Disember 22, 2024

photo y

Bengkel Scratch App anjuran Fakulti Komputeran tingkat asas pengaturcaraan pelajar

JOHOR BAHRU, 25 Sept – Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru telah menganjurkan program perpindahan ilmu pengaturcaraan melalui bengkel aplikasi Scratch yang bertempat di bangunan N28, Fakulti Komputeran UTM. Bengkel ini bertujuan memperkenal asas pengaturcaraan kepada murid-murid dan guru-guru sekolah rendah di sekitar Johor Bahru, di samping memupuk minat mereka terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Program ini diketuai oleh Dr. Farkhana Muchtar dan turut mendapat sokongan Ketua Tenaga Pengajar, Dr. Pang Yee Yong serta tenaga pengajar, fasilitator, staf teknikal, dan staf sokongan Fakulti Komputeran. Seramai 30 murid dan 10 guru daripada lima sekolah rendah dari daerah ini telah terpilih untuk menyertai bengkel ini. Sekolah-sekolah tersebut termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Skudai, SK Batu 10, SK Taman Universiti 1, SK Seri Kenanga, dan SK Perumahan Tampoi 2.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Komputeran, Prof. Madya Dr. Siti Zaiton Mohd Hashim, bersama kehadiran wakil PPD Johor Bahru, Mohd Najib Salleh. Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Siti Zaiton menegaskan kepentingan penguasaan teknologi pengaturcaraan dalam membentuk pemikiran logik dan analitis murid sejak usia muda.

Program ini direka bentuk dengan menggabungkan sesi teori dan praktikal yang interaktif. Murid-murid diperkenalkan kepada konsep asas pengaturcaraan dan diberi peluang membina permainan digital mereka sendiri dengan menggunakan aplikasi Scratch. Dengan bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman, murid-murid berjaya mencipta pelbagai projek kreatif di samping mempelajari cara penyelesaian masalah secara inovatif.

photo y
Peserta tekun membangunkan permainan digital mereka sendiri

Pada akhir program, tiga kumpulan dengan projek Scratch terbaik telah menerima hadiah berupa hamper sebagai pengiktirafan atas kreativiti dan usaha mereka. Pemilihan pemenang adalah berdasarkan kriteria seperti kreativiti, fungsi aplikasi, dan keupayaan menyampaikan idea melalui kod. Pihak penganjur berharap anugerah ini dapat menjadi motivasi tambahan bagi semua peserta agar terus mendalami bidang pengaturcaraan.

Dalam majlis penutup, Mohd Najib Salleh menyatakan keyakinannya bahawa inisiatif seperti ini mampu melahirkan generasi muda yang celik teknologi digital dan berharap agar kerjasama antara UTM dan sekolah-sekolah di Johor Bahru dapat diteruskan dan diperkukuh dalam usaha memperkasa pendidikan STEM dari peringkat awal.

Setiap murid yang menyertai program ini menerima sijil penyertaan dan modul pengajaran aplikasi Scratch sebagai rujukan untuk meneruskan eksplorasi mereka dalam dunia pengaturcaraan. Guru-guru turut  menerima modul yang sama bagi memudahkan mereka meneruskan pembelajaran pengaturcaraan di sekolah masing-masing.

photo y
Guru dan peserta bergambar bersama sijil penyertaan di akhir program

Dengan kejayaan program ini, Fakulti Komputeran UTM bertekad untuk terus memperkasa pendidikan STEM melalui pelbagai program perpindahan ilmu yang inovatif dan berimpak tinggi. Diharapkan usaha berterusan ini akan membuka peluang lebih luas kepada murid-murid sekolah rendah untuk meneroka dunia teknologi, menanam minat yang mendalam dalam bidang pengaturcaraan, dan melahirkan generasi masa depan yang celik digital dan berdaya saing.

Explore More