JOHOR BAHRU, 10 Dis – Pelajar Tahun 3 Kejuruteraan Geomatik dari kursus Astronomi Lapangan telah bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Alam (SK BARSA), Masai, Johor, dan Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam menganjurkan Program Astroxplorer Junior: Misi Galaksi. Program ini bertujuan memberi pendedahan tentang kepentingan astronomi dalam bidang Kejuruteraan Geomatik, merangkumi aspek teori seperti Pengenalan dan Perkembangan Astronomi di Malaysia serta aspek teknikal seperti Amali Pengendalian Theodolite untuk Cerapan Azimut Matahari,dan Teleskop untuk Cerapan pada waktu malam.
Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Jabatan Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) UTM, Sr Dr. Othman Zainon, dan turut dihadiri oleh Dr. Aimi Musa. Majlis perasmian berlangsung di ruang mesyuarat pejabat, manakala aktiviti dijalankan di dewan terbuka SK BARSA. Program ini melibatkan 36 orang pelajar dan 2 orang guru pengiring, serta dibantu oleh 10 pelajar Tahun 3 Kejuruteraan Geomatik, UTM.
Menurut Guru Besar SK BARSA, Yusri Zakariah, “Dalam jangka panjang, program ini sememangnya mampu menambah ilmu astronomi secara interaktif dan menyeronokkan kepada pelajar”. Beliau turut mengulas bahawa Program Astroxplorer Junior: Misi Galaksi adalah salah satu usaha penting yang dapat mewujudkan kerjasama antara pelajar UTM dan pihak sekolah, sekali gus memastikan bidang astronomi terus berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat dan generasi akan datang.


Program Astroxplorer Junior Misi Galaksi di SK BARSA dimulakan dengan sesi perkongsian ilmu selepas perasmian. Dalam sesi ini, para pelajar diberi pendedahan tentang asas astronomi, termasuk konsep-konsep menarik mengenai galaksi, planet, dan objek angkasa. Sesi ini bertujuan untuk menanam minat dan kefahaman awal dalam kalangan pelajar terhadap bidang sains angkasa.
Selepas itu, pelajar berpeluang menyertai aktiviti interaktif seperti demonstrasi alat Astronomi dan reruai pameran. Aktiviti amali turut diadakan, termasuk permainan Find and Match, pembinaan Roket Galaksi, dan Astronomy Pictionary. Aktiviti ini bukan sahaja menguji kreativiti pelajar, tetapi juga membantu mereka memahami konsep astronomi melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan praktikal.


Sesi ucapan penutup oleh Pengarah Program, Muhammad Firdaus Nukman Zailan, menekankan kepentingan astronomi dalam pendidikan abad ke-21 serta manfaat kerjasama antara universiti dan sekolah. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan pelajar yang memenangi aktiviti amali, sebagai penghargaan atas kreativiti dan semangat mereka sepanjang program.

Secara keseluruhannya, Program Astroxplorer Junior: Misi Galaksi berjaya meningkatkan pengetahuan tentang astronomi dalam kalangan komuniti sasaran di samping mampu memberi pendedahan tentang kepentingan ilmu ini dalam kehidupan seharian. Program ini bukan sahaja memperkenal konsep pembelajaran abad ke-21, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), tetapi juga memupuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, dan kerja berpasukan dalam kalangan pelajar UTM. Selain itu, inisiatif ini turut memperkukuh hubungan strategik UTM dengan industri dan agensi, sekali gus mengukuhkan reputasi universiti sebagai peneraju dalam pendidikan berinovasi di Malaysia.