antara kaum dan memperkaya pengalaman silang budaya mahasiswa.
Malam Kebudayaan Tiong Hua mendapat sambutan daripada mahasiswa dan berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk perpaduan serta memperkayakan pengalaman silang budaya. Diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memelihara warisan budaya dalam suasana kampus yang harmoni.