JOHOR BAHRU, 22 Nov – Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) tidak melepaskan peluang menonjolkan bakat pelajar prasiswazah yang mengambil kursus ko-kurikulum berkredit, ULRF2202 Pengacaraan Majlis (Master of Ceremony) di dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-68 (MK68). Kursus ini pertama kali ditawarkan pada semester 1 sesi 2024/2025 dengan jumlah pelajar seramai 14 orang. Kursus ini merupakan inisiatif UGS dalam mengasah bakat pengacaraan di kalangan pelajar. Sebelum ini, sesi uji bakat pencarian pengacara dan penyebut nama graduan dijalankan secara terbuka dan penyertaan adalah menggalakkan. Namun, didapati pelajar yang berminat tidak mempunyai asas pengacaraan.
Hazila Rahmat, Timbalan Pendaftar UGS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Bilik Konti telah mencadangkan sesi uji bakat ini dijalankan melalui kursus ULRF2202 Pengacaraan Majlis (Master of Ceremony) di dalam Mesyuarat Induk MK68. Sesi uji bakat telah dilaksanakan semasa sesi kuliah oleh pengajar, Mohamad Jais Mohd Jamil dengan kehadiran dua orang panel jemputan iaitu Fadillah Abdul Hamid, Penolong Pegawai Tadbir di Fakulti Pengurusan dan Badrul Hurairi Muhammad, Pembantu Tadbir di Jabatan Canseleri. Hasilnya, 3 orang pelajar kursus ini telah terpilih sebagai pengacara dan penyebut nama graduan MK68.
Nurillyana Amir merupakan pelajar tahun 3 program Sarjana Muda Perancangan Bandar Dan Wilayah dengan Kepujian, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU). Beliau mengakui minat dan mempunyai berpengalaman menjadi pengacara majlis sejak di peringkat sekolah lagi. Beliau berkata peluang baik ini digunakan bagi meluaskan pengalamannya di dalam bidang berkaitan dan berasa teruja untuk beraksi di pentas besar yang dihadiri orang kenamaan.
Bagi Nur Hanani Ahmad pula berkata beliau tidak menyangka akan terpilih sebagai pengacara dan penyebut nama graduan MK68 memandangkan tidak mempunyai pengalaman khusus di dalam bidang pengacaraan. Walaupun begitu, beliau berani untuk menyahut cabaran dan mengumpul pengalaman yang mengujakan serta kemahiran baharu sepanjang bertugas. Beliau merupakan pelajar tahun 2 program Sarjana Muda Sains Komputer (Perisian Grafik Dan Multimedia) dengan Kepujian di Fakulti Komputeran.
Seorang lagi pelajar yang terpilih, Kristine Elle Benjamin menceritakan bahawa beliau berasa gementar ketika diberi tanggungjawab menggalas tugas itu. Katanya, “Saya tidak mempunyai sebarang pengalaman di dalam bidang pengacaraan. Tetapi selepas melalui semua proses pembelajaran, ianya merupakan saat manis sepanjang berada di UTM dan pengalaman yang sangat berharga lebih-lebih lagi senior memberikan kerjasama dan tunjuk ajar yang baik sepanjang majlis berlangsung.” Beliau juga merupakan pelajar tahun 2 program Sarjana Muda Sains Komputer (Perisian Grafik Dan Multimedia) dengan Kepujian di Fakulti Komputeran.
Pelaksanaan inisiatif ini membuktikan komitmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terhadap pembangunan holistik pelajar, menggabungkan kemahiran akademik dan kemahiran insaniah. Ia bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar untuk memperkasa bakat pengacaraan, malah menyediakan pengalaman praktikal yang bermanfaat untuk kerjaya masa depan mereka.