Tidak semua orang memahami konsep kesedaran diri atau self-awareness dengan tepat, dan sering kali terdapat kekeliruan tentang makna sebenar kesedaran diri dalam kalangan masyarakat. Bagaimana kesedaran diri boleh melahirkan pemikiran dan jiwa yang merdeka? Menurut Prof. Madya Dr. Mastura Mahfar dari Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), UTM Johor Bahru yang juga seorang Kaunselor Berdaftar dan Perakuan Amalan, kesedaran diri bukanlah sifat mementingkan diri sehingga mengabaikan keperluan dan kepentingan orang lain. Menerusi perspektif psikologi, istilah narsisisme kadang kala dirujuk di mana keadaan seseorang itu terlalu taksub terhadap diri sendiri dan meletakkan perasaan serta pemikiran mereka melebihi keperluan orang lain.
Kesedaran diri juga kerap disalah tafsir yang berkisar kepada emosi semata-mata. Sebaliknya, kesedaran diri merangkumi pemahaman tentang nilai-nilai peribadi, motivasi, pemikiran, dan cara seseorang itu dilihat oleh orang lain secara objektif dan realistik. Dalam kesibukan kehidupan mengejar rezeki dan menuntut ilmu, ramai yang terlupa meluangkan masa untuk menilai diri sendiri. Kesedaran diri sebenarnya adalah satu proses introspeksi atau penilaian diri berterusan yang amat penting untuk kita memahami bagaimana tindakan kita boleh mempengaruhi diri sendiri serta orang lain. Inilah asas dalam pembentukan jiwa merdeka.
“Kesedaran diri adalah proses introspeksi yang berterusan, memerlukan kita untuk menganalisis pemikiran, emosi, dan tingkah laku secara mendalam. Proses ini bukan sahaja membantu kita memahami bagaimana tindakan kita mempengaruhi diri sendiri, tetapi juga kepada orang lain di sekeliling. Inilah asas kepada pemikiran dan jiwa yang benar-benar merdeka, kebebasan berfikir tanpa terbelenggu oleh pemikiran tidak konstruktif serta keberanian kita untuk bertindak mengikut prinsip yang benar,” ujar Dr. Mastura.
Refleksi kendiri yang konsisten dan efektif penting kerana personaliti manusia adalah dinamik. Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri adalah sangat penting. Refleksi kendiri merangkumi tiga elemen utama: pemikiran, emosi, dan tingkah laku. Kita perlu menilai sama ada pemikiran kita rasional, kritis dan kreatif serta bagaimana ia berfungsi dalam menghadapi situasi mencabar. Begitu juga, pengurusan emosi dan tingkah laku dalam menghadapi tekanan perlu diberi perhatian yang mendalam. Oleh itu, analisis dan pemahaman terhadap cara kita berfikir, merasakan, dan bertindak amat penting dalam pembentukan jiwa merdeka, lebih-lebih lagi ia signifikan dalam menyambut bulan Kemerdekaan dengan tema “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka”. Jiwa Merdeka merujuk kepada kebebasan emosi dan psikologi, di mana kita mampu berfikir secara bebas tanpa terpengaruh oleh pengaruh negatif dan tekanan luar, keberanian untuk bertindak berlandaskan prinsip yang kukuh, serta keupayaan kita untuk menjalani kehidupan dengan penuh integriti.
Kesedaran diri turut memainkan peranan dalam pembentukan jati diri yang kukuh, yang merupakan identiti unik yang dimiliki oleh individu atau kumpulan. Dalam konteks kemerdekaan, sebagai rakyat Malaysia, penting untuk kita mempunyai “identiti kebangsaan” yang teguh. Meningkatkan jati diri memerlukan pemahaman yang mendalam tentang asal usul, budaya, dan sejarah perjuangan negara. Rasa cinta akan tanah air perlu dipupuk, terutama dalam era globalisasi ini, dengan memastikan jati diri tidak tergugat oleh pengaruh budaya asing.
