November 23, 2024

Search
Close this search box.
ISES

Kem Pengukuhan ISES pupuk nilai teras dalam kakitangan sokongan UTM

JOHOR BAHRU, 28 Okt – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD) telah menganjurkan Kem Pengukuhan ISES: Kumpulan Sokongan 2024 pada 24 hingga 25 Oktober 2024 bertempat di Savanah Hill Resort, Johor. Program ini merupakan program utama CTLD, Jabatan Pendaftar, yang bertujuan memperkukuh nilai-nilai teras ISES iaitu Integriti (Integrity), Sinergi (Synergy), Kecemerlangan (Excellence), dan Kelestarian (Sustainability) dalam kalangan kumpulan sokongan. Kumpulan ini merupakan perintis di kalangan kakitangan sokongan yang dipilih menyertai kem ini.

Seramai 61 orang peserta yang terdiri daripada petugas kaunter dan petugas barisan hadapan yang banyak berurusan dengan pelajar di universiti telah mengambil bahagian. Antara aktiviti dalam program ini termasuk Modul Kembara Berpasukan, Sketsa ISES, Forum berkaitan Amanah dan Integriti, serta Perbincangan dan Pembentangan berkaitan Modul Integriti. Program ini diterajui oleh Pengarah Program, Prof. Madya Ts. Dr. Abd Rahman Tamuri, dan Ketua Fasilitator, Dr. Mohamad Afiq Mohamed Huri.

Program dimulakan dengan modul ‘Ice Breaking’, di mana peserta dibahagikan kepada kumpulan untuk menjalankan aktiviti sinergi seperti mencipta logo dan nama kumpulan serta menjaga ‘barang amanah’ sepanjang program berlangsung. Aktiviti ini membolehkan peserta mengenali rakan-rakan dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan jabatan. Seterusnya, peserta menyertai Modul Kembara Berpasukan, yang merangkumi enam cabaran di pelbagai stesen, seperti Memori Bersama, Kami Saintis, Selamatkan Semua, Cuba Teka, Satu Matlamat dan Bina Menara.

ICE BREAKING
Sesi Ice Breaking: Menyediakan bendera dengan logo dan nama kumpulan
EXPLORACE
Aktiviti Kembara Berpasukan: Kami Saintis Kampung

Pada sebelah malam, para peserta menghadiri Forum ‘Kerja adalah Ibadah’ yang disampaikan oleh Ustaz Mohomad Firdaus Pazim@Padzim, diikuti dengan Sketsa ISES yang bertemakan Integriti, Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian. Hari pertama ditutup dengan aktiviti Night Walk.

KEROHANIAN
Aktiviti Kerohanian: Solat berjemaah dan tazkirah Maghrib
NIGHT WALK
Aktiviti Night Walk

Hari kedua bermula dengan Qiamullail Berjemaah, Solat Subuh, tazkirah berantai bertajuk ‘Apa itu Amanah’. Aktiviti diteruskan dengan slot ‘Praktikal Sinergi’, di mana peserta menjalani larian sekitar kawasan program. Kemuncak program adalah Modul Integriti yang dikendalikan oleh Ahmad Adli Ghazali dan Raihan Abd Karim, di mana peserta didedahkan kepada isu-isu integriti sebenar di UTM dan diajar cara mengurusnya dengan berpandukan peraturan yang sedia ada.

MODUL INTEGRITI
Modul Integriti oleh Ahmad Adli Ghazali

Menurut salah seorang peserta, Mohd Amierul Mastor, “Setiap aktiviti yang dijalankan membolehkan kami menghayati nilai-nilai ISES dalam diri. Kerjasama yang diberikan oleh semua peserta sepanjang program menjadikannya satu pengalaman bermakna dan memberikan impak yang berkesan kepada kami semua.”

Secara keseluruhannya, objektif utama program berjaya dicapai apabila nilai teras ISES UTM dapat diperkenalkan kepada peserta dengan fokus terhadap integriti dan amalan kerja cemerlang. Diharapkan nilai-nilai ini dapat diterapkan dalam budaya kerja harian kakitangan sokongan UTM serta disebarkan kepada rakan sekerja bagi menginstitusi budaya ISES demi keberkesanan kerja seharian mereka.

Explore More