PUTRAJAYA, 2 Dis –Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad telah menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bulan November 2024 yang berlangsung di Dewan Sutera, Ibu Pejabat JBPM Putrajaya. Majlis ini dianjurkan oleh Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat dan disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad.
Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, diiringi oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Johor, PKPgB Tc. Saifulbahri Safar, telah menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata UTM kepada Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad. Penghargaan ini diberikan sebagai tanda menghargai usaha dan sumbangan besar JBPM dalam Operasi Penstabilan dan Pelupusan Asid Pikrik UTM 2024 pada 29 April sehingga 9 Mei 2024 yang lepas.
Operasi tersebut melibatkan usaha sama antara Pasukan Khas Bahan Kimia berbahaya atau lebih dikenali sebagai Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) JBPM dan staf UTM. Operasi melibatkan tiga fasa iaitu penstabilan, perpindahan, dan pelupusan. Ianya berjaya dilaksanakan dengan selamat tanpa menyebabkan sebarang kemalangan. Usaha dan kerjasama daripada pihak JBPM dapat memastikan keselamatan komuniti kampus dan juga menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.
Susulan daripada hubungan erat antara JBPM dan UTM, beberapa program telah dijalankan antaranya ialah keselamatan aktiviti air (Basic Water Surface Lessons) oleh BBP Skudai kepada staf UTM pada 3 November 2024, dan Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Pengarah Tahun 2024 JBPM di Sport Hall 1 UTM pada 29 November sehingga 1 Disember 2024. Kejohanan Sepak Takraw melibatkan peserta-peserta daripada 16 negeri yang berkumpul di Sport Hall 1.
Selain daripada itu, pihak JBPM telah menjemput UTM menghadiri Persidangan dan Pameran Kebombaan Antarabangsa Malaysia (IFCEM) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 23 Oktober 2024. Seramai 6 orang pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) dan 3 staf Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) telah ditaja oleh JBPM Negeri Johor bagi menghadiri persidangan tersebut.