September 17, 2024

Search
Close this search box.
IMGL

Dr. Nor Zafir Md Salleh, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) serta Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), merupakan figura yang tidak hanya dikenali sebagai akademia yang berwibawa, tetapi juga sebagai pemimpin yang versatil lebih-lebih lagi menerusi Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM).

Penglibatan Dr Zafir dalam Pandu Puteri sebenarnya telah bermula sejak zaman persekolahan sebagai ahli Pandu Puteri Remaja dan Renjer. Selepas menamatkan pengajian PhD, beliau berhasrat untuk menyumbangkan kembali kepada komuniti sambil memanfaatkan pengalamannya dalam proses pengajaran.

“Setelah menamatkan pengajian PhD, saya terfikir bagaimana keadaan saya selepas ini? Apakah yang saya akan sumbangkan kepada komuniti untuk saya bawa pengalaman-pengalaman itu di dalam kelas?” ujar beliau.

Justeru, beliau mengambil langkah proaktif pada tahun 2016 dengan menghubungi Ibu Pejabat Persatuan Pandu Puteri Malaysia untuk mengikuti dan seterusnya menyertai persatuan ini. Atas cadangan yang diberikan, Dr Zafir menyertai Persatuan Pandu Puteri Daerah Johor Bahru, dan bermula saat itu, pelbagai aktiviti dijalankan di bawah kelolaan beliau bersama PPPM.

IMGL
Dr. Zafir komited membimbing pelajar di bawah seliaannya menerusi Persatuan Pandu Puteri

Melalui semangat dan komitmen yang tinggi yang ditonjolkan oleh Dr. Zafir telah membuatkan beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Pandu Puteri Klover Cawangan Johor pada 2018, dan seterusnya sebagai Pesuruhjaya Pandu Puteri Klover peringkat Kebangsaan pada 2019 dan terus menyandang jawatan berkenaan sehingga kini.

Memandangkan Pandu Puteri Klover merupakan suatu program yang diwujudkan bagi penyertaan golongan wanita muda di peringkat Pra-Universiti dan Universiti, tanggungjawab besar yang diamanahkan kepada beliau adalah termasuk untuk memperluas program Pandu Puteri di peringkat cawangan dan juga kebangsaan. Beliau mengakui bahawa penglibatan dalam Pandu Puteri telah memberi motivasi tinggi dan membantu beliau menguruskan tugas harian dengan lebih berkesan.

WhatsApp Image at PM
Penglibatan golongan wanita dalam PPPM bersifat dinamik

“Pandu Puteri merupakan suatu platform yang mengumpulkan wanita berkerjaya untuk berkongsi pandangan dan mengembleng tenaga untuk memajukan wanita muda di luar sana menerusi aktivitinya. Jadi, Persatuan Pandu Puteri Malaysia menganggap golongan wanita merupakan aset negara yang perlu dibentuk peribadinya dengan baik,” ujar beliau.

Menurut beliau, persatuan ini membuka peluang kepada golongan wanita di pelbagai peringkat dalam meningkatkan bakat kepimpinan, mengasah kemahiran memimpin untuk mengendalikan pasukan dan memperkaya pengetahuan mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), dan Science, Technology, Engineering & Mathematics (STEM), termasuklah program advokasi berkaitan wanita. Selain menjadi platform untuk pemimpin wanita bekerja berkongsi pandangan dan saling menginspirasi, persatuan ini turut menekankan nilai positif, semangat yang tinggi di samping menerapkan konsep “My Path, My Pace” yang mendorong setiap ahlinya menghormati perkembangan dan pencapaian masing-masing sepanjang hayat mereka.

WhatsApp Image at PM
Dr Zafir ketika mengendalikan salah satu sesi bersama ahli PPPM

Apabila ditebak dengan soalan tentang cara beliau mengimbangi kerjaya dan penglibatannya dalam PPPM, Dr Zafir merasakan persatuan ini secara tidak langsung membolehkannya mendekati komuniti daripada pelbagai lapisan umur yang bertepatan dengan keperluan beliau sebagai pensyarah. Sebagai tenaga pengajar kokurikulum Pandu Puteri di UTM, beliau berasa bersyukur dengan kewujudan pasukan Pandu Puteri Klover di Universiti ini yang memberi peluang kepadanya mendidik dan mempersiapkan pelajar wanita muda di UTM untuk terus memimpin komuniti apabila mereka berada di luar kelak.

WhatsApp Image at PM
Dr Zafir (dua dari kanan) menyertai kumpulan di bawah bimbingannya dalam satu program anjuran PPPM

“Sebagai pensyarah saya perlu menyantuni komuniti melalui program-program sosial yang telah ditetapkan oleh Universiti. Jadi persatuan ini membawa saya dekat dengan golongan kanak-kanak perempuan, remaja dan wanita muda, juga wanita yang telah bersara serta membolehkan saya bergiat aktif dalam persatuan dalam masa yang sama menjalankan tanggungjawab saya sebagai pensyarah,” ujar Dr Zafir.

Berkongsi pengalaman yang cukup mencabar dirinya sepanjang bersama pasukan PPPM di bawah bimbingannya apabila dipertanggungjawabkan sebagai Penolong Ketua Kontinjen di World Scout Jamboree di Korea Selatan pada tahun lalu apabila terpaksa berhadapan dengan cuaca ekstrem, kekurangan air bersih, dan ketiadaan makanan halal ketika berada di sana.

Mengetuai sekumpulan wanita muda dalam suasana ekstrem, dengan sumber air dan makanan halal yang terhad, menuntut beliau terus kuat dan cekal sebagai pemimpin dalam memastikan pasukannya dapat kekal bertahan dan menyempurnakan tugasan yang diberikan.

“Pada waktu malam, pasukan saya yang terdiri daripada remaja berusia 13 hingga 17 tahun ini menangis kerana tidak tahan menghadapi keadaan yang cukup sukar pada waktu itu. Namun saya perlu menguatkan diri supaya tidak terbawa-bawa dengan emosi agar mereka dapat terus bertahan dan menamatkan cabaran,” ujar Dr Zafir.

WhatsApp Image at PM
Suasana sewaktu berlangsungnya perkhemahan di World Scout Jamboree, Korea Selatan tahun lalu

Rentetan kejayaan membimbing pasukannya, beliau telah dianugerahkan Anugerah Pemimpin WAGGGS dalam Asia Pacific WAGGGS (Asia Pacific World Association of Girl Guides and Girl Scouts) bagi tahun 2023. Pengiktirafan ini diberikan kepada pemimpin yang berjaya mengendalikan pasukan dan menganjurkan acara bagi mendapatkan lencana di peringkat antarabangsa.

WhatsApp Image at PM

Meskipun beliau mempunyai kepakaran dalam bidang Pemasaran dan Peruncitan, serta mempunyai minat yang mendalam berkaitan penyelidikan berasaskan pelancongan dan perkhidmatan pemasaran, perkhidmatan beliau selama 23 tahun di UTM yang bermula pada 2001, diwarnai dengan semangat juang yang tinggi dan keprihatinan terhadap masyarakat khasnya membawa golongan wanita ke peringkat yang lebih tinggi dalam kehidupan.

“Pesan saya kepada wanita muda di luar sana, anda adalah aset negara. Teruslah meningkatkan kemahiran, bersikap terbuka, dan memajukan diri sendiri dalam mengetuai keluarga, masyarakat, dan perkembangan diri anda selari dengan moto Pandu Puteri Klover, ‘Selalu Sedia dan Terus Berkhidmat’,” pesan Dr. Zafir mengakhiri temu bual.

Explore More