Disember 22, 2024

beb df b bde acdb

UTM terap pendidikan hijau melalui projek taman herba dan sayuran

JOHOR BAHRU, 19 Dis. – Projek Taman Herba dan Sayuran merupakan satu usaha yang mencerminkan kekuatan kolaborasi antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jabatan Pertanian Daerah Johor Bahru, dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Pulai 2. Program ini juga merupakan inisiatif  Pembelajaran Berasaskan Perkhidmatan (Service-Learning) yang dianjurkan oleh pelajar Sarjana Pendidikan (Pengurusan dan Pentadbiran) yang mengambil kursus Pengurusan Organisasi Pendidikan (MHPA1133) di bawah bimbingan Dr. Roslizam Hassan dengan kelulusan daripada Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) UTM.

fb e d ae afbc
Murid-murid mempraktikkan cara penanaman benih sayuran dengan betul

Projek Taman Herba dan Sayuran 2024 yang diketuai oleh Mohd Yatim Ab Rahman ini telah dilaksanakan dengan jayanya di SK Kangkar Pulai 2 yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 14 Disember 2024 dan 19 Disember 2024 dengan penglibatan pelajar UTM seramai 26 orang dan 35 orang murid Tahun 4 dengan kerjasama empat orang Pegawai Pertanian dari Jabatan Pertanian Daerah Johor Bahru. Objektif program ini adalah untuk menaik taraf taman herba dan sayuran sedia ada di sekolah, memupuk tabiat pemakanan sihat melalui penggunaan herba segar, dan memberi pendedahan kepada murid tentang penanaman serta penjagaan tumbuhan.

dc c d bcb cfbfca
Murid menanam pokok herba di Taman Herba dengan tunjuk ajar pelajar UTM

Pada 14 Disember yang lepas, pelajar UTM telah memulakan kerja-kerja mencantikkan dan menyelenggara taman tanpa kehadiran murid-murid. Usaha ini dibantu dan diselia oleh guru-guru dari SK Kangkar Pulai 2, iaitu Khairul Azri Saipul Sahri, Mohd Rahimi Mohd Yusof dan Ahmad Zulhusni Zaimani, yang melibatkan kerja pembersihan kawasan, penanaman semula tumbuhan, dan hiasan semula elemen taman menggunakan bahan kitar semula dan bahan lain yang disediakan oleh pelajar UTM dan bahan-bahan tanaman yang telah disumbangkan oleh Jabatan Pertanian Daerah Johor Bahru. Semua pelajar UTM yang hadir telah dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut tapak yang telah disediakan oleh guru penyelarasan dan Guru Besar SK Kangkar Pulai 2. Tapak tersebut terdiri daripada Taman Herba, Taman Sayuran dan Taman Hidroponik, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

ecca d c bd cdce
Murid tekun mendengar tunjuk ajar daripada pegawai Jabatan Pertanian Johor Bahru

Pada 19 Disember pula, suasana di SK Kangkar Pulai 2 menjadi lebih ceria dengan kehadiran murid-murid Tahun 4 yang terlibat dalam pelbagai aktiviti secara amali (hands-on). Pegawai Pertanian Daerah Johor Bahru, Shahnon Saian, bersama pasukannya telah memberikan taklimat menarik mengenai herba dan sayuran, termasuk perbezaan antara herba hutan dan herba pertanian berserta kaedah penanaman secara hidroponik. Guru Besar, Hj. Yackob K. Pareeth melahirkan rasa bangga terhadap kerjasama ini, kerana program sebegini telah menyemai nilai kelestarian dan pendidikan praktikal dalam kalangan murid. Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Jabatan Pertanian dan UTM atas usaha yang telah memberikan impak besar kepada sekolah.

d b c b ba
Kegembiraan terpancar pada wajah murid dan juga pelajar UTM

Biarpun projek ini hanya berlangsung selama dua hari, hasilnya cukup memberangsangkan apabila taman-taman di sekolah bukan sahaja kelihatan lebih menarik, tetapi juga lebih teratur dan berfungsi sebagai sumber pendidikan untuk pelbagai mata pelajaran. Murid-murid pulang dengan penuh keseronokan dengan membawa ‘polybag’ berisi pokok herba yang mereka tanam sendiri berserta dengan “ D.I.Y Germination Kits” yang mereka boleh aplikasikan pembelajaran berterusan di rumah. Antara perubahan menarik yang diperkenalkan terhadap taman herba dan sayuran sedia ada adalah pemasangan poster taman yang dilengkapi kod QR untuk memberikan maklumat tambahan kepada pengunjung taman serta gambar kenangan sepanjang aktiviti dijalankan. Aktiviti ini menjadi bukti kreativiti pelajar UTM dalam menggabungkan teknologi dengan elemen pendidikan hijau.

Explore More