Disember 19, 2024

IMGL

KDYMM Raja Permaisuri Agong seru graduan perkasa persaudaraan, tanggungjawab sosial

JOHOR BAHRU, 16 Nov. – KDYMM Seri Paduka Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menyeru kepada semua graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk menerapkan nilai-nilai persaudaraan dan tanggungjawab sosial, serta meningkatkan jalinan muhibah dengan sesama manusia tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang sewaktu titah Baginda sempena Majlis Konvokesyen UTM yang berlangsung hari ini.

KDYMM Seri Paduka Raja Permaisuri Agong yang juga Canselor UTM menegaskan bahawa persaudaraan adalah antara nilai-nilai teras yang amat penting dalam membina masyarakat yang bertamadun, beradab dan berdaya saing.

“Sebarkan kebaikan tanpa mengira bangsa atau agama, dan eratkanlah talian persahabatan dengan pelajar-pelajar dari luar negara, terutama mereka yang datang dari negara-negara yang sedang menghadapi peperangan, bencana alam atau masalah lain,” titah Baginda.

Baginda turut menambah, majlis konvokesyen adalah satu detik penting yang menandakan permulaan kehidupan baharu bagi para graduan yang bakal memasuki dunia pekerjaan atau melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sebagai Canselor universiti ini, saya berharap agar saudara-saudari memulakan alam baharu sebagai graduan yang bukan sahaja tinggi tahap ilmu pengetahuan dan kepakarannya, malah mempunyai nilai jati diri, adab dan akhlak yang mulia sebagai seorang graduan didikan UTM,” titah Baginda.

Dalam titah yang sama, baginda turut menyentuh perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan menyeru agar teknologi ini dimanfaatkan dengan beretika dan bertanggungjawab.

“Sebagai sebuah universiti penyelidikan yang diamanahkan untuk memimpin penyelidikan AI di Malaysia, terutamanya menerusi penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama di negara ini, teknologi AI sepatutnya digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan bukan semata-mata untuk keuntungan ekonomi,” titahnya lagi.

Dalam pada itu, Baginda turut mengingatkan tentang pentingnya tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar, dengan menyuarakan kebimbangan terhadap kerosakan yang diakibatkan oleh aktiviti manusia terhadap sistem semula jadi dunia.

“Kita sebagai masyarakat yang terpelajar mesti memainkan peranan penting dalam memelihara alam semula jadi, bermula dengan perubahan sikap dan rasa tanggungjawab terhadap kelestarian dunia ini,” titah baginda.

Baginda turut memberi pujian kepada UTM atas inisiatif Pelan Kelestarian UTM 2030, yang bertujuan untuk menghadapi cabaran dalam melestarikan alam sekitar.

“Saya berharap Wawasan UTM 2030 yang sedang dibangunkan akan berjaya dan membawa nama universiti ini sebaris dengan universiti terkemuka di dunia,” titah baginda.

Menerusi titahnya, Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Datuk Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd Zulkifli Mohd Ghazali yang dilantik sebagai Pro-Canselor UTM yang baharu, serta kepada dua orang penerima gelaran Profesor Emeritus, Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Ir. Mohamad Afifi Abdul Mukti sempena isitiadat Majlis Konvokseyen UTM ke-68 pagi ini.

Explore More