Februari 5, 2025

DA

JOHOR BAHRU, 2 Dis – Anugerah Prolander-BumiPRO yang dianjurkan oleh Prolander Group telah dianugerahkan kepada dua pelajar bumiputera sarjana muda terbaik dari Jabatan Harta Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU). Anugerah ini bertujuan menghargai kecemerlangan pelajar dalam kategori Harta Tanah serta Pentadbiran dan Pembangunan Tanah. Pada tahun ini, dua pelajar bumiputera cemerlang, telah dipilih berdasarkan prestasi akademik, kepimpinan, dan sumbangan mereka kepada komuniti.

Tahun ini, penerima lelaki, Muhammad Khairul Ikhwan Mazlan, merupakan seorang pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi turut memimpin beberapa projek inovasi dalam bidang pembangunan dan pentadbiran hartanah lestari. “Belajar dengan konsisten amat diperlukan terutamanya fokus di dalam kelas dan peruntukkan sekurang-kurangnya satu jam sehari pada luar masa kuliah untuk ulang kaji pelajaran supaya mudah faham dan ingat. Tambahan lagi, wujudkan satu hari dalam seminggu untuk kita memberi ruang pada diri kita untuk berehat supaya kita tidak tertekan dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang mahasiswa. Tidak lupa juga mohon doa kepada tuhan serta minta ibu bapa, pensyarah, keluarga dan rakan-rakan mendoakan kejayaan kita,” nasihat Muhammad Khairul Ikhwan kepada para mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

WhatsApp Image at ()
Muhammad Khairul Ikhwan Mazlan

Penerima perempuan pula, Nurin Izzatty Ahamed Sadon, dikenali atas komitmennya dalam memperjuangkan agenda pembangunan inklusif terhadap hartanah telah mendapat perhatian pihak industri. Beliau menyarankan kepada para mahasiswa UTM, “Setiap hari adalah peluang baru bagi setiap manusia belajar dan berusaha untuk melangkah ke arah yang lebih baik. Namun kita juga harus sedar ada ketikanya kita akan jatuh tapi itu bukan bermakna kita telah gagal. Gagal yang sebenar adalah jika kita tidak berjaya bangkit. Jadi, pilihan ada di tangan kita sendiri sama ada mahu berjaya atau mahu gagal.”

WhatsApp Image at
Nurin Izzatty Ahamed Sadon

Kedua-dua penerima bukan sahaja menunjukkan prestasi akademik yang unggul tetapi juga membuktikan kebolehan mereka dalam memberi impak kepada masyarakat.

Prolander Group menganjurkan anugerah ini adalah sebagai satu usaha untuk menyokong pelajar-pelajar Bumiputera yang menunjukkan potensi besar dalam bidang hartanah dan pembangunan tanah di Malaysia. Anugerah ini juga bertujuan untuk menggalakkan keterlibatan dan kebolehnampakan para pelajar untuk terus meningkatkan kompetensi dalam menghadapi cabaran industri yang kian mencabar selain mengukuhkan lagi kolaborasi dan ekosistem industri dan akademia serta masyarakat setempat.

DA
Bersama penerima-penerima anugerah di Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik FABU UTM 2024

Anugerah ini memberi peluang kepada penerima untuk membina rangkaian profesional dengan pakar industri melalui pelbagai program mentorship yang disediakan. Prolander Group percaya bahawa anugerah seperti ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyertaan pelajar Bumiputera dalam industri hartanah dan tanah yang kompetitif.

Dato’ Hj. Sr Rohaizal Idris, Ketua Pegawai Eksekutif Prolander Group, merangkap Presiden BumiPRO menyatakan keyakinan beliau terhadap keupayaan generasi muda bumiputera untuk mencipta keajaiban dalam bidang masing-masing. Beliau turut berharap agar penerima anugerah dapat menjadi contoh teladan kepada rakan-rakan pelajar lain.

“Anugerah Prolander-BumiPRO adalah simbol aspirasi kami untuk melihat lebih ramai graduan bumiputera memainkan peranan penting dalam membangun, mentadbir dan mengurus aset dan tanah negara,” tambah beliau.

WhatsApp Image at
Dato’ Hj. Sr Rohaizal Idris – Ketua Pegawai Eksekutif Prolander Group juga merangkap Presiden BumiPRO

Anugerah ini telah disampaikan oleh wakil Prolander Group dan Institut Bumiputera Profesional Hartanah Malaysia (BumiPRO), Prof. Madya Ts. Sr Dr. Noorsidi Aizuddin Hj. Mat Noor dalam merealisasikan pengiktirafan istimewa kepada usaha gigih dan pencapaian luar biasa penerima-penerima anugerah.

Pengiktirafan ini diharap bukan sahaja menjadi pendorong kepada penerima, tetapi juga menyemarakkan semangat pelajar lain untuk terus berusaha dan mencipta impak positif di masa hadapan. Ini adalah langkah awal ke arah kejayaan dalam industri hartanah dan pembangunan tanah, sekali gus memacu pembangunan negara yang lebih mapan dan inklusif.

Explore More