SIMUNJAN, 12 Jan. – Seramai 22 orang pelajar pascasiswazah, program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah dari Jabatan Harta Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) telah mengadakan program komuniti di Daerah Simunjan yang terletak kira-kira 176km dari Bandar Kuching, Sarawak. Program yang diberi nama “Lan Berambeh: Randau Tanah UTM Land Sabei” ini telah diiringi tiga pensyarah kanan dari Jabatan Harta Tanah, iaitu Dr. Aminah Mohsin, Dr. Zafirah Ab. Muin dan juga Dr. Maryanti Mohd Raid.
Program ini telah berlangsung selama dua hari satu malam di Dewan Serbaguna Kampung Nanas dengan kolaborasi bersama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.25 Daerah Simunjan. Konsep penyampaian ilmu secara sembang santai digunakan agar komuniti lebih memahami apabila menggunakan bahasa yang lebih santai dan mudah difahami. Hal ini selari dengan elemen keempat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Pendidikan Kualiti dalam menjamin pendidikan yang menyeluruh dan ekuiti kepada semua golongan.
Tambahan pula, selari dengan Kluster Empat Dasar Komuniti Negara yang menekankan peri pentingnya pendidikan dan kemahiran pendidikan yang merupakan pelaburan masa hadapan terutamanya bagi generasi muda. Antara strategi Dasar Komuniti Negara adalah memperkasa pengetahuan dan kemahiran ahli komuniti, meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran golongan belia komuniti, serta mewujudkan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan untuk memperkukuh pengetahuan dan kemahiran anggota komuniti.
Peserta yang terdiri daripada 14 ketua-ketua masyarakat dan 23 komuniti Simunjan telah didedahkan dengan pelbagai ilmu berkenaan urusan pentadbiran tanah. Terdapat enam slot taklimat yang diberikan iaitu berkaitan polisi pengukuran Kampung Tradisional, pengukuran payung rumah panjang, pengukuran tanah hak adat Bumiputera, polisi pembaharuan tempoh surat hakmilik tanah, polisi skim pembesaran kampung dan skim penempatan semula, polisi pindah milik tanah melibatkan orang mati, polisi pengambilan balik tanah, dan perkongsian kes mahkamah berkaitan pendaftaran tanah.
Program ini bukan sahaja untuk perkongsian berkaitan ilmu tanah dengan komuniti, tetapi juga untuk mengeratkan ukhuwah bersama penduduk kampung tersebut dengan menjalankan aktiviti sukan rakyat dan senamrobik. Aktiviti-aktiviti ini secara tidak langsung memberi penerapan elemen ketiga SDG iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan.
Dalam program ini, satu Sudut ‘Cakna Ilmu Tanah’ berjaya dibangunkan sebagai suatu inisiatif dalam mewujudkan satu ruang pemindahan ilmu untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat. Sudut ini merupakan usaha praktikal mahasiswa dan akademia UTM untuk bekerjasama bersama komuniti demi kebaikan bersama. Sudut ‘Cakna Ilmu Tanah’ telah dirasmikan oleh ADUN Simunjan, YB Awla Dris. Hadir bersama Timbalan Pengarah (Pengurusan) JTS Sarawak Sr. Rozlan Putit, dan Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad.
Dalam ucapan YB Awla Dris, beliau telah menyatakan program seumpama ini amat penting kerana ianya tidak hanya untuk masyarakat secara am tetapi juga untuk pengurusan tanah milikan sendiri. Beliau amat menghargai pelaksanaan program ini kerana ia memberi peluang kepada komuniti luar bandar termasuk golongan belia untuk mempelajari lebih lanjut mengenai pengurusan dan pentadbiran tanah. Tambahan lagi, Sr. Rozlan menyatakan selaras dengan hasrat Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dalam memastikan polisi tanah yang dilaksanakan difahami oleh komuniti setempat, maka program sebegini menjadi platform yang baik untuk memberi pendedahan dan pengalaman bagaimana sesuatu polisi pentadbiran tanah mempengaruhi kehidupan masyarakat khususnya di luar bandar.
Program ini turut memberi peluang kepada pelajar dan ahli akademik UTM untuk berkongsi ilmu tanah yang telah mereka pelajari di universiti. Diharapkan agar program ini dapat memantapkan lagi ilmu pengetahuan para pelajar dan meningkatkan tahap penguasaan kemahiran generik dalam kalangan pelajar seperti kemahiran kepimpinan, kemahiran bekerja dalam kumpulan dan kemahiran berkomunikasi.