KLUANG, 11 Dis. – Program Pembangunan Komuniti Celik STEM yang diadakan bersama Program Pembangunan MathLab sebagai salah satu sub-program telah berjaya dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, Kluang. Program ini mendapat bimbingan dari pensyarah penasihat, Dr. Mohd Rustam Mohd Rameli serta penglibatan seramai 31 orang mahasiswa tahun 4 Pendidikan Matematik (SHPMH) bagi kursus Sosiologi Pendidikan. Dalam program ini, 10 daripada 31 orang mahasiswa Pendidikan Matematik yang terlibat bertanggungjawab dalam membangunkan serta menceriakan fasiliti bilik Matematik (MathLab) di sekolah tersebut.
Program ini dijalankan dengan matlamat utama iaitu untuk meningkatkan keberkesanan bilik MathLab dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik. Lantaran itu, fungsi bilik MathLab dimaksimumkan agar bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran visualisasi terhadap topik poligon melalui penggunaan bahan bantu mengajar yang tersedia, malah turut meningkatkan motivasi murid dalam subjek Matematik melalui elemen inovasi seperti permainan. Sepanjang program berjalan, seramai 86 orang murid tingkatan 4 SMK Seri Perdana, Kluang menghadiri program tersebut. Daripada 86 murid yang hadir, hanya 21 murid terlibat secara langsung dalam program MathLab yang dijalankan.
Bilik MathLab dipenuhi dengan suasana positif apabila murid dapat memahami penggunaan kesemua bahan bantu mengajar yang disediakan dan seterusnya membantu dalam meningkatkan pemahaman mereka terhadap konsep Matematik. Murid juga didapati memperoleh peningkatan dalam viusalisai terhadap konsep Matematik melalui penerangan yang disampaikan oleh fasilitator apabila mereka menggunakan bahan bantu mengajar yang terdapat dalam bilik tersebut.
Menurut salah seorang peserta murid tingkatan 4, ” Saya sangat suka akan bahan yang disediakan kerana ia dapat membantu saya dalam memahami konsep visualisasi Matematik dengan lebih jelas”.
Program ini berakhir dengan majlis penyampaian hadiah sebagai penghargaan kepada para peserta yang menunjukkan semangat dan komitmen tinggi. Program Pembangunan Komuniti Celik STEM ini telah berjaya memperkenal cara baru untuk murid berhubung dengan Matematik melalui gabungan inovasi dan keseronokan dalam meningkatkan minat mereka terhadap subjek Matematik.
Menurut Pengarah program, “Saya berharap program seperti ini dapat dijalankan secara berterusan dan diperluas ke sekolah lain bagi membentuk generasi muda yang cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya Matematik. Melalui usaha inovatif seperti MathLab ini, saya yakin murid akan lebih terdorong untuk memahami konsep Matematik dengan lebih mendalam, memupuk kreativiti, dan membangunkan potensi mereka ke tahap yang lebih tinggi. Semoga usaha kecil ini menjadi langkah awal untuk membantu melahirkan generasi muda yang berilmu, bermotivasi, dan bersedia menyumbang kepada masa depan yang lebih gemilang.”.
Program STEM yang dianjurkan ini tidak akan dapat berlangsung dengan lancar tanpa kerjasama erat antara fasilitator yang bertugas serta pihak sekolah SMK Seri Perdana, Kluang. Program ini juga membuktikan bahawa inovasi dalam pembelajaran dapat meningkatkan pemahaman serta motivasi murid untuk belajar. Oleh itu, diharapkan program seperti ini akan diteruskan lagi agar dapat melahirkan generasi muda yang berkemahiran serta mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang STEM, khususnya Matematik.