Januari 30, 2025

ert

Pelajar FEST raih ilmu melalui Experiential Learning di Kolej Vokasional ERT Azizah

JOHOR BAHRU, 19 Dis – Seramai 28 orang peserta yang merupakan pelajar dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional dari Fakulti Pendidikan Sains dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah mengadakan program Experiential Learning di Kolej Vokasional (KV) ERT Azizah, Johor Bahru. Program ini adalah salah satu objektif yang wajib dilaksanakan bagi kursus SHPE 1033 Workshop Safety and Management.

Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang prinsip keselamatan dan pengurusan dalam konteks makmal dan bengkel Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Aktiviti yang dijalankan melibatkan perbincangan kumpulan untuk mengenal pasti risiko keselamatan di bengkel seperti penghindaran bahaya mekanikal, penggunaan peralatan keselamatan, susun atur, serta penyelenggaraan makmal. Hasilnya, pelajar diharapkan dapat merancang dan mengurus strategi untuk meningkatkan amalan keselamatan di tempat kerja.

Lawatan ini merupakan satu inisiatif fakulti dalam menyediakan pembelajaran yang inovatif dan menyokong pembangunan kemahiran pelajar ke arah kecemerlangan pendidikan teknikal dan vokasional. Program ini juga membuka peluang kepada peserta untuk memahami secara mendalam bagaimana amalan keselamatan yang berkesan dapat meningkatkan produktiviti, selain menjalin hubungan erat antara institusi pendidikan tinggi dan TVET.

Norhayati Abdul Aziz, Ketua Jabatan Komunikasi dan Korporat adalah wakil daripada KV ERT Azizah yang telah memberi kerjasama untuk mengadakan lawatan sambil belajar ini. Beliau telah menerangkan serba sedikit sejarah  dan kursus yang terdapat di KV ERT Azziah.

Lawatan ini dimulakan dengan Bengkel Pastri dan Kulinari, di mana segala kecanggihan perkakas dan alatan masakan yang digunakan oleh pelajar kursus kulinari disediakan di situ. Bengkel yang dijaga sangat rapi, bersih dan selamat ini sesuai untuk digunakan oleh para pelajar. Pemerhatian terhadap susun atur dan keselamatan bengkel tersebut telah dijalankan bagi memperoleh ilmu tambahan.

kitchen
Penerangan tentang kursus kulinari

Seterusnya, para peserta dibawa pergi ke Bengkel Fesyen 2, di mana peserta berpeluang melihat pelajar Tahun 1 SVM menjalankan amali menjahit. Amira merupakan salah seorang tenaga pengajar kursus jahitan di KV ERT Azizah. Peserta yang terlibat mengambil peluang bertanya kepada pelajar lain mengenai langkah keselamatan yang diamalkan dan berbincang tentang projek jahitan yang sedang dijalankan, memandangkan kursus jahitan turut diambil pada semester ini.

jahitan
Pelajar UTM bersama pelajar kursus jahitan KV ERT Azizah

Di Bengkel Kosmetologi, peserta telah didedahkan dengan peralatan seperti mesin rambut, peralatan mengurut, dan alat kosmetik lain. Pelajar mendapati bahawa setiap peralatan elektrik di bengkel ini dilengkapi dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang memastikan penggunaannya mematuhi garis panduan keselamatan. Pensyarah kosmetologi, Zainab turut berkongsi bahawa kemalangan kecil seperti mangkuk pecah adalah sesuatu yang biasa, tetapi kit pertolongan cemas sentiasa tersedia di bengkel, membantu dalam menangani situasi tersebut.

kosmetologi
Peneranagan tentang kursus kosmetologi

Pada akhir lawatan, para peserta telah melawat Bilik Simulasi Taska di Bengkel Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Azhar Buhari, Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, memberi pendedahan baru mengenai program ini, yang memfokuskan pada penjagaan bayi semasa Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan pengurusan tadika pada peringkat Diploma Vokasional Malaysia (DVM). Peserta turut mempelajari kemahiran penting seperti teknik resusitasi kardiopulmonari (CPR) untuk bayi, penggunaan barang mandian, dan kaedah memastikan keselamatan di persekitaran taska.

kanak
Perkongsian tentang kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Program ini bukan sahaja memberikan peluang pembelajaran secara langsung kepada para peserta, malah turut memperkukuh hubungan kerjasama antara UTM dan Kolej Vokasional ERT Azizah. Melalui pendedahan terhadap pelbagai bengkel dan kursus yang ditawarkan, para peserta berupaya mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh ke dalam pengurusan keselamatan bengkel di masa hadapan. Diharapkan program seperti ini dapat terus dijalankan bagi meningkatkan kemahiran dan daya saing pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selaras dengan keperluan industri yang semakin mencabar.

Explore More