Disember 22, 2024

Umum nama anak di Majlis Konvokesyen, kenangan manis Badrul Hurrairi sebelum tamat perkhidmatan

JOHOR BAHRU, 20 Nov. – Pada Majlis Konvokesyen ke-68 Universiti Teknologi Malaysia(UTM), seorang figura yang amat dikenali dalam kalangan warga universiti melangkah ke Dewan Sultan Iskandar seperti biasa, namun kali ini hatinya penuh dengan emosi yang sukar digambarkan.

Beliau bukan sahaja memainkan peranan yang penting sebagai pengacara majlis dan pengumum nama graduan, tetapi juga melakar sejarah peribadi yang penuh makna.

Setelah mendedikasikan 30 tahun setia diamanahkan tanggungjawab berkenaan, hari ini adalah hari yang paling istimewa, namun juga paling mengharukan dalam hidupnya.

Untuk pertama kalinya, beliau akan menyebut nama anak sulungnya, Muhammad Nazmy Mifzal Badrul Hurrairi sebagai seorang graduan UTM yang menerima penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian.

Muhammad Nazmy Mifzal bin Badrul Hurrairi yang telah menerima penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian.

Badrul Hurrairi bin Muhammad telah diberikan mandat kepercayaan dan menabur bakti seawal Majlis Konvokesyen ke-39 pada tahun 1994 sebagai pengacara dan pembaca nama graduan.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah menyaksikan pelbagai detik bermakna — air mata kebahagiaan ibu bapa, kegembiraan graduan dan momen-momen bangga universiti.

Majlis Konvokesyen ke-68 UTM ini adalah sumbangan yang terakhir beliau sebelum bersara pada pertengahan tahun 2025. Ianya menjadi lebih bermakna kerana Canselor UTM ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

“Mengacara Majlis Konvokesyen dan mengumumkan nama graduan bukan hanya tugas rutin dan mudah” kata beliau dalam satu wawancara baru-baru ini.

“Ia adalah satu majlis yang amat penting dan penuh penghormatan” — Turut bermakna kerana di sebalik setiap nama yang dibaca dan diumumkan, ada sebuah perjalanan penuh liku yang membawa para graduan ke pentas Dewan Sultan Iskandar UTM yang berprestij ini.

Menurut beliau, penyelaras bilik konti UTM dan semua rakan-rakan yang turut sama memikul tanggungjawab sebagai pengacara majlis dan pengumum nama graduan akan sentiasa komited bagi memastikan Majlis Konvokesyen UTM berjalan dengan jayanya.

“Majlis Konvokesyen UTM akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kenangan manis,” ujar beliau lagi.

Beliau turut memohon semua turut mendoakan agar anak ke-2 dan ke-3 yang sedang dalam pengajian tahun 3, Ijazah Sarjana Muda pembedahan Pergigian (Bachelor of Dental Surgery) di Universiti Malaya dan Pengajian Asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dipermudahkan urusan dalam pengajian masing-masing agar beliau sebagai bapa berpeluang untuk menghadiri majlis konvokesyen mereka pula pada satu hari nanti.

(Dari kiri) Badrul Hurrairi, Muhammad Nazmy Mifzal , isteri dan anak bongsunya.

Explore More