September 20, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at PM

Unit Residen perkasa keceriaan kampus melalui gotong royong EKSA

JOHOR BAHRU, 14 Ogos – Program Gotong Royong EKSA Unit Residen Siri 1/2024 yang dianjurkan oleh Unit Residen, Seksyen Perkhidmatan, Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya dilaksanakan dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada warga kampus. Program ini bertujuan untuk memastikan persekitaran kerja yang lebih bersih, teratur, dan selamat, sekali gus menyumbang kepada kelestarian kampus, selaras dengan amalan EKSA (Ekosistem Kondusif Sektor Awam).

WhatsApp Image at PM
Kerja-kerja membersihkan surau kolej yang terletak di bangunan pejabat kolej

EKSA menekanan aspek kebersihan, keselamatan, dan kecekapan pengurusan. Unit Residen di UTM, yang bertanggungjawab menyediakan penginapan kepada pelajar melalui sepuluh Kolej Kediaman di kampus Johor Bahru, melihat pengiktirafan EKSA sebagai langkah strategik untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan penginapan. EKSA juga memberi penekanan bahawa pentingnya mewujudkan suasana tempat kerja yang bersih, kemas, ceria, dan selamat, seterusnya dapat meningkatkan kesejahteraan dan motivasi pekerja, mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja, serta menyokong amalan hijau melalui penjimatan tenaga dan sumber secara menyeluruh.

Program yang diadakan di Kolej Tun Hussein Onn dan Kolej Tun Razak ini melibatkan penyertaan 70 staf dari Unit Residen serta 50 staf daripada pelbagai seksyen di BPA, JTNCP. Turut hadir ialah Pengerusi BPA, Prof. Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa; Pengarah Seksyen Perkhidmatan, Tuan Haji Taha Othman; dan Ketua Unit Residen, Cik Yulie Nurafnie Abd Majid.

WhatsApp Image at PM
Para peserta bekerjasama menjalankan aktiviti gotong-royong yang dibahagikan mengikut kumpulan

Aktiviti gotong-royong ini merangkumi kerja-kerja pembersihan dan menghias beberapa blok kediaman pelajar seperti L01, L04, L05, L07, L13 di Kolej Tun Hussein Onn dan K01, K11, K15, K16, K17, K18 di Kolej Tun Razak. Antara kerja yang dilaksanakan termasuk pembersihan blok pelajar tahun satu, pemasangan bendera di laluan utama kolej, mengecat laluan dan lobi dalam blok, serta membersihkan kawasan pejabat dan sekitarnya. Semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh semua peserta mencerminkan komitmen kuat untuk menjaga dan memperindah persekitaran kampus.

Tuan Haji Taha Othman yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa EKSA Unit Residen UTM, menzahirkan penghargaan beliau kepada semua peserta yang hadir dan memberikan kerjasama sepenuhnya. Beliau menjelaskan bahawa program seperti ini akan diadakan setiap dua minggu dan diharapkan dapat diteruskan dengan lebih banyak penglibatan pada masa akan datang.

WhatsApp Image at PM
Peserta membersihkan papan maklumat serta menampal poster terkini di papan maklumat

“Mengekalkan amalan EKSA di kampus amat penting untuk memastikan persekitaran yang bersih, teratur, dan selamat bagi seluruh warga kampus. Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mencapai penarafan EKSA yang cemerlang bagi kampus ini,” ujar Tuan Haji Taha.

Program Gotong Royong EKSA Unit Residen Siri 1/2024 ini berakhir dengan jayanya, memberikan impak positif kepada persekitaran kampus yang kini lebih bersih dan tersusun. Diharapkan program ini akan terus mendapat sokongan dan dilaksanakan dengan lebih meluas pada masa akan datang, demi memastikan kampus kekal sebagai tempat yang kondusif dan menyenangkan untuk semua warga universiti.

WhatsApp Image at PM
Peserta membersihkan papan maklumat di blok kediaman pelajar

Explore More