Disember 27, 2024

front marvex

Meneroka inovasi terkini: Lawatan delegasi UTM ke Marvex Exhibition 2024

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) komited dalam meningkatkan kompentasi stafnya dalam ilmu dan teknologi terkini. Selaras dengan usaha ini, delegasi dari Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP) UTM telah dihantar ke Marvex Exhibition 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang berlangsung dari 18 hingga 21 September 2024. Lawatan ini disertai oleh 10 orang penolong jurutera, bertujuan untuk mendapatkan pendedahan mengenai inovasi terkini dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, serta meneroka peluang kerjasama dengan pelbagai syarikat dan institusi.

WhatsApp Image at PM
Peserta UTM bertanyakan tentang sistem penyaman udara terkini dan mesra alam daripada pempamer Syarikat Midea

MARVEX menyediakan platform kerjasama, pertukaran pengetahuan, dan inovasi, serta menarik lebih 11,000 profesional dari seluruh ASEAN. Pameran ini menghimpunkan nama-nama penting dalam industri kejuruteraan, dengan tumpuan pada sektor mekanikal dan elektrik (M&E), awam dan struktur (C&S), serta pengudaraan mekanikal dan penyejukan (ACMV&R).

Program tahun ini menampilkan lebih 200 syarikat terkemuka dari 10 negara dan wilayah, merangkumi empat dewan pameran. Peserta berpeluang menerokai teknologi, produk, dan penyelesaian terkini yang bertujuan untuk menangani cabaran global serta memajukan kelestarian dalam sektor kejuruteraan.

WhatsApp Image at PM
Peserta UTM bertanyakan tentang sistem elektrikal terkini daripada pempamer Syarikat FLUKE

Acara ini juga menampilkan pameran interaktif mengenai infrastruktur pusat data dan teknologi bilik bersih, mempamerkan kemajuan penting dalam industri di Malaysia. Selain itu, simposium kejuruteraan terbesar di Malaysia, yang dianjurkan oleh Institusi Jurutera Malaysia (IEM), menawarkan lebih 100 jam pembelajaran, dengan lebih 120 pakar membincangkan trend, cabaran, dan inovasi dalam industri.

Pameran tahun ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada inovasi, tetapi juga menangani cabaran-cabaran industri. Forum Kejuruteraan Kuala Lumpur (KLEF) turut diadakan bagi membincangkan isu-isu kritikal seperti penurunan minat terhadap bidang kejuruteraan dalam kalangan belia dan penghijrahan jurutera yang berkelayakan.

WhatsApp Image at PM
Peserta UTM bertanyakan tentang sistem penyaman udara terkini dan mesra alam daripada pempamer Syarikat Daikin

Acara ini bertujuan untuk memberi inspirasi kepada generasi jurutera akan datang dan memastikan aliran bakat yang berterusan untuk sektor ini. Selaras dengan matlamat kelestarian global, ENGINEER dan MARVEX 2024 menekankan kepentingan mengamalkan teknologi dan amalan hijau. Acara ini menggalakkan pihak berkepentingan untuk memberi keutamaan kepada prinsip-prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG), serta menekankan peranan industri kejuruteraan dalam memacu pertumbuhan mampan serantau.

Lawatan ke Marvex Exhibition 2024 memberikan pendedahan berharga kepada staf UTM mengenai perkembangan terkini dalam bidang kejuruteraan. Maklumat dan hubungan baru yang diperoleh di pameran ini diharapkan dapat membantu UTM dalam meningkatkan prestasi dan pengurusan aset dan fasiliti universiti agar selaras dengan teknologi terkini.

Explore More