JERAM, 26 Jan – Karnival Santai Imarah Masjid yang dianjurkan melalui Program Bina Insan Guru oleh pelajar separuh masa dalam bidang Pendidikan Pengajian Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah berjaya dilaksanakan di Masjid Nurul Huda, Kampung Parit Mahang, Ijok. Program ini bertujuan memperkasakan peranan masjid sebagai pusat komuniti dengan mengetengahkan elemen pendidikan, kesihatan, dan kesedaran sosial.
Selain itu, karnival ini juga menjadi platform untuk menggalakkan keterlibatan masyarakat dalam aktiviti berbentuk kemasyarakatan, selain memperkenalkan fungsi masjid yang lebih luas sebagai pusat pembangunan ilmu dan kesejahteraan sosial. Keunikan program ini terletak pada penglibatan pelbagai pihak, termasuk pemimpin masyarakat, agensi kerajaan, serta badan bukan kerajaan (NGO) yang turut menyokong penganjurannya.

Sepanjang karnival, pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan untuk semua peringkat umur. Fun Run 3km menjadi acara pembukaan, yang dimulakan dengan sesi pemanasan badan diketuai oleh YB Jefri Mejan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok serta Azhari Arshad, Ketua Kampung Parit Mahang. Acara larian ini disertai lebih daripada 300 peserta, mencipta suasana meriah dan penuh semangat kesukanan.


Selain itu, pertandingan berbentuk pembangunan rohani turut diadakan, termasuk hafazan dan azan, yang mendapat penyertaan menggalakkan. Terdapat juga pertandingan mewarna sebagai usaha memupuk kreativiti dan nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Dari aspek kesedaran sosial dan kesihatan, ceramah oleh Supt. Bakari Bakar dari Bahagian Ancaman dan Ekstremis Sosial, Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dan Dr. Nurul Aisyah Muda dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah diadakan dengan tajuk “Kepentingan Pemeriksaan Kesihatan”.
Menariknya, terdapat juga aktiviti berkuda dan memanah yang dianjurkan oleh Kelab Memanah Berkuda Al-Farisi, memberikan pengalaman baharu kepada para peserta. Sebanyak 29 gerai jualan turut dibuka. Persembahan nasyid daripada Kumpulan Pawana turut menyerikan suasana, di samping acara cabutan bertuah yang dinantikan para pengunjung.
Program ini berjaya menarik lebih 500 pengunjung, mencerminkan sokongan yang tinggi daripada masyarakat setempat. Nazir Masjid Nurul Huda, Ustaz Muhammad Yunus, menyatakan rasa syukur atas kejayaan program ini dan berterima kasih kepada pelajar UTM yang menjadi penggerak utama dalam menjayakannya. Menurut beliau, “Saya tidak mampu nak buat karnival di masjid tapi dengan adanya pelajar-pelajar UTM, saya mampu laksanakan. Saya percaya pelajar UTM dapat membantu saya.”

Fakhruddin, salah seorang peserta Fun Run, berkata, “Tahniah kerana berjaya menganjurkan acara yang julung kali diadakan juga terima kasih sanggup berkampung di sini. Dan terima kasih daun keladi, lain kali buat lagi.” Seorang lagi peserta Fun Run yang hanya ingin dikenali sebagai Sudin, turut menyatakan, “Terima kasih… Next time boleh buat lagi.”
Karnival ini berjaya mencapai objektifnya dalam mempromosikan masjid dan meningkatkan kesedaran masyarakat. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan lebih banyak penglibatan daripada komuniti setempat.