November 22, 2024

Search
Close this search box.
hepa ()

Sambutan Bulan Kebangsaan: UTMKL utamakan kesejahteraan warga kampus

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 disambut dengan penuh meriah di Majlis Perasmian Pembukaan Program Perbarisan Bulan Kebangsaan dan Open Day Merdeka UTM Kuala Lumpur 2024. Acara ini telah dihadiri seramai hampir 500 warga kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Program tersebut merupakan anjuran Bahagian Pendaftar dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UTM Kuala Lumpur. Acara kemuncak program adalah perbarisan yang disertai oleh 120 peserta kontinjen, terdiri daripada wakil pelbagai Fakulti dan Pusat Tanggungjawab (PTJ), serta pelajar. Perbarisan ini turut dimeriahkan dengan persembahan iringan daripada Pancaragam Beruniform Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PULAPOL), di bawah pimpinan ASP Mesmoro Edward dan drum major, Koperal Fakhrul Reza Ramlan.

UTM Pano
Sesi bergambar dif-dif kehormat dan kontinjen perbarisan

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Akademik Dan Penyelidikan) di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh; Ketua Bahagian, Bahagian Pendaftar, Zurik Azaham Aris; serta ahli Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi (JKP) UTM Kuala Lumpur.

Sepanjang program, warga UTM Kuala Lumpur juga berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan menarik. Antaranya termasuk persembahan Silat Tari oleh mahasiswa UTM, Nurin Shasha Wira dan Ahmad Khaizuran Haziq Ahmad Rosli, serta bacaan sajak patriotik bertajuk “Erti Kemerdekaan” oleh Mantan Ketua Pentadbiran UTM Kuala Lumpur, Siti Salamah Mohd Shihab. Persembahan diakhiri dengan Flash Mob oleh pelajar yang menambahkan lagi kemeriahan acara tersebut.

UTM
Dato’ Dr. Mohd Sharil menyampaikan ucapan perasmian di Dataran Ilmu

Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah menzahirkan rasa bangga dan gembira melihat penganjuran program yang penuh bermakna ini. Beliau turut menekankan peranan UTM dalam melahirkan generasi muda yang cemerlang, bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga dalam menyemai semangat patriotisme dan kesedaran tanggungjawab terhadap negara. Tema “Malaysia MADANI, Jiwa Merdeka” yang dipilih tahun ini adalah sangat bertepatan, selari dengan usaha untuk membina negara yang maju di samping mengekalkan keamanan dan keharmonian.

UTM
Persembahan khas Silat Tari

Antara acara menarik lain di dalam program ini adalah program Membangun Personaliti Unggul (MPU) yang diadakan di Dewan Tan Sri Ainuddin Wahid. Ceramah bertajuk “Disebalik Op Subuh” ini disampaikan oleh DCP (B) Dato’ Abdul Razak Hj. Mohd Yusoff, seorang bekas pegawai 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pengisian program MPU ini adalah untuk menyemai nilai-nilai positif dan semangat berwawasan dalam kalangan warga UTM, serta menggalakkan mereka mencapai kecemerlangan dalam organisasi.

UTM
Penceramah jemputan, DCP (B) Dato’ Abdul Razak Hj. Mohd Yusoff menyampaikan ceramah bertajuk “Disebalik Op Subuh” di Dewan Tan Sri Ainuddin Wahid

Satu lagi acara berimpak tinggi dalam program ini adalah Open Day Merdeka UTM Kuala Lumpur 2024 yang mendapat sokongan pelbagai agensi kerajaan dan entiti luar. Antara penyertaan yang menyerikan program ini adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Pejabat Kesihatan Titiwangsa, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Unit Pendidikan Kanser dan Sumber Klinikal (CCARE), Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Pusat Darah Negara (PDN), Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM), serta beberapa persatuan di UTM Kuala Lumpur.

Program ini bukan sahaja menjadi platform bagi warga UTM Kuala Lumpur untuk mendapatkan informasi mengenai fakulti dan PTJ, tetapi juga menyediakan peluang kepada warga kampus dan para pesara UTM untuk menjalani saringan kesihatan. Antara saringan yang ditawarkan termasuklah kanser payudara, kanser usus (IFOBT), kanser prostat, dan kanser pangkal rahim.

Acara penutup Program Perbarisan Bulan Kebangsaan dan Open Day Merdeka UTM Kuala Lumpur 2024 dimeriahkan dengan sesi penyampaian hadiah kepada kontinjen perbarisan paling berdisiplin dan menarik. Hadiah disampaikan oleh Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof. Ts. Dr. Abd Latif, diiringi oleh Zurik Azaham, Ketua Bahagian, Bahagian Pendaftar UTM Kuala Lumpur selaku penganjur utama program ini.

HEPA
Prof. Ts. Dr. Abd Latif dan Zurik Azaham bersama para peserta perbarisan dari kontinjen UTM Kuala Lumpur

Secara keseluruhannya, program ini telah memberi manfaat kepada 300 peserta yang menyertai pelbagai khidmat reruai, menyertai saringan kesihatan kanser, pemeriksaan gigi dan derma darah. Selain itu, seramai 123 peserta juga telah menjadi penderma stemcell, yang berpotensi menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan. Penderma stemcell boleh memberi peluang kedua kepada pesakit yang menghidap penyakit serius seperti leukemia, limfoma, dan pelbagai jenis penyakit darah. Inisiatif ini tidak hanya memberi manfaat kepada pesakit, tetapi turut menyumbang kepada kualiti hidup masyarakat secara keseluruhan.

Pastinya, penganjuran program seperti ini telah berjaya menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan memupuk perpaduan dalam kalangan warga UTM Kuala Lumpur. Ia memberi makna yang lebih mendalam terhadap sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, dengan menekankan pentingnya kesedaran dan tanggungjawab terhadap negara.

Explore More