Disember 22, 2024

MSNT ()

Pensyarah FABU dan FSSH giat usaha tingkat pengurusan profesional atlet MSNT

KUALA TERENGGANU, 22 Okt – Berteraskan kepada kepentingan memasyarakatkan komuniti dengan pembangunan ilmu dan penerapan pendekatan realiti semasa, para penyelidik dan pensyarah dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya melaksanakan kesemua empat modul bagi projek yang berfokus kepada pembangunan pengurusan profesional, atlet dan aset sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), di Ar Riyadh Residence, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Modul-modul yang diketengahkan termasuk Pembangunan Pendidikan Komunikasi Profesional Atlet, Pembangunan Pengurusan Profesional Aset Sukan, Pengurusan Mampan Infrastruktur Aset Sukan dan Kelestarian Pengurusan Profesional Aset Majlis Sukan Negeri yang mana telah melibatkan atlet dan pengurusan profesional MSNT.

Modul Pendidikan Komunikasi Profesional Atlet telah menyediakan latihan komunikasi global kepada atlet untuk meningkatkan kecekapan mereka ketika berinteraksi secara profesional di peringkat antarabangsa. Manakala Modul Pengurusan Profesional Aset Sukan pula memfokuskan kepada pembangunan kemahiran pengurusan aset yang lebih tersusun bagi menyokong keperluan pengurusan.

Modul Pengurusan Mampan Infrastruktur Aset Sukan pula menerapkan pendekatan mampan dalam pengurusan infrastruktur sukan bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan aset dan modul keempat iaitu, Modul Kelestarian Pengurusan Profesional Aset pula membangunkan prosedur untuk memastikan kelestarian pengurusan aset Majlis Sukan Negeri Terengganu.

MSNT ()
Penerapan kepada atlet-atlet terhadap realiti Pengurusan Aset Sukan

Seramai hampir 80 peserta yang terdiri daripada pengurusan profesional dan atlet MSNT telah mengambil bahagian dan projek yang dilaksanakan ini menerima maklum balas positif dengan secara keseluruhan pencapaian pembangunan ilmu melebihi keperluan sasaran. Ini adalah satu langkah positif dalam meningkatkan kecekapan pengurusan profesional atlet dan aset sukan di MSNT yang akan memberikan manfaat jangka panjang kepada pembangunan sukan di Negeri Terengganu.

“Latihan ini amat membantu kami memahami teknik pengurusan aset sukan yang lebih tersusun dan memberikan pendedahan tentang kepentingan komunikasi profesional,” kata Mohd Izanil Zairen, salah seorang peserta MSNT.

Projek ini turut menunjukkan komitmen kuat dalam memperkukuh infrastruktur dan pengurusan sukan di peringkat negeri. Projek ini telah dipimpin oleh Profesor Madya Ts. Sr Dr. Noorsidi Aizuddin Hj. Mat Noor, bersama-sama dengan Dr. Farhana Diana Deris, Dr. Farin Ain Ismail Kassim, Ts. Dr. Mohd Shahril Abdul Rahman, dan PMgr. Sr Dr. Azizah Ismail daripada UTM melalui geran Program Pemindahan Ilmu-Geran Inovasi Penyelidikan (KTP-RIG) yang dikelola oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) (JTNCPI), UTM.

“Selaku ketua projek mewakili rakan-rakan projek ini, kami mengharapkan sesi perkongsian ilmu ini telah meningkatkan kecekapan peserta dalam aspek pengurusan aset sukan MSNT dan komunikasi antara para atlet dan staf. Diharapkan impak program ini dapat memperkukuh pengurusan profesional bagi aset sukan di bawah MSNT khasnya. Kami bersedia untuk terus bekerjasama dengan MSNT demi memantapkan lagi usaha sama yang tercipta ini. Lanjutan projek ini, semoga perancangan seterusnya bagi tahun 2025 akan dapat direalisasikan sebaiknya,” kata Profesor Madya Dr. Noorsidi Aizuddin.

Oleh Profesor Madya Ts. Sr Dr. Noorsidi Aizuddin Mat Noor, Dr. Farhana Diana Deris, Dr. Farin Ain Ismail Kassim, Ts. Dr. Mohd Shahril Abdul Rahman, dan PMgr. Sr Dr. Azizah Ismail.

Explore More