Disember 19, 2024

JOHOR BAHRU, 18 Nov. – Di sebalik pelbagai cabaran yang ditempuhi dalam dunia perubatan, terdapat individu yang memikul tanggungjawab besar dengan penuh dedikasi dan tekad yang tinggi. Salah satunya ialah Dr. Nur Afiqah Eswan yang kini berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Jabatan Rehabilitasi, Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Perjalanan akademik Dr. Afiqah bermula dengan kecemerlangan apabila beliau berjaya memperoleh Diploma International Baccalaureate pada tahun 2007. Beliau kemudian melanjutkan pengajian perubatannya di National University of Ireland (RCSI, PMC) dan berjaya menamatkan ijazah MB BCH BAO (Bachelor of Medicine, Bachelor of Surgery & Bachelor in the Art of Obstetrics) pada tahun 2012 dengan kepujian.

Beliau yang baru-baru ini telah menamatkan pengajian Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) berfokuskan kepada pengkhususan dalam bidang kesihatan. Kejayaannya ini digapai setelah dua tahun berusaha tanpa mengenal erti penat lelah, mengimbangi tuntutan kerjaya sebagai pegawai perubatan serta komitmen terhadap pengajian yang mencabar. 

Mengikuti program MBA sambil terus berkhidmat memberi khidmat bakti kepada rakyat Malaysia sebagai pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan Malaysia merupakan cabaran terbesar bagi Dr. Afiqah. Beliau seringkali menghadapi cabaran seperti membuat tugasan dalam tempoh masa yang singkat, di samping perlu bersiap sedia untuk panggilan “on-call” di hospital. 

Menurut beliau, pengurusan masa yang berkesan menjadi kunci utama dalam memastikan komitmen akademik dan tanggungjawab profesional dapat dipenuhi tanpa menjejaskan kualiti kedua-duanya. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Asr, ayat 1-3:

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Selain menjadi penuntut ilmu dan pegawai perubatan yang berdedikasi, Dr. Afiqah juga aktif dalam bidang penyelidikan perubatan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Salah satu projek penyelidikan yang memberi impak besar adalah retrospektif mengenai kelaziman dislokasi pinggul dalam kalangan kanak-kanak yang menghidap “Cerebral Palsy” iaitu satu keadaan neurologi yang mempengaruhi pergerakan dan koordinasi otot, di Johor pada tahun 2017.

Beliau juga telah menghasilkan beberapa video pendidikan bertemakan kesedaran kesihatan, termasuk “Kecederaan Saraf Tunjang – Bolehkah saya kembali berjalan?” yang diterbitkan bersempena dengan sambutan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa pada tahun 2021 yang lalu.

Dr. Afiqah berkongsi bahawa pembelajaran dalam bidang pengurusan perniagaan telah membuka mata beliau kepada cara baru dalam menangani isu-isu kesihatan dengan pendekatan yang lebih sistematik. Pengetahuan ini sangat berharga, terutamanya apabila beliau menghadapi pelbagai cabaran dalam pengurusan hospital dan organisasi kesihatan.

Salah satu projek penyelidikan MBA yang dijalankannya memberi tumpuan kepada penambahbaikan pengurusan katil di wad rehabilitasi. Hasil penyelidikan ini berjaya meningkatkan kecekapan operasi hospital, yang akhirnya memberi manfaat besar kepada pesakit.

Dr. Afiqah bersama rakan-rakan seperjuangan yang banyak memberikan dorongan kepada beliau.

Salah satu pencapaian terbesar Dr. Afiqah adalah projek penyelidikan perniagaan bersama rakan pelajarnya yang melibatkan “Non-Governmental Organization” (NGO) Johor Area Rehabilitation Organization (JARO). JARO yang bergantung pada produk kraftangan sebagai sumber pendapatan, namun kesedaran jenama yang rendah telah menjejaskan jualan mereka. 

Kumpulan Dr. Afiqah mencadangkan penggunaan media sosial JARO untuk meningkatkan kesedaran dan jualan. Hasilnya, JARO mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 38 peratus dan penglibatan pelanggan yang lebih tinggi di media sosial. Projek ini memberikan pengalaman langsung dalam penyelidikan perniagaan dan menunjukkan bagaimana pengetahuan pelajar boleh memberi impak positif kepada komuniti.

Dr. Afiqah bersama suaminya Dr. Hazlin di Majlis Konvokesyen UTM ke-68

Beliau juga mengakui bahawa sokongan padu daripada keluarga, terutamanya suaminya, Dr. Mohd Hazlin Jaffar, seorang pakar forensik (Prawarta) di Hospital Sultanah Aminah, menjadi sumber inspirasi besar dalam perjalanan hidupnya. Dr. Hazlin juga telah berjaya menamatkan pengajian sarjana dalam bidang patologi forensik di Universiti Malaya (UM) dan kini sedang menanti majlis konvokesyen untuk meraikan pencapaiannya. 

Kedua-dua mereka saling memberi sokongan dalam mengejar impian dan matlamat profesional masing-masing. “Kami memulakan pengajian sarjana dalam waktu yang hampir sama, dan berazam untuk menamatkannya bersama-sama pada tahun ini,” ujar Dr. Afiqah dengan penuh semangat.

Beliau turut menitipkan pesanan yang amat berharga kepada generasi muda yang berminat untuk menceburi bidang perubatan dan pengurusan kesihatan. Beliau menekankan betapa pentingnya untuk sentiasa konsisten dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian. 

“Bangun hubungan yang baik dengan pensyarah dan rakan pelajar. MBA bukan hanya tentang ilmu, tetapi juga merupakan peluang untuk membina rangkaian yang luas dalam industri,” ujar beliau, memberi semangat kepada mereka yang sedang membina perjalanan profesional.

Dr. Nur Afiqah Eswan telah membuktikan bahawa seorang profesional perubatan boleh memberi impak yang besar bukan sahaja dalam bidang klinikal tetapi juga dalam aspek pengurusan dan pembangunan komuniti. Kejayaan beliau dalam mengimbangi tugas sebagai doktor, pelajar, dan ahli keluarga adalah inspirasi kepada ramai, khususnya generasi muda yang ingin menceburi bidang perubatan dan pengurusan.

Explore More