Disember 4, 2024

Search
Close this search box.
KRP

KRP galak inovasi Vertical Planting dan tukar budaya di Surabaya

SURABAYA, 27 Sept – Program Kembara Rahman ke Surabaya anjuran Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Persatuan Universiti Dunia untuk Pembangunan Komuniti (WUACD) dan Universitas Airlangga (UNAIR), telah berjaya mencapai objektif utama unutk memindahkan ilmu dan memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat setempat. Program ini turut disertai delegasi dari Tokyo University of Pharmacy and Life Sciences (東京薬科大学 | TUPLS).

Majlis Felo KRP dengan kerjasama UTM Alumni, WUACD, dan UNAIR telah menganjurkan program ini dari 21 hingga 27 September 2024 di Surabaya. Program yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Haizal Jamaluddin ini melibatkan seramai 13 orang wakil dari UTM yang terdiri daripada pelajar dan staf KRP serta 25 wakil dari UNAIR. Aktiviti utama program ini melibatkan pemindahan ilmu mengenai penanaman menegak (vertical planting) di Desa Sembung, Jawa Timur, yang memberikan manfaat besar kepada penduduk tempatan dalam meningkatkan hasil pertanian dan kualiti hidup.

KRP
Penerangan telah disampaikan oleh pelajar KRP berkenaan dengan penanaman menegak
KRP
Sistem penanaman menegak yang berjaya disiapkan bersama komuniti setempat

Pada hari pertama, aktiviti khidmat masyarakat dimulakan dengan memperkenalkan teknik penanaman menegak kepada penduduk. Seterusnya, pada hari kedua, peserta menjalankan sesi pemindahan ilmu dengan guru-guru tempatan mengenai pembuatan video serta mengadakan pertemuan dengan pelajar di daerah Surabaya. Pada hari ketiga, program pertukaran budaya dilaksanakan melalui peragaan pakaian tradisional Malaysia dan persembahan tarian Zapin oleh pelajar UTM.

KRP
Perkongsian yang disampaikan oleh pihak KRP bersama guru sekolah

Di samping itu, pelajar turut mengambil bahagian dalam sesi interaktif bagi memupuk minat pelajar sekolah tempatan dalam menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Program ini turut dimeriahkan dengani pameran seni budaya, demonstrasi makanan tradisional, dan persembahan budaya, yang memperkukuhkan lagi pertukaran budaya antara delegasi dan komuniti setempat.

KRP
Sesi interaktif bersama pelajar sekolah
WhatsApp Image at
Bersama peserta dari tiga buah negara selepas pementasan kebudayaan dari negara masing-masing

Program Kembara Rahman ke Surabaya dilihat mampu memberi impak positif kepada peserta dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya dalam SDG4: Pendidikan Berkualiti serta SDG16: Keamanan, Keadilan, dan Institusi Kukuh. Penasihat Program, Md Yani Kasiren, menyatakan bahawa program ini berfungsi bukan sahaja sebagai medium pemindahan ilmu, tetapi juga sebagai jambatan yang menghubungkan hubungan antarabangsa dan mempromosikan kerjasama erat antara institusi pendidikan dan komuniti. Wakil UNAIR, Akbar Daus menyuarakan harapan agar kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan, melibatkan lebih ramai pelajar dan pakar dari UTM.

Oleh Norzielawaty Zainal Abidin dan Md Yani Kasiren

Explore More