Mac 4, 2025

photo

Eco Rangers STARP beri inspirasi kelestarian kepada murid sekolah

KULAI, 7 Dis – Pelajar Tahun 4 kursus Sosiologi Pendidikan (SHPP4062), Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah menganjurkan program Eco Rangers STARP di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra yang melibatkan penyertaan 75 pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 4. Program ini dibimbing oleh pensyarah UTM bagi kursus Sosiologi Pendidikan iaitu Prof. Madya Dr. Zainudin Hassan. Program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran dan kelestarian alam sekitar, menampilkan aktiviti menarik yang menonjolkan kreativiti, inovasi, dan tanggungjawab ekologi.

Program dimulakan dengan sesi pendaftaran pelajar dan sesi suai kenal (Ice-Breaking) yang bertenaga iaitu acara senamrobik. Fasilitator menjalankan aktiviti yang menyeronokkan dan interaktif, membentuk nada positif dan memupuk semangat setia kawan dalam kalangan peserta.

photo
Para pelajar melakukan senamrobik semasa sesi ice-breaking

Aktiviti pertama ialah pelajar perlu mengubah tayar terpakai menjadi pasu bunga yang cantik. Aktiviti hands-on ini menekankan konsep kitar semula, mempamerkan bagaimana barangan yang tidak digunakan boleh diubah menjadi produk praktikal dan menarik. Inisiatif ini juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-12, iaitu Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab.

photo
Pelajar menanam anak pokok dalam tayar terpakai yang telah dihias dan dijadikan pasu

Sesi yang merangsang pemikiran tentang mikroplastik mendidik pelajar tentang kesan berbahaya pencemaran plastik terhadap ekosistem marin. Dengan memahami  kesan buruk yang disebabkan oleh mikroplastik, para peserta telah didedahkan inisiatif mengurangkan penggunaan plastik dan melindungi hidupan akuatik. Kuiz juga dijalankan bagi menguji kefahaman pelajar mengenai mikroplastik.

Screenshot
Ceramah Mikroplastik oleh Pengarah Program, Aulia Aqila Saparuddin

Aktiviti yang ketiga adalah aktiviti kompetitif di mana pelajar diminta menggunakan bahan kitar semula yang telah dibekalkan untuk mencipta produk inovatif untuk kegunaan harian. Segmen inovasi dan pembentangan hasil produk bukan sahaja menggalakkan kerja berpasukan dan kreativiti, malah mendorong pelajar untuk meneroka penyelesaian praktikal untuk kehidupan yang mampan.

Screenshot
Pelajar menerangkan hasil produk inovasi yang telah dibina daripada bahan yang boleh diguna semula

Hadiah disampaikan kepada kumpulan pemenang berdasarkan penilaian markah setiap aktiviti. Plak dan sijil penghargaan turut diberikan kepada pihak SMK Tunku Abdul Rahman Putra atas tanda penghargaan.

photo
Penyampaian hadiah kepada kumpulan pemenang

Semasa majlis penutupan, Pengarah Program Eco Rangers STARP, Aulia Aqila Saparuddin, menjelaskan bahawa program ini bertujuan untuk memberi kesedaran tentang bahayanya plastik kepada murid-murid. “Aktiviti yang disediakan boleh meluaskan pandangan murid tentang usaha sifar plastik sekali guna sekali gus mencungkil bakat murid dalam membina inovasi yang kreatif. Saya berharap dengan pengetahuan tentang bahayanya plastik yang diperolehi pada hari ini berguna untuk masa hadapan. Fikir dahulu tentang kesan buruk plastik yang mencemarkan alam kita selama beratus-ratus tahun sebelum bertindak”, katanya.

Tuntasnya, Program Eco Rangers STARP berjaya menyemai semangat memelihara dan memulihara alam sekitar dalam kalangan pelajar. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti yang bermakna dan interaktif, para pelajar mendapat pandangan berharga tentang amalan lestari dan diberi tanggunggjawab untuk memberi kesan positif kepada alam sekitar. SMK Tunku Abdul Rahman Putra berbangga untuk memupuk pemimpin eko masa depan yang komited untuk memacu perubahan dan mempromosikan kemampanan dalam komuniti mereka. 

Explore More