“Jati diri yang kukuh membantu kita menolak pengaruh luar yang boleh mempengaruhi cara kita berfikir dan bertindak. Kita perlu memahami asal usul, budaya, dan sejarah perjuangan negara ini agar rasa cinta kepada tanah air dapat dipertingkatkan,” jelas Dr. Mastura.
Dalam konteks psikologi, mengatasi rasa rendah diri atau inferiority complex adalah kunci dalam membentuk jati diri. Kesempurnaan adalah mustahil dicapai, dan melakukan kesilapan atau kesalahan adalah sebahagian daripada kehidupan. Oleh itu, penting untuk kita memanfaatkan potensi dan kekuatan diri serta memperbaiki kelemahan diri bagi menghadapi cabaran dunia luar. Rasa bangga menjadi rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya turut memainkan peranan penting dalam memastikan diri kita tidak terus terikat dengan persepsi dan pengaruh luar.
Membangun jiwa merdeka melalui kebebasan berfikir memerlukan kita merenung kembali zaman penjajahan, ketika penjajah bukan sahaja menawan secara fizikal, tetapi juga mengawal minda masyarakat dan menafikan nilai-nilai murni bangsa. Selepas kemerdekaan, kita perlu mengelakkan budaya menerima sesuatu tanpa menganalisisnya secara kritikal. Kebebasan berfikir tidak bermakna kebebasan mutlak; ia memerlukan pemikiran kritis dan rasional. Kita perlu menyaring maklumat dan menilainya dari pelbagai perspektif.
“Jiwa Merdeka bukan hanya tentang kebebasan fizikal, tetapi juga kebebasan berfikir. Ketika penjajah memanipulasi pemikiran kita suatu masa dahulu, mereka meminggirkan nilai-nilai murni bangsa kita. Kini, selepas kemerdekaan, kebebasan berfikir itu harus terus diperjuangkan, dengan tidak menerima sesuatu secara membuta tuli. Kita perlu menapis setiap maklumat, menganalisisnya secara kritis, dan memastikan ia selari dengan prinsip-prinsip yang rasional dan bertanggungjawab, agar keputusan yang diambil berlandaskan kebenaran dan nilai-nilai murni,” tambah Dr. Mastura.
Kesedaran diri berkait rapat dengan tanggungjawab, bukan hanya kepada diri sendiri, tetapi juga kepada negara. Sebagai rakyat Malaysia, memikul pelbagai tanggungjawab dalam meneruskan kelangsungan hidup menuntut kesedaran diri yang mampu mempengaruhi perkembangan peribadi dan profesional dengan positif. Oleh itu, setiap keputusan yang diambil memerlukan pertimbangan yang teliti. Dari sudut psikologi, memikul tanggungjawab atas keputusan tanpa menyalahkan pihak lain adalah kunci kepada perkembangan diri yang menyeluruh, yang akhirnya membawa manfaat kepada kesejahteraan diri dan negara.
Bagi melahirkan masyarakat yang makmur dan sejahtera, kita perlu sentiasa bersedia menghadapi perubahan. Ramai yang terperangkap dalam zon selesa, yang hanya memberikan keselesaan sementara, tetapi menghalang perkembangan diri dan potensi untuk memajukan negara. Bagi membangunkan masyarakat yang makmur, kita perlu berani melangkah keluar dari zon selesa dengan menerima cabaran baharu, terus belajar serta menguasai ilmu dan kemahiran baharu. Pengurusan kesihatan mental yang baik juga amat penting dalam mewujudkan masyarakat yang sejahtera melalui penyediaan sokongan emosi yang kukuh dan hubungan sosial yang positif, dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan negara yang makmur dan sejahtera.
“Bagi membentuk masyarakat yang madani dan sejahtera, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, kita perlu mengamalkan nilai-nilai ihsan dan empati, bukan sekadar memahami diri sendiri, tetapi turut prihatin serta bertindak proaktif terhadap masyarakat sekeliling. Melalui pendekatan ini, kita dapat membantu melahirkan bangsa yang mampu mencapai kemakmuran dan kesejahteraan sebenar, berasaskan kesedaran kendiri yang mendalam serta jiwa yang benar-benar Merdeka,” kata Dr Mastura mengakhiri temu bual.