Januari 5, 2025

Screenshot

UTM bantu pembelajaran kanak-kanak autistik melalui terapi Messy Play

ISKANDAR PUTERI, 13 Dis – Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) dan Pusat Terapi MindCare Centre menerusi kerjasama strategik telah melaksanakan siri ke-3 Program Khas Pendidikan Autisme menerusi terapi Messy Play pada 13 Disember 2024 bertempat di Dewan Sri Skudai, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). Program ini melibatkan seramai 72 orang peserta yang terdiri daripada komuniti Iskandar Puteri yang mempunyai anak-anak autistik.

36 peserta program terapi Messy Play

Tuan Hj. Mt Jaid Othman, Ahli Pemegang Amanah, YPIP selaku rakan strategik dan penyumbang dana utama program ini berkata, usaha ini dilaksanakan bagi merapatkan jurang pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas di komuniti Iskandar Puteri. Terapi Messy Play diangkat sebagai siri ke-3 program pendidikan kanak-kanak berkerperluan khas ini dengan mengambil kira kepentingan pendedahan awal kepada komuniti kaedah terapi mudah yang boleh dilaksanakan di rumah oleh ibu bapa. Jelas beliau, bengkel tersebut turut menjadi platform interaksi antara ibu-bapa yang mempunyai anak-anak autisme sebagai satu komuniti sokongan. Majlis penutupan bengkel latihan pengendalian terapi kanak-kanak autistik berasaskan modul Messy Play telah dirasmikan oleh Muhamad Nabil Fikri Yahya daripada Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), UTM.

Pelaksanaan bengkel Messy Play ini dikendalikan oleh ahli-ahli terapi dari Pusat Terapi MindCare Centre dengan mensasarkan pengayaan aktiviti kemahiran motor halus dan motor kasar kanak-kanak autisme. Sebanyak tujuh aktiviti yang dikendalikan iaitu Jelly Ocean Dive, Slippery Spaghetti Safari, Rainbow Rice Rainstorm, Oatmeal Mud Pies, Fluffy Cloud Dough, Yogurt Painting dan Biscuit Crunch Beach. Setiap kanak-kanak ini akan melalui setiap stesen terapi dan dibantu oleh fasilitator supaya terlibat aktif dalam aktiviti tersebut. Objektif terapi Messy Play untuk kanak-kanak autistik adalah untuk meningkatkan perkembangan menyeluruh dalam aspek sensori, motor, kognitif, dan emosi. Aktiviti ini membantu mengembangkan kemahiran motor halus dan kasar melalui pergerakan seperti meramas, menuang, dan menyentuh bahan, sekali gus memperkukuh koordinasi otot. Selain itu, Messy Play memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka deria dengan lebih mendalam melalui tekstur, bau, warna, dan suhu, membantu mereka menyesuaikan dan mengurangkan sensitiviti sensori. Fokus dan tumpuan juga dapat ditingkatkan apabila kanak-kanak terlibat dalam aktiviti ini, membolehkan mereka belajar untuk kekal dalam sesuatu aktiviti dalam tempoh lebih lama.

Terapi kemahiran motor halus yang disediakan untuk kanak-kanak autistik menerusi perbezaan tekstur, bau dan warna
Screenshot
Tujuh station aktiviti messy play yang dikendalikan oleh pakar terapi dari MindCare Centre

Dari aspek sosial, Messy Play menggalakkan interaksi dan kerjasama dalam kumpulan, membantu kanak-kanak autistik belajar kemahiran asas seperti berkongsi dan berkomunikasi. Aktiviti ini juga membolehkan mereka meluahkan perasaan serta kreativiti melalui permainan, di samping membantu mengurangkan tekanan dan mengawal emosi mereka dalam suasana yang santai. Pencapaian kecil yang dicapai melalui aktiviti seperti membentuk atau melukis akan membina keyakinan diri serta rasa pencapaian kendiri. Messy Play turut memperkenalkan struktur dan rutin yang membantu kanak-kanak mempelajari peraturan asas serta meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah dan pemikiran kritis. Secara keseluruhan, Messy Play menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna bagi kanak-kanak autistik, menyokong perkembangan fizikal, sosial, dan emosi mereka dalam suasana yang selamat dan menyokong.

Harapan untuk program Messy Play ini adalah agar ia dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan dengan impak yang lebih positif dan menyeluruh kepada komuniti, khususnya kanak-kanak autistik dan keluarga mereka. Program ini diharapkan bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran motor, sensori, dan sosial kanak-kanak autistik, tetapi juga berperanan sebagai platform sokongan yang kukuh kepada ibu bapa dalam menghadapi cabaran membesarkan anak-anak istimewa ini.

Dengan kesinambungan program seperti ini, diharapkan lebih banyak keluarga akan mendapat pendedahan tentang kepentingan terapi awal yang boleh dilaksanakan di rumah secara mudah dan praktikal. Kerjasama strategik antara organisasi seperti YPIP dan MindCare Centre juga perlu diperkukuhkan agar impak program dapat diperluaskan kepada lebih banyak komuniti di peringkat tempatan dan nasional.

Selain itu, program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan modul terapi kreatif yang inovatif dan berkesan untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Dengan sokongan berterusan dan pemindahan ilmu melalui platform seperti ini, lebih ramai individu serta pihak berkepentingan dapat bersama-sama berganding bahu dalam memastikan kanak-kanak autistik diberi peluang untuk berkembang secara optimum, sekali gus menjadikan komuniti lebih inklusif dan prihatin.

Oleh Dr. Nor Farahwahidah Abd Rahman dan Prof. Madya Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi

Explore More