Disember 19, 2024

image ()

JOHOR BAHRU, 18 Nov. − Dalam dunia yang semakin didominasi oleh teknologi, satu isu yang semakin menjadi perbincangan hangat ialah kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI). AI yang dikatakan telah pun lama bermula semenjak 1956, teknologi ini semakin rancak berkembang dan kini merevolusikan pelbagai aspek kehidupan manusia.

Tan Sri Dato’ Sri Jamaludin Ibrahim sewaktu berucap sempena istiadat Majlis Konvokesyen UTM ke-68 yang memasuki hari ketiga, turut memberi tumpuan kepada kepantasan revolusi digital AI yang kian mempengaruhi landskap pekerjaan dan pendidikan.

“AI telah mengubah cara kita bekerja, berinteraksi, dan belajar. Dalam konteks ini, para graduan yang diiktiraf hari ini perlu mempersiapkan diri mereka bukan hanya dengan ilmu pengetahuan, tetapi juga kemahiran yang akan membolehkan mereka memanfaati teknologi ini,” ujar Tan Sri Jamaludin.

Beliau turut menjelaskan bahawa sejak kemunculannya lebih dari setengah abad lalu, AI telah berkembang pesat, terutama dengan pelancaran ChatGPT pada akhir tahun 2022 yang mendapat sambutan luar biasa.

AI kini digunakan dalam pelbagai sektor, termasuk perkhidmatan pelanggan, analisis data, dan diagnosis perubatan, yang semakin memperkukuh peranannya dalam kehidupan seharian. Ibarat dua sisi wang syiling, dalam memudahkan kehidupan, AI juga membawa risiko.

Namun, Tan Sri Jamaludin turut memberi amaran tentang risiko penyalahgunaan AI yang semakin meningkat, terutamanya dalam kes penipuan siber dan manipulasi identiti. Beliau menekankan pentingnya penggunaan AI yang beretika atau disebut juga “Responsible AI” agar teknologi ini memberi manfaat yang maksimum tanpa menjejaskan keselamatan dan keharmonian sosial.

“Kini, banyak kes di mana wajah, identiti, dan suara boleh dipalsukan melalui gambar dan video. Kes penipuan siber menggunakan AI juga semakin meningkat. Oleh itu, penting untuk menekankan penggunaan AI yang beretika yang dinamakan “Responsible AI”.

Dalam pada itu, Tan Sri Jamaludin turut meyakinkan graduan bahawa teknologi AI tidak akan mengambil alih peranan manusia sepenuhnya meskipun keupayaan AI adalah pelbagai. Para graduan diingatkan untuk terus mengasah keupayaan diri bagi meningkatkan kemahiran yang lebih kompleks, termasuklah kreativiti, etika, dan kebolehan membuat keputusan dalam situasi yang sukar.

“Jika kita telitikan dengan mendalam, banyak perbezaan manusia dengan AI seperti membuatkan keputusan yang kompleks yang melibatkan banyak aspek, termasuklah yang perkara “grey areas” termasuklah penyelesaian yang memerlukan penyesuaian diri dan keadaan semasa.

“Apabila saya terpaksa mempertimbangkan beribu-ribu pandangan dan pendapat dalam proses membuat Keputusan, saya mungkin mengambil masa yang sangat panjang. Jadi mestilah guna akal manusia untuk lebih pragmatik.

“Memberi soalan yang tepat dan berpatutan kepada platform AI adalah satu kemahiran tersendiri, begitu juga dengan menyelaraskan jawapan mengikut keadaan semasa. Kesimpulannya, hanya manusia yang lebih layak membuat keputusan akhir, dengan membuat pertimbangan yang lain,” ujar beliau.

Tambah Tan Sri Jamaludin, “Walaupun ada pekerjaan yang mungkin hilang atau berkurang akibat automasi, banyak lagi peluang baharu yang akan tercipta, terutamanya dalam bidang-bidang yang memerlukan kemahiran analisis, pengurusan, dan kreativiti yang tidak dapat dihasilkan oleh mesin.

Sementara itu, sebagai tokoh korporat yang mempunyai pengalaman luas, Tan Sri Jamaludin turut berkongsi enam kemahiran utama yang perlu dikuasai oleh graduan. Ini termasuk pendalaman atau kepakaran dalam bidang masing-masing, serta keluasan pengetahuan merentas disiplin. Kemahiran sintesis, iaitu kebolehan menganalisis dan menggabungkan pelbagai ilmu daripada bidang berbeza, turut menjadi aset yang tidak ternilai. Kemahiran kualitatif seperti kreativiti, etika, dan empati juga merupakan aspek yang mustahil ditiru oleh AI. Graduan perlu membina kemahiran ‘street smart’ yang memberi mereka kelebihan dalam menangani situasi dunia sebenar.

Tan Sri Jamaludin berpesan kepada graduan agar tidak melihat AI sebagai pesaing sebaliknya sebagai pembantu dalam menyelesaikan masalah dengan lebih pantas dan berkesan serta terus berusaha dalam pembelajaran sepanjang hayat dan memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh teknologi untuk mencapai kecemerlangan.

“Pesanan saya tentang AI memang penting, tetapi pesanan tentang prinsip hidup ini adalah jauh lebih penting. Hati yang jujur, akal yang murni, etika yang bersih dan panduan agama yang kukuh adalah prinsip yang boleh menjadi pedoman buat anda bukan sahaja dalam kerjaya malah dalam kehidupan,” ujar Tan Sri Jamaludin.

Explore More