Kuala Lumpur, 16 Disember – Timbalan Menteri, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud, hari ini telah merasmikan Seminar Pembangunan Bakat Kecerdasan Buatan Negara yang berlangsung di Hotel Everly, Putrajaya.
Seminar dua hari yang berlangsung pada 16 hingga 17 Disember 2024 ini dianjurkan oleh Fakulti Kecerdasan Buatan (AI), Universiti Teknologi Malaysia sebagai satu wadah perkongsian pengalaman serta percambahan idea antara institusi pendidikan tinggi, pihak industri, dan kerajaan dalam pembangunan program akademik kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI).
Dalam ucapan perasmiannya, Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud menekankan kepentingan teknologi AI sebagai pemacu transformasi ekonomi dan sosial di peringkat global. “AI bukan sekadar teknologi, ia kini menjadi pemacu utama kepada transformasi ekonomi dan sosial di peringkat global. Dalam konteks negara kita, AI berpotensi untuk menjadi asas kepada pembangunan yang mampan, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi teknologi di rantau Asia,” katanya.
Objektif pelaksanaan seminar ini adalah untuk berkongsi amalan terbaik dalam membangunkan kurikulum dan meningkatkan kualiti program akademik AI, mendapatkan maklum balas bagi penambahbaikan kurikulum program akademik AI, serta mengenal pasti peluang kolaborasi dalam pengurusan program akademik yang melibatkan pertukaran pelajar, latihan industri, dan program mobiliti dalam serta luar negara, khususnya dalam bidang AI.
Yang Berhormat Timbalan Menteri turut memuji sinergi antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, dan pihak industri yang telah memungkinkan seminar ini berlangsung. Beliau menegaskan, “Kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, dan pihak industri dalam seminar ini merupakan contoh teladan bagaimana sinergi antara pelbagai pihak dapat mempercepatkan transformasi teknologi di negara kita”.
Seramai 200 orang peserta menghadiri sesi pembentangan dan bengkel interaktif seminar yang menampilkan pembentang serta panel pakar yang berwibawa dalam bidang masing-masing.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yakin bahawa sinergi daripada sumbangan idea dan kepakaran semua pihak yang terlibat dalam seminar ini akan melahirkan strategi berimpak tinggi untuk memacu landskap pendidikan tinggi negara. Usaha ini diharap menjadi asas dalam merangka program akademik AI yang lebih relevan dengan keperluan industri dan aspirasi negara, sekali gus menghasilkan bakat-bakat yang lebih inovatif.