November 22, 2024

Search
Close this search box.

MASK 2024 perkasa kolaborasi STEM dan kebudayaan di Tanjungpinang

TANJUNGPINANG, 15 Sept – Program Malaysia-Indonesia: Mobiliti Antarabangsa STEM & Kebudayaan 2024 (MASK 2024) anjuran Kolej Dato’ Onn Jaafar (KDOJ) dan Kelab Debat, Pidato dan Pemikiran Kritis (DEPIKIR), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membuka peluang kepada sembilan orang delegasi UTM untuk mengaplikasikan pengetahuan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta kebudayaan di bumi Tanjungpinang, Kepulauan Riau, Indonesia.

MASK 2024 yang dijalankan dengan kerjasama Fakulti Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP), Universitas Maritim Raja Ali Haji (UMRAH) ini memberikan pengalaman baharu kepada para delegasi UTM dalam meneroka serta memahami pengaplikasian STEM dan kebudayaan di Kota Tanjungpinang. Program lima hari ini, berlangsung dari 11 hingga 15 September 2024, melibatkan hampir 30 orang pelajar dan pensyarah dari UTM dan FISIP, UMRAH.

c
Sesi perbincanagn delegasi UTM-UMRAH bagi perancangan kolaborasi masa depan

Pengarah Program, Muhammad Adhar Zorobi, berkata bahawa program ini bukan sahaja membuka peluang bagi pelajar UTM untuk menimba pengalaman, tetapi juga menjadi batu loncatan untuk kerjasama yang lebih meluas pada masa akan datang. Delegasi UTM juga berkesempatan melawat dan berbincang dengan ketua kampung di Pantai Tanjung Siambang mengenai projek rintis pembangunan makmal komuniti bagi membangunkan Pantai Tanjung Siambang sebagai hab ekonomi setempat.

Selain itu, lawatan ini menjadi titik permulaan bagi komuniti setempat untuk meneruskan kerjasama dengan UTM dan agensi-agensi berkaitan bagi mempergiatkan aktiviti perpindahan ilmu kepada komuniti untuk pembangunan kawasan dan komuniti sekitar Tanjung Siambang. Potensi kerjasama ini dalam jangka masa panjang mampu mengukuhkan peranan UTM sebagai penggerak pembangunan komuniti antarabangsa.

Para delegasi turut melawat Rumah Rendah Karbon Dompak di Tanjung Siambang, pusat bagi komuniti petani bakau di mana produk seperti batik cap dicetak menggunakan serat bahan alam semula jadi dan diwarnakan menggunakan tanin daripada biji bakau. Produk lain seperti sabun dan teh berasaskan bakau turut dihasilkan di sini.

a
Para pelajar tekun mendengar penerangan dari En. Sadam dan Mak Long tentang produk yang dihasilkan serta usaha komuniti bakau

Menurut koordinator Rumah Rendah Karbon Dompak, En. Sadam, penghasilan produk berasaskan bakau ini merupakan integrasi STEM dan kebudayaan yang berpotensi diketengahkan. “Produk batik yang dihasikan di sini juga telah dipilih mewakili Provinsi Kepulauan Riau untuk bersaing di peringkat kebangsaan dan mungkin ke persidangan kelestarian peringkat antarabangsa,” jelas beliau.

Selain lawatan ilmiah, para delegasi turut berpeluang melawat lokasi budaya seperti Lembaga Adat Melayu, Komuniti Lab Tg. Siambang, Pulau Penyengat dan menyaksikan persembahan Harmoni Kata bagi merasai aktiviti kebudayaan tempatan.

b
Para pelajar berbaju adat melayu Riau dan belajar berkaitan sejarah dan warisan di Rumah Adat Pulau Penyengat

Felo KDOJ, Dr. Noorehan Yaacob, turut menyatakan bahawa program seperti ini wajar dipertingkatkan kerana bukan sahaja memberi pengalaman baru kepada pelajar tetapi juga memperkukuh kolaborasi antarabangsa bagi menjayakan program di masa hadapan.

Explore More