JOHOR BAHRU, 30 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan komitmennya dalam menggabungkan teori akademik dengan aplikasi praktikal menerusi inisiatif pembelajaran berkhidmat dalam projek Green Grow SIRIM di Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Johor. Program ini adalah sebahagian daripada kursus SHPP4062 Sosiologi Pendidikan yang diadakan di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Zainuddin Hassan, pensyarah dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), UTM.
Program bermula dengan sesi pendaftaran diikuti senamrobik yang dihadiri oleh 30 orang kakitangan SIRIM, seorang pensyarah UTM, dan sembilan orang pelajar UTM. Aktiviti senamrobik ini bertujuan untuk meningkatkan semangat peserta dan mempersiapkan mereka bagi aktiviti seterusnya iaitu penanaman pokok. Kakitangan SIRIM dan pelajar UTM menunjukkan komitmen yang tinggi dalam aktiviti ini, yang menjadi pembuka tirai kepada program yang padat dengan aktiviti bermakna.
Setelah sesi senamrobik, peserta mendengar taklimat mengenai program Green Grow SIRIM yang disampaikan oleh ketua projek, Mohd Saharuddin Rahidi. Taklimat ini bertujuan untuk memberi pencerahan tentang objektif dan matlamat program, serta bagaimana penanaman pokok ini akan memberi manfaat kepada komuniti SIRIM. Program ini bertujuan untuk menanam 25 jenis pokok herba dan buah-buahan yang penting untuk kesihatan serta kelestarian alam sekitar. Dengan penggunaan teknologi kod QR, setiap pokok akan dilengkapi dengan maklumat terperinci tentang kebaikan dan manfaatnya.
Para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan bagi melaksanakan penanaman pokok di dua taman yang disediakan, iaitu Taman Zen Urban Loft dan Taman Inspirasi Warisan Eco-Z. Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk belajar mengenai teknik penanaman yang betul, tetapi juga mengukuhkan semangat kerjasama antara pelajar UTM dan kakitangan SIRIM. Pokok yang ditanam termasuklah pelbagai jenis herba seperti kunyit, halia, serai, pandan, serta pokok buah-buahan seperti lemon dan limau purut. Terdapat juga pokok yang jarang ditemui seperti stevia, lemon balm, daun salam, cekur jawa, dan sambung nyawa. Setiap pokok tersebut turut dilabel dengan kod QR untuk memudahkan peserta mendapatkan maklumat berkaitan.
Salah satu keunikan projek ini adalah penggunaan QR code yang diintegrasikan dalam aktiviti pembelajaran. Setiap pokok yang ditanam dilengkapi dengan kod QR yang boleh dipindai untuk mendapatkan maklumat mengenai manfaat pokok tersebut. Ini bukan sahaja mempermudah proses pembelajaran, tetapi juga meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pelestarian alam sekitar dalam kalangan peserta. Sistem ini memberi impak positif dalam proses pembelajaran, di mana pelajar UTM dapat mengaplikasikan teori dalam konteks sebenar melalui penggunaan teknologi digital.
Pada 29 Disember 2024, kedua-dua taman yang dibangunkan dalam projek ini telah dirasmikan dengan jayanya oleh Pengarah SIRIM Johor, Zulkefly Songip. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini.
Projek ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan, antaranya menanam 25 jenis pokok dalam masa sebulan pertama, serta membangunkan sistem pangkalan data digital dengan Kod QR untuk semua pokok yang ditanam. Aktiviti ini telah memberi impak positif kepada semua yang terlibat, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan industri dalam usaha membangunkan komuniti yang lebih mampan.
Program Green Grow SIRIM ini mampu menjadi projek yang akan terus memberi manfaat kepada komuniti SIRIM dan menjadi model pembelajaran berkhidmat yang boleh dicontohi oleh organisasi lain. Projek ini jelas menunjukkan bagaimana kerjasama antara akademia dan industri dapat mewujudkan komuniti yang lebih berpengetahuan, prihatin terhadap alam sekitar, serta berdaya saing dalam penggunaan teknologi digital untuk pembelajaran.