Januari 20, 2025

FEATURED

Glow and Flow Candle didik penggunaan minyak masak terpakai kepada pelajar

JOHOR BAHRU, 20 Nov – Program Glow and Flow Candle merupakan program anjuran Kursus Sosiologi Pendidikan (SHPP 4062) yang dibimbing oleh Prof. Madya Dr. Zainudin Hasan dengan kerjasama daripada pihak Pembelajaran-berasaskan Perkhidmatan Malaysia (SULAM). Program ini melibatkan 14 orang pelajar tahun 4 Pendidikan Fizik, Fakulti Pendidikan Sains dan Teknologi (FEST). Program ini direka khas bagi memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada pelajar terhadap aktiviti kitar semula yang diintegrasikan dengan aktiviti STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik). 

Pelajar tingkatan 3 dari kelab STEM, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Impian Emas telah terpilih sebagai pihak yang terlibat bagi menjayakan program ini. Melalui pemahaman yang telah dimiliki oleh pelajar, program ini dapat membantu meningkatkan lagi pengetahuan sekali gus memberikan input mengenai pendidikan dan alam sekitar. Program ini telah menekankan penggunaan minyak masak terpakai dalam pembuatan lilin membantu dalam mengurangkan pembuangan sisa secara tidak telus.

WhatsApp Image at cc
Sesi penerangan berkaitan isu pembuangan minyak masak terpakai
Para pelajar membuat lilin dengan bantuan fasilitator
Pelajar membuat lilin daripada minyak masak terpakai dengan bantuan fasilitator
DSC
Pelajar membuat pembentangan secara berkumpulan

Prof. Madya Dr. Zainudin Hassan, pensyarah Sosiologi telah menjelaskan bahawa, “Penggunaan minyak masak terpakai dapat membantu dalam melestarikan alam sekitar sekali gus memberi pengetahuan kepada pelajar dalam meningkatkan kesedaran masyarakat dalam menjaga alam sekitar di masa hadapan.”

Hasil kerja pelajar melalui pembuatan lilin ini adalah dengan menggunakan minyak masak terpakai dan mencampurkan beberapa elemen lain seperti pewangi, coagulant dan krayon. Hasil kreativiti dari pelajar merupakan bukti yang menggambarkan kefahaman mereka dalam praktikal menghasilkan suatu bahan dengan menggunakan bahan-bahan terpakai. 

DSC
Lilin yang telah dihasilkan oleh pelajar

Pihak sekolah mengiktiraf program ini sebagai program yang dapat membantu pelajar dalam melestarikan alam dan juga memberikan cetusan idea untuk menyelami bidang-bidang yang dapat memberikan hasil yang baik kepada kemurnian alam sekitar. Oleh itu, pihak sekolah berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai pelajar dan komuniti demi memastikan usaha melestarikan alam sekitar dengan penggunaan lilin ini terus berkembang dan memberi impak positif kepada generasi akan datang.

Pelajar yang terlibat menyifatkan bahawa, “Penggunaan minyak masak dalam pembuatan lilin dapat membantu melestarikan alam dan juga dapat menjimatkan kos pembelian barang dekorasi dalam rumah saya, hal sebegini sepatutnya diusahakan lagi dalam menjaga alam sekitar kita bersama.”

Program Glow and Flow Candle yang dijalankan ini terbukti mampu mendidik generasi muda dalam menjaga kelestarian alam sekitar di samping menekankan elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ke-4, iaitu pendidikan berkualiti melalui program pembelajaran luar bilik darjah. Bukan itu sahaja, program ini juga menyokong SDG 7 yang memfokuskan Tenaga Mampu Milik dan Bersih kerana ianya melibatkan pembuatan lilin daripada sumber yang boleh dikitar semula iaitu minyak masak terpakai yang sering kali dibuang secara meluas sebagai sisa domestik dari rumah. 

DSC
Sesi penyampaian hadiah bagi kumpulan terbaik

Explore More