JOHOR BAHRU, 11 Sept. – Dalam dunia yang semakin mencabar, pengurusan risiko merupakan aspek penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja serta kelangsungan operasi sesebuah organisasi. Sejajar dengan itu, Unit Residen Kolej Kediaman, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Unit Pejabat Pengetua Kolej Rahman Putra, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, telah menganjurkan Kursus HIRARC (Pengenalpastian Bahaya, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko) serta Prosedur Kerja Selamat di Dewan Sri Meranti, Kolej Rahman Putra pada 11 September 2024.
Kursus ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai keselamatan serta kaedah mengenal pasti dan mengawal risiko di persekitaran kolej kediaman. Seramai 61 orang peserta yang terdiri daripada staf kolej kediaman, felo, dan pembantu felo yang terlibat dalam pengurusan kolej kediaman pelajar telah menghadiri kursus ini. Program ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Seksyen Perkhidmatan, Tuan Haji Taha Othman, dan Ketua Unit Residen, Cik Yulie Nurafnie Abd Majid.
Sesi pagi dimulakan dengan ceramah menarik oleh Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip, Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan (SITC) UTM, yang membincangkan topik “Ergonomik di Kolej Kediaman”. Dr. Hadafi menekankan pentingnya penerapan prinsip ergonomik dalam persekitaran kerja dan pembelajaran di kolej kediaman untuk meningkatkan keselesaan dan mengurangkan risiko kecederaan.
Slot kedua turut dikendalikan oleh Dr. Hadafi dengan tajuk “HIRARC di Kolej”, yang memberikan penekanan kepada cara mengenal pasti dan mengurus risiko dalam persekitaran kolej kediaman. Slot ini bertujuan melengkapkan peserta dengan kemahiran yang diperlukan untuk menangani isu keselamatan dengan lebih berkesan.
Pada sesi petang, Prof. Madya Dr. Kamarizan Kidam, Pengurus Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), menyampaikan ceramah bertajuk “Cara-Cara Mengisi Borang HIRARC”. Sesi ini memberikan panduan praktikal mengenai proses pengisian borang HIRARC, termasuk langkah mengenal pasti bahaya, menilai risiko, dan menentukan langkah kawalan yang sesuai.
Penerangan yang terperinci dan sesi hands-on ini bertujuan memastikan peserta dapat mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam menangani situasi sebenar di kolej kediaman. Dengan bimbingan pakar, peserta diharapkan lebih berkemahiran dalam mendokumentasi dan melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang diperlukan, sekali gus memperkukuhkan budaya keselamatan di kolej kediaman.